Oleh FAUZI MOHD
Sejak mula berpakat secara 'luar tabie' bersama PKR dan DAP pada tahun 2008, PAS semakin 'galak' mendekati golongan artis dan selebriti tempatan bagi dipergunakan sebagai 'pelaris' dalam program parti serta ceramah, kononnya parti itu mendapat sokongan golongan tersebut.
Antara artis 'kabur' yang telah dipergunakan ialah Bob Lokman, Aishah, Hairie Othman, Abby Abadi, Dayangku Intan dan beberapa lagi selebriti yang bergerak dari satu pentas ke satu pentas ceramah yang dianjurkan PAS.
Menariknya, golongan artis dan selebriti itu langsung tidak menyedari bahawa mereka sedang dipergunakan PAS untuk meraih sokongan rakyat, dan lebih malang lagi apabila mereka disuntik doktrin kononnya perjuangan parti itu adalah sebuah pejuangan “Islam” sebenar.
Sejak zaman berzaman sebelum ini, golongan artis dan selebiriti sering dikutuk, dicaci dan dimaki hamun oleh PAS di pentas-pentas ceramahnya serta golongan itu dianggap sebagai “terpesong” dari landasan Islam.
Ada yang dikecam hebat sehingga dilarang dan disekat sama sekali untuk mengadakan persembahan di negeri Kelantan.
Ketika itu, siapakah yang membela golongan artis dan selebriti tempatan kalau bukan kerajaan Barisan Nasional?
Dan sehingga kini, kewujudan golongan seni itu diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia apabila wakil mereka, Tan Sri Jins Samsuddin telah dilantik sebagai senator bagi menyuarakan suara golongan itu di dewan rakyat.
Artis-artis yang berceramah di pentas-pentas PAS sebelum ini menjelaskan bahawa mereka tidak berminat sama sekali untuk menceburi bidang politik dan hadir berceramah di situ bagi memenuhi jemputan pihak penganjur.
Kata mereka, mereka tidak berminat dengan dunia politik dan hanya tertarik kepada Islam, serta mahu mendekatkan diri dengan agama setelah “berhijrah” dan mendakwa diberi “hidayah” oleh Allah SWT.
Persoalannya, apakah mereka fikir pentas ceramah PAS itu adalah pentas “Islam” sebenar?
Sekiranya mereka tidak berminat dengan politik, mengapa mereka perlu berada di pentas-pentas PAS secara berulang-ulang kali sedangkan PAS ialah adalah sebuah parti politik dan bukannya mewakili agama Islam.
Sekiranya golongan artis dan selebriti benar-benar berminat untuk “berhijrah” serta mendekati Islam secara jujur dan ikhlas, sewajarnya mereka tidak akan memilih PAS sebagai platform untuk mereka berbuat demikian.
Sewajarnya mereka patut mendekati Islam menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau Jabatan-Jabatan Agama Islam yang berkecuali serta tidak berpihak kepada mana-mana parti politik di negara ini.
JAKIM dan jabatan-jabatan agama Islam mempunyai pegawai-pegawai agama yang bertauliah dan jangan terkejut sekiranya terdapat mereka yang menyokong PAS, PKR dan Pakatan Rakyat di dalam agensi kerajaan yang menjaga hal ehwal Islam dan umatnya itu.
Menariknya, para pegawai dan kakitangan yang menyokong PAS di dalam agensi kerajaan itu langsung tidak didikriminasikan atau dibuang kerja kerana tidak menyokong kerajaan BN.
Ini adalah kerana Islam itu adalah syumul dan memberikan kebebasan kepada mana-mana individu untuk menyokong mana-mana parti politik pilihan mereka, dan cara pendekatan itulah yang digunapakai oleh BN.
Justeru itu wajarlah dikatakan bahawa JAKIM dan jabatan-jabatan tersebut lebih tepat digunakan oleh golongan artis dan selebriti untuk mendekatkan diri dengan Islam dan tidak bercampur aduk dengan fahaman politik yang bersifat duniawi.
Nampaknya, “hidayah” yang kononnya diberi Allah SWT kepada segelintir artis dan selebriti itu bukanlah “hidayah” ke arah Islam, malah ia lebih tepat untuk dianggap sebagai “hidayah” yang penuh dengan “nafsu politik”!