Halaman

25 June 2012

LED Dataran Shahbandar beri manfaat kepada orang ramai

Oleh: Suriati Ali

Pendekatan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan Skrin Layar Besar (LED) di Dataran Shahbandar, Kuala Terengganu mampu memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat terutama apabila tiba kejohanan tertentu termasuk perlawanan bola sepak.

Datuk Bandar MBKT, Dato' Mohd. Adzlan Dagang, berkata kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM800,000 untuk menyediakan LED yang siap dibina awal tahun 2010 itu.

“Sejak wujudnya skrin itu pelbagai agensi kerajaan, swasta dan Badan Bukan Berkanun (NGO) tampil untuk bekerjasama menganjurkan aktiviti berbentuk kekeluargaan dan kemasyarakatan.

“Langkah itu secara tidak langsung mahu menghidupkan suasana malam di Dataran Shahbandar yang sebelum ini agak suram dengan sebarang aktiviti,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, lokasi itu bertambah meriah apabila berlangsungnya kejohanan dan perlawanan tertentu seperti Kapal Layar Piala Monsun, Bola Sepak Piala Dunia dan yang hangat sekarang ini iaitu `demam bola’ Euro 2012.

“Sejak perlawanan Euro 2012 berlangsung, Dataran Shahbandar bagaikan menjadi pilihan utama penduduk setempat terutama golongan belia, setiap kali pasukan kesayangan masing-masing beraksi,” katanya.

Menurutnya, skrin itu merupakan salah satu alternatif memastikan kawasan bandar raya itu ‘hidup’, selain memastikan peningkatan dan pembangunan ekonomi negeri.

“Skrin besar dibina untuk mencipta keindahan kawasan di Shahbandar dan orang ramai boleh membawa keluarga untuk meluangkan masa di sana. Kita turut menyediakan program Astro.

“Kita atur supaya malam di Kuala Terengganu lebih hidup dan usaha ini untuk memastikan gejala mat rempit berkurangan,” katanya.



Terengganufm sasar RM1.18 juta kutipan iklan

Oleh; Esah Abdullah

Terengganufm menyasarkan pendapatan iklan (KPI) 2012 sebanyak RM1.18 juta. Ini berdasarkan unjuran pendapatan 2008 hingga 2011.

Pemangku Pengarah Jabatan Penyiaran Terengganu, Hajah Azizah Yusof berkata, walaupun angka kutipan sering turun naik dan pernah mencecah kutipan paling tinggi iaitu RM948,903 (2008).

”Pendapatan tahun lalu merosot sedikit iaitu RM844,449 namun jumlah itu mampu meningkat berdasarkan rating stesen semakin tinggi dan jumlah pendengar meningkat serta promosi kumpulan pemasaran yang lebih agresif, ”.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis Mesra Ceria Terengganufm bersama pengiklan dan anak-anak yatim di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu petang semalam.

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Program Radio, Jabatan Penyiaran Kuala Lumpur, Cik Siti Mohaini Saad. Hadir sama Wakil Utusan Airtime Sdn Bhd.Tengku Armie Marina Tengku Arif dan Pengurus Besar Hotel Permai Inn Encik Azman Ali.

Katanya, walaupun saingan dalam dunia penyiaran semakin sengit tetapi jumlah pendengar Terengganufm terus meningkat serta berjaya menawan hampir 40 peratus dari jumlah penduduk Terengganu.

Menurutnya pada suku kedua tahun ini Terengganufm mencatat jumlah pendengar 380,000 dan dijangka terus meningkat penghujung tahun ini berbanding 200,000 lima tahun lalu.

Mengikut kajian katanya, pendengar dewasa (45 tahun keatas), sekitar 60 peratus, remaja (30 peratus) dan selebihnya kanak-kanak manakala pendengar luar bandar (60 peratus) dan bandar (40 peratus).

”Setakat ini Terengganufm berada ditempat ketiga Radio RTM negeri paling popular selapas Kelantan dan Kedah.

Katanya, program hari ini merupakan program tahunan untuk meraikan para pengiklan yang telah membantu meningkatkan kutipan iklan di Terengganufm dan sekali gus memberi sumbangan pakaian Hari Raya kepada anak-anak yatim di sekitar Daerah Kuala Terengganu.






UMT lancar buku Panduan dan Etika Penyelidikan

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan melancarkan buku Panduan dan Etika Penyelidikan UMT di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, hari ini.

Majlis pra-pelancaran buku tersebut akan disempurnakan Naib Canselor UMT, Prof Dr Ibrahim Kommo.

Majlis tersebut akan dilakukan serentak dengan Majlis Anugerah Malim Ilmu 2012 yang bertujuan meraikan kejayaan dan pencapaian para penyelidik universiti berkenaan sepanjang 2011 bagi menghasilkan penerbitan ilmiah dan pencapaian dalam pertandingan produk dan inovasi.

Buku tersebut berfungsi sebagai panduan dan tunjuk ajar kepada prinsip-prinsip umum bagi menjalankan penyelidikan yang beretika sesuai dengan pronsip umum bagi menjalankan penyelidikan terhadap manusia, tumbuhan dan haiwan.


Perkaya wujud agro desa di Indonesia

Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) bercadang untuk membeli sebidang tanah kira-kira seluas 1.6 hektar di Bandung, Indonesia bagi mewujudkan agro desa (pelancongan desa) di sana.

Yang Dipertuanya, Dato’ Dr Tengku Mahmud Mansor berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim (Peyatim Asean) di negara jiran itu bagi membolehkan program tersebut dilaksanakan.

Menurut beliau, pelancongan desa yang akan dilaksanakan itu berkonsepkan perkampungan tradisi yang turut dilengkapi kemudahan penginapan dan aktiviti tradisi yang memberi peluang kepada pelancong mengenali masyarakat setempat.

``Apa yang penting melalui projek itu juga dapat memberi peluang kepada anak-anak yatim bertukar idea dan pandangan terutama dengan pelancong asing yang berkunjung ke situ,’’ katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perkaya kali ke 26 di Terengganu Equestrian Resort (TER) Kuala Ibai, semalam. Majlis tersebut dirasmikan oleh Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Beliau berkata, projek tersebut akan dilaksanakan secepat mungkin setelah tapak sesuai dikenalpasti dan akan memberi peluang kepada anak-anak yatim yang telah menamatkan pengajian dalam bidang pelancongan dan hospitality untuk mengendalikannya.

Selain itu katanya, Perkaya akan berkerjsama dengan Peyatim Malaysia bagi membolehkan pelajar Kolej Teknologi Bestari (KTB) milik Peyatim dan Perkaya menjalani latihan praktikal di situ.

Beliau yang juga Yang Dipertua Peyatim berkata, selain di Bandung, Perkaya juga bercadang untuk melaksanakan projek seumpama itu di Sumatera, Kampuchea dan di Terengganu sendiri yang mana pada masa ini kawasan sedang dikenalpasti.

Katanya, projek tersebut merupakan satu usaha Perkaya dalam menjana pendapatan bagi membolehkan lebih ramai anak-anak yatim di negeri ini dibantu.

Beliau berkata, Terengganu tidak dinafikan mempunyai daya tarikan tersendiri untuk menarik orang luar berkunjung ke negeri itu yang sekaligus membantu kerajaan negeri bagi memperkenal Terengganu ke seluruh dunia.

Tengku Mahmud berkata, Perkaya memerlukan kira-kira RM2 juta setahun untuk pengurusan dan pengendalian asrama anak-anak yatim di Marang dan Besut.

“Pada masa ini Perkaya banyak terlibat dalam bidang pertanian seperti tanaman sawit dan ternakan,” katanya.





24 June 2012

Ahli peladang bakal bertemu Menteri Besar

Oleh: Suriati Ali

Pelbagai lapisan bangsa dan masyarakat, termasuk golongan belia, profesional, petani, imam bilal, nelayan, ibu tunggal dan pemandu teksi sudah ditemui Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bagi membuktikan kerajaan negeri bersikap cakna dan prihatin.

Kali ini, Dato’ Seri Haji Ahmad akan bersua muka pula dengan kira-kira 5,000 ahli peladang sempena Program Himpunan Perdana Ahli Peladang Terengganu yang akan diadakan di Stadium Tertutup, Komplek Sukan Negeri, Gong Badak, Kuala Terengganu pada 5 Julai ini.

Program yang dikelola Lembaga Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu itu bukan saja mampu merapatkan hubungan pemimpin bersama masyarakat malah dapat meneruskan agenda kepimpinan kerajaan negeri iaitu `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan’.

Pelbagai aktiviti sampingan diadakan antaranya, ruangan pameran, kaunter informasi pelbagai jabatan kerajaan dan swasta, penjualan hasil pertanian serta produk usahawan.

Apa yang menariknya, orang ramai berpeluang menyemak status daftar pemilih yang akan disediakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) cawangan Terengganu.

Kaunter perkhidmatan bergerak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia turut berada di lokosi program bagi memudahkan orang ramai mengetahui sama ada mempunyai saman atau sebaliknya.

Tidak ketinggalan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu turut meluangkan masa bertujuan mengalu-alukan masyarakat supaya memeriksa tahap kesihatan diri dan menderma darah.

Orang ramai juga dijempur hadir bagi memeriahkan program dan mendengar amanat pemimpin utama kerajaan negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad.


UMT anjur Majlis Anugerah Malim Ilmu 2012

Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan menganjurkan Majlis Anugerah Malim Ilmu 2012 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, esok (25 Jun).

Majlis berkenaan yang merupakan kali kelima sejak ia diperkenalkan pada 2008, akan dirasmikan Naib Canselor UMT, Prof Dr Ibrahim Kommo.

Program tahunan UMT itu bertujuan meraikan kejayaan dan pencapaian para penyelidik universiti berkenaan sepanjang 2011 bagi menghasilkan penerbitan ilmiah dan pencapaian dalam pertandingan produk dan inovasi.

Antara kategori hadiah Anugerah Malim Ilmu itu ialah Anugerah Saintis Cemerlang, Anugerah Saintis Terbaik kategori Sains Sosial dan Sains & Teknologi, Anugerah Saintis Muda Terbaik, Anugerah Penerbitan Artikel Jurnal Berwasi dan Anugerah Poduk dan Inovasi Penyelidikan.

Pada majlis itu juga, Naib Canselor UMT akan menyempurnakan pra-pelancaran buku bertajuk Panduan dan Etika Penyelidikan UMT.



Larian Jambatan Sultan Mahmud tawar hadiah lumayan

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan menghidupkan kembali Larian Jambatan Sultan Mahmud Peringkat Antarabangsa selepas 14 tahun menyepi.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Rozi Mamat, berkata pihaknya bersetuju untuk menganjurkan kembali acara yang pernah menjadi program tahunan itu pada 29 September ini.

Katanya, lebih 10,000 peserta tempatan dan luar negara, termasuk Thailand, Singapura, Indonesia, Afrika Selatan dan Indonesia dijangka menyertai larian sejauh 21 kilometer itu.

“Pihak kami yakin mampu sasaran kerana aktiviti itu sering kali menjadi sebutan orang ramai terutama di kalangan peminat larian.

“Hadiah keseluruhan yang ditawarkan cukup lumayan iaitu kira-kira RM250,000 di mana tempat pertama bakal membawa pulang RM30,000,” katanya selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Larian Perdana Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), di dataran Shahbandar, Kuala Terengganu, semalam.

Lebih 3,000 peserta di kalangan masyarakat Terengganu menyertai Larian Perdana PMINT sejauh lima kilometer (km) dan 10 km itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM45,000.

YB Rozi turut memberitahu, larian terbahagi kepada beberapa kategori iaitu kanak-kanak, pelajar sekolah, dewasa, Orang Kurang Upaya (OKU) dan terbuka antarabangsa.
“Trek larian dimestikan melalui Jambatan Sultan Mahmud dan beberapa batang jalan lain akan ditentukan kemudian oleh pihak penganjur.

“Pihak kami serius menganjurkan larian ini kerana ia bukan saja mampu mencungkil bakat-bakat baru, malah mampu memperkenalkan keindahan dan keistimewaan Terengganu kepada pelancong asing,” katanya.


Adam selamat dibedah, keluarga rakam penghargaan kepada PM, Kerajaan Terengganu

Oleh FAUZI MOHD



Keadaan Adam Akbar Ali, 10, dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan membuang lebih 90 peratus tumor daripada saraf tunjangnya Khamis lalu.

Bapanya, Akbar Ali Mohamed Nordin berkata, kejayaan pembedahan itu perkara yang menakjubkan baginya tanpa melibatkan sebarang komplikasi atau risiko lumpuh.

Adam sebelum itu ditempatkan di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Kanak- kanak Johns Hopkins Bloomberg dan kini dipindahkan ke wad biasa dalam tempoh empat hingga enam hari.

“Kemudian, Adam dihendaki menjalani pemeriksaan Pengimejan Resonan Magnetik (MRI) bagi melihat sendiri kejayaan pembedahan ini.

“Saya bersyukur dengan kejayaan ini dan sekali gus menamatkan penderitaan Adam,” katanya menerusi kiriman e-mel kepada Wartawan Teganukita semalam.

Menurutnya, pihak hospital turut melakukan rakaman video dokumentari pengalaman Adam dan keluarganya, ketika mengharungi pembedahan tersebut.

“Alhamdulillah, saya bersyukur semuanya berjalan dengan lancar hasil pertolongan kerajaan dan orang ramai membantu Adam untuk sembuh kembali,” katanya.

Akbar Ali turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Profesor Dr George Jallo, Hospital Johns Hopkins, Kerajaan Negeri Terengganu dan Melaka kerana membantu dia keluarganya sepanjang proses tersebut.



Dana T'Fund bertambah sekali ganda tahun depan

Oleh: Aida Abd Rahman
Kerajaan negeri bersetuju menambah peruntukan RM1 juta menjadikan jumlah RM2 juta setahun menerusi Tabung Pembangunan Usahawan Terengganu atau T’Fund bermula tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata keputusan meningkatkan tabungan itu bagi menarik lebih ramai penyertaan kaum Bumiputera dalam perniagaan sekali gus melonjak sektor ekonomi Terengganu.

“Terengganu mewujudkan T’Fund yang menyediakan modal pusingan RM1 juta setahun dan tahun depan kita masukkan RM2 juta pula.

“Selain itu, tahun depan juga kita masukkan (dalam Bajet 2013) sebanyak RM20 juta bagi membantu ibu tunggal melibatkan dengan perniagaan kecil-kecilan dansebagainya. Di Terengganu kira-kira 21,000 ibu tunggal yang sesetengahnya jarang kes berpisah dengan suami, suami bertanggungjawab dan hantar belanja anak setiap bulan kerana kebanyakan tidak hantar, anak sendiri tidak mengaku seperti anak sendiri..ini bapa-bapa yang tidak bertanggungjawab. Kesian..kita harus bantu mereka,” katanya baru-baru ini.

Menteri Besar berkata, menerusi T’Fund YPU sudah mengeluarkan RM13.166 juta untuk 1,795 peminjam pada tahun lalu termasuk RM268,500 yang dibelanjakan bermula Januari hingga Mei lalu.

“Usaha menambah dana itu sebagai suntikan modal bagi mempertingkat dan membangunkan perniagaan di kalangan penduduk Terengganu termasuk Industri Kecil Sederhana (IKS).

“Kerajaan sudah menutup semua ruang yang ada bagi menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan pinjaman supaya dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat untuk mengubah nasib dan memajukan kehidupan masing-masing. Terpulang kepada individu itu sendiri merebut peluang yang ada ini,” katanya.

T'Fund yang ditubuhkan sejak 2002 membelanjakan kira-kira RM9 juta menerusi tiga skim pembiayaan iaitu Skim Pembiayaan Kecil (SPK), Skim Sahabat Penjaja Melayu (SSPM) dan Skim Pinjaman Tanpa Faedah (SPTF) di mana saiz pembiayaan bagi setiap usahawan mengikut skim itu adalah antara RM2,000 hingga RM50,000.




Tiga nilai buruk Pakatan Rakyat

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak mendedahkan pembangkang menyemai tiga nilai buruk di kalangan rakyat negara ini yang boleh menghakis keharmonian dan menjejaskan proses pembangunan negara.

Nilai buruk pertama ialah apabila pihak pembangkang berjanji mereka tidak akan menunaikan janji tersebut. Pembangkang hanya menabur janji politik dan mereka marah apabila kerajaan menabur bakti kepada rakyat.

Kedua pembangkang telah menyemai tabiat buruk di kalangan rakyat apabila berhutang tidak perlu dibayar semula.

Ketiga pembangkang menyemai tabiat buruk budi tidak perlu dihargai, menyebabkan segelintir rakyat tidak mengenang budi kerajaan yang telah melaksanakan pelbagai program dan pemberian bantuan kepada mereka.

Jika diteliti semua sifat buruk tersebut bertentangan dengan nilai-nilai murni dan ajaran agama Islam yang suci.

Inilah sebenarnya kerja-kerja pemimpin pembangkang, mereka sanggup mengetepikan ajaran Islam semata-mata kerana mahu menghasut rakyat supaya membenci kerajaan yang sudah terlalu banyak berjasa kepada rakyat.

Pemimpin pembangkang suka bercakap bohong dan menabur fitnah, khususnya kepada pemimpin kerajaan yang sentiasa berkhidmat untuk kebaikan dan kesejahteraan rakyat.

Mereka cakap berbelit-belit dan tidak istiqomah, hari ini cakap lain tetapi bila tersepit mereka akan mencari jalan untuk menyelamatkan diri dengan menyalahkan pihak lain kononnya cuba mengalih isu.

Berbeza dengan Kerajaan BN yang tentunya mengutamakan nilai-nilai murni dan sentiasa memupuk semangat perpaduan dan menganjurkan masyarakat negara ini menjadi rakyat yang bersyukur.

Pemimpin BN tidak menghasut rakyat supaya membenci pemimpin tertentu, sebaliknya mereka sentiasa mencari jalan bagi memastikan rakyat pelbaagi kaum hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu bagi mewujudkan kestabilan politik.

Itulah perbezaan ketara antara pemimpin pembangkang yang hanya mahu mengabui rakyat dengan janji-janji palsu dan pemimpin BN yang ikhlas berjuang dan merangka strategi bagi membela nasib rakyat.