Halaman

12 June 2012

INGAT DOK LAGI… ANAK EXCO KERAJAAN DAPAT ZAKAT

Oleh: Ruslan Abdul Rahman

Ia bukan dongeng, tetapi realiti semasa pembangkang berkuasa di Terengganu anak-anak Ahli Yang Berhormat Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) suatu badan tertinggi dalam kerajaan negeri pun diberikan wang zakat.

Itulah pemimpin yang mendakwa mereka pejuang Islam, bercakap berdegar-degar mengenai amanah, keadilan dan perjuangan Islam, tetapi ‘ekor bergelumang dengan tahi”.

Kebetulan Exco berkenaan mempunyai nama yang sama, cuma bin berlainan, tetapi berpendidikan Islam.

Perbuatan pemimpin pembangkang itu menafikan sama sekali hak orang susah dan miskin.
Rakyat masih ingat semua ini, tiba-tiba pemimpin parti itu hari ini bercakap mengenai negarai kebajikan, seolah-olah rakyat lupa apa yang mereka lakukan semasa berkuasa.

Ini petikan temual bersama rakyat miskin yang dinafikan haknya yang dibuat kira-kira 10 tahun lalu:

“Suami saya bekerja sebagai kakitangan rendah pernah memohon bantuan Maidam untuk membiayai pengajian anak kami Yusmadi, 24 tahun untuk ke Universiti Al Azhar Mesir.

Bagaimanapun permohonan anak kami tidak diluluskan. Jika Maidam meluluskan bantuan kepada lima anak Exco Kerajaan mengapa kami pula ditolak dan tidak mendapat bantuan itu,” kata Wan Sarah Wan Othman sambil menitiskan airmata.

Minah Mat Zin, 53 tahun ibu kepada 8 anak dari Seberang Takir: “Saya terpaksa menggadai barang kemas untuk biayai pengajian anak di Mesir, permohonan anak saya dari keluarga miskin di tolak Maidam. Anak ahli Exco mereka luluskan, anak saya Wan Norsiah Wan Ngah, 22 tahun terpaksa meminta bantuan kewangan dari keluarga dan kawannya untuk membeli tiket kapalterbang ketika pulang bercuti bulan puasa lepas.”

Kedua dua temuramah ini pada 27 Januari 2002 (lihat Berita Harian yang turut menyiarkan pada 28 Januari 2002).

Mengenai isu penyelewengan pemberian wang zakat oleh kerajaan Terengganu waktu itu, pemimpin utama mereka mulanya mencabar supaya dibuktikan.

'Saya minta UMNO kemukakan kepada pihak berkenaan. Saya beri lampu hijau untuk UMNO berbuat demikian dalam tempoh 24 jam,” kata pemimpin utama itu dengan sombongnya.

Beliau yakin rakyat tidak akan mempercayai dakwaan yang dilemparkan oleh UMNO (Utusan Malaysia, 23 Januari).

Waktu itu, Ketua Penerangan UMNO Negeri, Mohd. Nasir Ibrahim (sekarang Dato’) mendedahkan penyelewengan itu.

Lalu apabila dicabar pemimpin utama kerajaan negeri waktu itu, Mohd. Nasir pun menyambut cabarannya. Beliau yang berjaya mendapat dokumen yang mendedahkan nama anak-anak Exco Kerajaan Negeri yang terlibat dalam pemberian zakat.

Bahkan kerajaan negeri waktu itu banyak lagi melakukan penyelewengan dalam hal berkaitan zakat itu termasuk tindakan melakukan kezaliman membatalkan pemberian zakat kepada fakir miskin yang berhak mendapatkannya yang berjumlah lebih 28,000 orang.

Sebenarnya kerajaan pembangkang waktu itu menghadapi kerosakan imej teruk berhubung isu zakat ini.

Adalah amat sukar bagi kerajaan pembangkang waktu itu untuk menutup penyelewengan dalam pemberian zakat kepada anak pemimpin mereka yang bertaraf Exco Kerajaan itu.

Hari ini mereka kononnya berjanji hendak menjadi juara kebajikan dan hendak tubuhkan negara kebajikan? Malulah sikit.

Apa nasib Naib Canselor UNISEL apabila berkata pinjaman PTPTN masih diperlukan?

Oleh FAUZI MOHD

“Akibat mulut badan binasa,” itulah kiasan yang paling tepat dalam kes antara janji Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan kes ujian pembekuan Pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Universiti Industri Selangor (UNISEL) dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

April lalu, Ketua Pembangkang itu mencanang idea pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN untuk menarik undi golongan muda.

Malah lebih dramatik lagi, Ketua Umum PKR itu menyeru kepada golongan peminjam supaya tidak membuat bayaran kepada PTPTN, meskipun Mufti Pahang, Dato’ Abdul Rahman Othman berkata haram hukumnya, jika sekiranya peminjam PTPTN tidak melunaskan semula hutang yang dipinjamkannya.

6 Jun lalu, pihak UINSEL dan KUIS, dua intitusi pendidikan yang di bawah kerajaan negeri Selangor mengalami kekecohan apabila pinjaman PTPTN dibekukan di kedua institusi itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin menyalahkan Anwar Ibrahim dalam isu pinjaman tersebut yang berjanji tanpa sebarang persediaan untuk mengotakan janjinya itu

“Beritahu Anwar yang gesa peminjam jangan bayar hutang PTPTN. Bagi Pakatan Rakyat dan PKR, PTPTN menyebabkan pelajar berhutang dan atas sebab itu mereka gesa pelajar jangan bayar balik hutang PTPTN.

“Unisel boleh hapuskan yuran, dengan sendirinya memenuhi matlamat pendidikan percuma dan penutupan PTPTN yang dilaungkan Anwar dan Pakatan,” katanya dalam Twitter.

9 Jun, PTPTN menarik balik pembekuan itu setelah rayuan dibuat oleh universiti berkenaan.

“PTPTN sekadar ingin menguji sama ada negeri ini serius dalam menyediakan pendidikan percuma.

“Sekarang mereka telah mengakui kepentingan PTPTN, jelas sekali mereka tidak dapat mencapai matlamat memberikan pendidikan percuma,” kata Menteri Pengajian Tinggi pada Jumaat lalu.

Menurutnya, rayuan yang dikemukakan oleh UNISEL supaya menarik balik pembekuan penyaluran pinjaman PTPTN kepada pelajarnya membuktikan pinjaman tersebut relevan dan masih diperlukan.

Mohamed Khaled berkata, surat rayuan oleh Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad memaklumkan pelbagai perkara termasuk kekesalan pihak universiti mengenai tindakan sekumpulan kecil pelajarnya yang terlibat dalam demonstrasi menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN di Dataran Merdeka.

“Surat itu antara lain menyatakan bahawa Unisel tidak bersetuju dengan perbuatan pelajar terbabit dan berkata mereka mungkin dipengaruhi oleh pelajar universiti lain untuk bertindak sedemikian.

“Mereka juga merayu supaya penangguhan pinjaman dibatalkan kerana pelajarnya amat memerlukan pinjaman tersebut.

“Memansuhkan PTPTN dan menyediakan pendidikan secara percuma tidak mudah.

“Pembangkang perlu berfikir bagaimana cara untuk berurusan dengan pembayaran balik RM4 bilion yang sudah diselesaikan oleh para pelajar dan hutang RM29 bilion PTPTN kepada bank,” katanya.

Dalam pada itu, laman suarapakatanrakyat menggesa agar Naib Canselor UNISEL dipecat kerana bertindak membelakangi kerajaan negeri apabila membuat rayuan kepada PTPTN.

“Sepatutnyalah sebagai sebuah agensi dibawah kerajaan negeri, UNISEL menunggu arahan selanjutnya dari kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menghantar surat rayuan kepada PTPTN.

“Kelihatannya UNISEL tidak yakin dengan kemampuan kerajaan negeri menguruskan masalah ini dan lebih sanggup mengambil tindakan sendiri tanpa memikirkan implikasi dari tindakan tersebut terhadap imej kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat.

“Sedarkah UNISEL bahawa akibat dari tindakannya itu, masyarakat semakin tidak yakin Pakatan Rakyat mampu melaksanakan janji untuk memberi pendidikan percuma kepada seluruh rakyat Malaysia?, “kata penulis laman itu.


Kurang peka kesihatan punca kes denggi meningkat

Oleh: Aida Abd Rahman

Faktor penduduk yang kurang peka terhadap kebersihan dan penjagaan kesihatan mendorong peningkatan kes demam denggi sebanyak 10 peratus kepada 360 kes dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding 329 kes bagi tempoh sama tahun lalu di seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 330 kes melibatkan demam denggi dan bakinya kes demam denggi berdarah manakala pada 2011, sebanyak 252 kes ialah demam denggi dan 77 kes demam denggi berdarah.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Anwa Sulaiman berkata pada masa ini hanya 51.9 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan dalam tempoh tiga hari selepas mengalami demam sedangkan kematian boleh dielak jika pesakit menerima rawatan yang sempurna seawal mungkin.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) telah mengatur program gotong-royong secara besar-besaran di seluruh negeri sebanyak empat kali setahun bagi menangani masalah itu.

Dr Anwa berkata sempena Hari Denggi Asean, Jabatan Kesihatan telah memilih tema 'Ke Arah Komuniti Bebas Denggi' dengan mengadakan pelbagai program kesedaran di semua daerah bermula semalam hingga 16 Jun ini.

"Tumpuan utama ialah mengadakan ceramah, mengedarkan risalah dan mengadakan pertandingan kuiz berkaitan denggi di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai berisiko tinggi.

"Aktiviti kebersihan juga dipergiatkan dengan tumpuan terhadap pembersihan longkang dan tempat-tempat yang boleh menjadi pembiakan nyamuk Aedes," katanya



11 June 2012

Pas tidak layak ganti Umno

Oleh :Amirullah Othman



Ahli Dewan Negara ,Dato’ Haji Abdul Rahman Bakar mempunyai pandangannya yang tersendiri bahawa Pas belum layak menggantikan UMNO.

Beliau menyifatkan keupayaan Pas masih jauh di belakang DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat.

“Ini jelas menunjukkan Pas belum layak mendemonasi Pakatan Rakyat sebagaimana UMNO dalam Barisan Nasional (BN),” katanya.


Dari segi prinsip, kata beliau, Pas jauh menyimpang daripada perjuangan asalnya mahu menegakkan Islam dan ketuanan Melayu.

“Ini terbukti apabila Pas sentiasa mengambil sikap mendiamkan diri apabila timbul isu ketuanan Melayu dana gama yang melibatkan Pakatan Rakyat.

“Pas juga sentiasa akur kepada tekanan daripada DAP dan PKR. Pas juga tidak ada pendirian dan hanya sekadar menjadi pak turut sahaja,” tambahnya.

“Bagaimana PAS mahu menggantikan UMNO? Bilangan kerusi Parlimen PAS lebih kecil daripada PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat sedangkan kerusi Parlimen Umno terbesar dalnm BarisanNasional,” katanya.

Beliau berkata, ramai orang Melayu tidak mahu memperjudikan, menggadai maruah dan kedudukan mereka kepada PakatanRakyat yang sememangnya anti-Melayudan Islam.




Jangan terpengaruh dengan ‘saudagar janji’

Oleh; Esah Abdullah

Bersyukurlah akan nikmat Allah dan berterima kasihlah kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bermurah hati membantu serta mendengar rintihan rakyat.



Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Peneranan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh berkata, golongan fakir miskin di negeri ini perlu terima syukur di atas segala yang diterima daripada kerajaan BN.

“Jangan terpengaruh dengan ‘saudagar janji’ sebaliknya yakinlah kepada kerajaan BN yang banyak beri sumbangan kepada rakyat ,” katanya di majlis Penyerahan Kunci Rumah Berkembar kepada fakir miskin di Kawasan Kubur Sharif, Padang Nanas, Kuala Terengganu petang semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Ekskutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) haji wan Harujan Wan Sulaiman dan Pegawai Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan, Encik Rashdan Muda.

Beliau mengingatkan rakyat terutama golongan miskin jangan tertipu dengan janji pemimpin pembangkang yang bertujuan memancing undi semata-mata.

Katanya, kerajaan BN tidak pernah abai janji yang dibuat kepada rakyat, buktinya hari ini bukan setakat rumah tetapi segala kelengkapan perabot turut dibekalkan seperti katil, sofa, meja makan, almari dan dapur disediakan dengan kadar sewa hanya RM50 sebulan.

Dalam majlis berkenaan 16 keluarga miskin telah menerima kunci rumah masing-masing manakala selebihnya (24 unit) lagi masih belum boleh diduduki kerana beberapa masalah pada pendawaian dan akan diserahkan dalam masa terdekat.

Projek rumah berkenaan di bawah kelolaan Maidam menggunakan peruntukan wang zakat sumbangan Affin Islamik Bank yang menelan belanja keseluruhan RM2 juta.






Petani terharu terima bantuan bencana alam

Oleh: Suriati Ali

Sikap tanpa jemu membantu dan menjaga kebajikan setiap lapisan masyarakat dan bangsa, membuatkan barisan kepimpinan kerajaan Terengganu terus dikagumi.

Terbaru, usaha kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Umno Bahagian Kuala Terengganu mendapatkan bantuan bencana alam kira-kira RM228,000 dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mampu membantu meringankan beban 31 petani yang mengalami kerugian akibat banjir pada Disember tahun lalu.



Golongan petani dari Kampung Tok Adis, Kuala Terengganu itu, masing-masing menerima bantuan antara RM600 hingga RM38,000.

Bantuan yang disampaikan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said disambut dengan linangan air mata oleh penerima yang hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Alam Kepada Petani di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat; Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Haji Wan Farid Wan Salleh; Ketua Pergerakan Pemuda Kuala Terengganu, Encik Badrul Hisham Zaki dan pemimpin setempat.

Mereka dilihat tidak putus-putus melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi kerana nasib dan kerugian yang ditanggung akibat bencana itu terbela dan difahami kerajaan Terengganu.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kerajaan negeri prihatin dengan nasib mereka yang rata-ratanya bergantung hidup kepada hasil tanah sejak bertahun lamanya.

Katanya, mereka perlu dibantu bagi memulihkan semangat supaya terus berbakti kepada tanah.

“Kita tidak zalim, jika mengetahui ada rakyat mengalami kesukaran hidup atau ditimpa musibah, tanpa berfikir panjang terus membantu sama ada dalam bentuk sokongan moral atau bantuan kewangan, “ katanya ketika berucap di majlis itu.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu, kerajaan negeri mengeluarkan belanja ratusan juta pada setiap tahun bagi mengatasi masalah bencana alam, termasuk membina tebatan banjir, menambah longkang dan saliran.

“Walaupun masalah itu ditimbulkan pihak lain seperti menambun tanah tidak memenuhi syarat sehingga mengakibatkan banjir di lokasi tertentu turut menjadi tanggungjawab kerajaan kerana tidak mahu rakyat susah.

“Kadang-kala bila difikirkan kembali, ianya tidak adil kerana pihak terbabit dengan mudah mengaut keuntungaan, kita yang menanggung kerugian, tetapi kita tidak mempedulikannya, asalkan rakyat senang, kerajaan ambil tanggungjawab itu.,” katanya.




Jutaan terima kasih kepada kerajaan- penerima bantuan

Oleh: Suriati Ali

“Bagaikan tiada perkataan yang patut diungkapkan melainkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan Terengganu yang sanggup membantu dan faham mengenai masalah yang dialami.

“Sekiranya tiada siapa yang sudi membantu, pastinya kami semua terus dibelenggu bebanan hutang akibat bencana yang dilalui pada Disember tahun lalu,” kata penerima Bantuan Bencana Alam yang juga petani dari Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, Ismail Awang, 64 atau dikenali sebagai Pok Wel.

Pok Wel yang menerima sumbangan RM38,000 antara 31 petani layak menerima bantuan pada Majlis Penyampaian Bantuan Bencana Alam Kepada Petani di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, Kuala Terengganu, malam tadi.

Peruntukan RM228,000 itu disumbangkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membantu meringankan petani yang mengalami kerugian akibat banjir pada Disember tahun lalu.

Petani terbabit menerima bantuan antara RM600 hingga RM38,000 bergantung kepada keluasan tanah yang diusahakan.

Pok Wel turut memberitahu, wang yang diterima ini menjadi pembakar semangat untuk dia terus berbakti kepada tanah yang diusahakan sejak usia 12 tahun lagi.

“Wang ini tidak akan dibazirkan sebaliknya akan digunakan untuk membayar hutang lama, membeli benih padi, membayar upah kepada pembajak sawah dan selebihnya akan disimpan untuk kegunaan di waktu kecemasan,” katanya.

Seorang lagi petani, Endut Salleh, 74, yang menerima bantuan RM10,580, berkata dia buntu memikirkan kejadian pada Disember lalu kerana terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit.

“Saya terima semua itu dengan rehda dan percaya lambat laung pasti ada hikmah disebaliknya.

“Kesabaran dan kebuntuan selama ini bagaikan terbalas apabila saya dapat mengenggam cek pemberian kerajaan sebanyak RM10,580 ini,” katanya.




Maidam sedia rumah untuk fakir miskin

Oleh; Esah Abdullah

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) telah membina 170 buah rumah di seluruh negeri menggunakan wang zakat di bawah asnaf fakir miskin.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Wan Harujan Sulaiman berkata, daripada jumlah itu 32 keluarga sudah berjaya menduduki rumah berkenaan iaitu di Kampung Air, Kemaman (16 keluarga) dan di Kampung Kubur Sharif Padang Nanas, Kuala Terengganu (16 keluarga).

“Sebanyak 38 unit lagi dibina di Kampung Banggol Peradong, Kuala Nerus (fasa 1) yang kini dalam proses pemilihan peserta,” katanya kepada pemberita di majlis Penyerahan Kunci Rumah Berkembar, Kawasan Kubur Sharif, Mukim Batu Rakit, Kuala Terengganu petang semalam.

Penyerahan kunci rumah telah dilakukan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, YB Haji Muhammad Ramli Noh.

Perumahan berkembar di kawasan Kubur Sharif mempunyai 40 unit dan harga setiap unit ialah RM45,000 dengan kos keseluruhan kira-kira RM2 juta, sumbangan Affin Islamik Bank (RM1 juta) manakala selebihnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Syarikat Air Terengganu (SATU) bagi kerja-kerja menyediakan kemudahan infrastruktur.

Manakala projek fasa 11 di Kampung Banggol Peradong yang membabitkan rumah teres 76 unit akan dimulakan selewat-lewatnya akhir tahun ini.

“Di samping rumah yang selesa dengan kelengkapan perabot seperti katil, sofa, meja makan, dapur serta almari, beberapa kemudahan lain dirancang termasuk kelas tambahan kepada anak-anak peserta dan pengangkutan jika perlu,” katanya.

Katanya, peserta yang berjaya menduduki rumah Maidam tidak akan diberi hak milik sebaliknya dikenakan sewa RM50 sebulan kerana konsep jabatan ialah membantu sementara mereka memiliki rumah sendiri.

Selain itu katanya, semua projek pembinaan rumah berkenaan menggunakan tanah milik kerajaan dan tidak menyasarkan mana-mana daerah asalkan ada kawasan yang sesuai.




Terengganu hos Pertandingan Robocon Peringkat Kebangsaan 2012


Oleh: Aida Abd Rahman

Terengganu terpilih selaku hos bagi Pertandingan Robocon Peringkat Kebangsaan 2012 yang akan diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pada 12 hingga 17 Julai ini.

Pertandingan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, Asia Pacific Broadcasting Union (ABU), RTM, Kementerian Pengajian Tinggi dan Sirim bertemakan ` In Pursuit of Peace and Prosperity’ (Peng On Dai Gat) bakal disertai 64 pasukan yang terdiri daripada penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Penolong Kanan Setiausaha Kerajaan (Inovasi Khas), Encik Fadli Yusof Zakaria, berkata penganjur mensasarkan program kali ini bakal dikunjungi 10,000 pelawat dari seluruh Malaysia.

Katanya, acara bermula dengan pendaftaran dan sesi ujian pada 12 Julai, manakala hari berikutnya pada 14 Julai hingga 16 Julai dijalankan proses saringan, sebelum pertandingan akhir dan penutup pada keesokannya (17 Julai).

“Pertandingan robot yang mula dilaksanakan sejak 10 tahun lalu itu disasarkan untuk pelajar mahasiswa institusi pengajian tinggi di rantau Asia Pasifik bertujuan mewujudkan persahabatan di kalangan golongan muda yang mempunyai minat yang sama dalam meningkatkan daya kreativiti terhadap bidang Sains dan teknologi.

“Ia juga membantu menjana minda kreatif dan inovatif, selain meningkatkan kejuruteraan awal dan teknologi penyiaran di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka bakal merasmikan program penutup serta penyampaian hadiah pertandingan itu nanti.

Menurutnya, pemenang peringkat kebangsaan akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong, selaku hos buat kali-11 bagi pertandingan `ABU Asia-Pacific Robot Contest 2012’.


Berakhirkah kisah derita Adam?

Oleh FAUZI MOHD

Empat tahun episod derita pesakit tumor saraf tunjang, Adam Akbar Ali, 10, bersama dengannya liku-liku perjalanan yang sukar.



Dunia kanak-kanak Adam sudah tertinggal begitu jauh, hospital dan klinik destinasi ‘pelancongan’ dia dan keluarga, puluhan doktor menjadi rakan barunya, wad serta bilik bedah terpilih sebagai lokasi ‘pengembaraan’.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Noordin, 43 terpaksa memilih untuk meninggalkan kerjaya sebagai Pensyarah di Universiti Teknologi Mara awal tahun lalu bagi memberi lebih tumpuan kepada Adam.

Walaupun pembedahan pertama di sebuah hospital di Singapura pada Julai 2010 menghabiskan RM250,000 dan pembedahan kedua di Hospital Kuala Lumpur pada November tahun lalu, derita Adam belum berakhir.

Kata bapanya, penyakit Adam itu kembali menjadi ‘teman’ anak sulongnya itu dan mengikut pandangan pakar-pakar perubatan, pembedahan seterusnya berisiko tinggi untuk lumpuh.

Apa yang lebih membimbangkan Akhbar dan isteri, Siti Rogayah Sheikh Ismail, 34, mereka tiada pilihan lain melainkan terpaksa berkompromi dengan risiko kehilangan nyawa.



Mungkin itu antara kisah derita yang terpaksa diharungi Adam sekeluarga yang hampir setiap hari membuat kiraan perbelanjaan pembedahan dan lebih menyayat hati, perhitungan untuk terus hidup atau sebaliknya.

Kata Akhbar, setelah melakukan siri perbincangan melalui panggilan telefon dan e-mail dengan oleh Pakar Neuro, Dr. George Jallo dari Hospital John Hopkins, Baltimore, Amerika Syarikat, persetujuan dicapai untuk melakukan pembedahan ke atas Adam pada 20 Jun ini.

“Kos pembedahan sahaja di Hospital John Hopkins pada asalnya RM300,000. Saya memberanikan diri untuk merayu bagi kurangkan kos itu.

“Setelah berbincang, Dr. Jallo setuju kecualikan yuran pembedahannya dan beliau juga berbincang dengan pihak Hospital itu untuk bantu Adam. Akhirnya, kos dikurangkan kepada RM175,000 .

“Dr. Jallo mampu yakinkan saya. Katanya, sebanyak 90 hingga 95 peratus tumor Adam boleh dikeluarkan dan risiko untuk anak saya menjadi lumpuh adalah minima,” jelas beliau yang kini menjadi Pensyarah sambilan.

Apa yang membuatkan Akhbar sekeluarga sedikit lega, kisah Adam mendapat perhatian Kerajaan Terengganu yang tampil menghulurkan sumbangan RM100,000 untuk membiayai pembedahan anaknya.



Sumbangan cek tersebut disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad di kediaman keluarga Adam, di Seksyen 7, Shah Alam, pagi tadi.



Dato’ Yahya berkata, sumbangan tersebut adalah keprihatinan Kerajaan Terengganu kepada Adam yang ditimpa musibah kesihatan yang memerlukan kos perubatan yang tinggi.

“Kerajaan Terengganu tampil membantu Adam walaupun beliau bukanlah rakyat Terengganu. Adam adalah penerima pertama bantuan Tabung Darul Iman melibatkan bukan rakyat Terengganu.

“Keputusan pemberian sumbangan ini dibuat dalam mesyuarat Exco yang lalu yang meluluskan RM100,000 untuk diberikan kepada Adam bagi membiayai pembedahan beliau di luar negara,” katanya kepada media selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada Adam.



Beliau berkata, bantuan kepada Adam diberikan kerana Kerajaan Selangor tidak memberikan bantuan kepada kanak-kanak tersebut, walaupun berita mengenai Adam telah disiarkan oleh media beberapa minggu sebelum ini.

“Kami berterima kasih kepada keluarga Adam kerana memberikan peluang kepada kami untuk menampung kos perubatan yang diperlukan,” katanya.

Bagi Akhbar, bantuan itu mencukupkan dana yang diperlukan untuk membiayai kos pembedahan Adam dengan jumlah terkumpul kini adalah RM182,500.

Beliau berkata, dana RM82,500 disumbangkan oleh orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan termasuklah RM20,000 dari 1MCA Medical Foundation.



“Saya berharap orang ramai akan mendoakan keselamatan kami dan pembedahan Adam berjaya dilakukan,” katanya.