Halaman

12 July 2012

SUKMA 2012 : Harith Ammar ditabal raja pecut

Oleh FAUZI MOHD

Pelari Terengganu, Harith Ammar Mohd. Sobri ditabalkan selaku raja pecut Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang.

Dalam saingan akhir acara 100 meter lelaki yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi, Harith Ammar melakukan catatan masa 10.84 saat.

Pingat perak dimenangi pelari Kedah, Mohd. Helmi Ahmad dengan catatan masa 10.92s, manakala gangsa milik atlet Sabah, Eddie Edward Jr. (10.93s).

“Rasa bermimpi pun ada, saya tidak percaya menang kerana larian permulaan saya kurang baik sehingga ketinggalan pada suatu ketika.

“Ternyata keputusan saya untuk menukar acara berbanding 4x100m sebelum ini berbaloi dan saya tujukan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Terengganu,” kata Harith Ammar.


Rumah teres 60 unit untuk penduduk Taman Rahmat

Oleh: Aida Abd Rahman

Kunjungan pertama Menteri Besar ke Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Marang membawa berita gembira kepada penghuni taman itu apabila kerajaan negeri bersetuju membina rumah teres yang menempatkan 60 unit rumah di tapak berkeluasan tujuh hektar berhampiran penempatan mereka mulai tahun depan.




Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata nasib 230 penduduk menghuni di 53 unit rumah kayu yang mula dibina sejak zaman pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad lebih terbela dengan pembinaan kediaman baru yang lebih baik dan selesa nanti.

“Banyak rumah-rumah telah rosak kerana dibina sebuah-sebuah menggunakan kayu, jadi demi masa depan mereka kerajaan negeri bersetuju membina 60 unit rumah teres tiga bilik tidur tahun depan kepada semua penghuni di sini.

“Jadi kita ada baki tujuh rumah, sebagai tambahan kemudian kepada yang bekeluarga. Lebih (unit rumah) tidak mengapa ini akan menyenangkan lagi,” katanya di sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan kepada 53 ketua keluarga di penempatan itu, sempenaa Program Kar1sma Mesra, di Dewan Inspirasi Warisan, Taman Rahmat, Marang, petang semalam (11 Julai).

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tuan Haji A Rahman Che Ali, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Encik Zulkifli Ali dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.

Menteri Besar berkata, projek pembinaan rumah baru itu dibina bersebelahan penempatan sedia ada yang tidak menjejaskan rumah asal dan kehidupan penduduk sementara kediaman baru mereka siap serta boleh digunakan sepenuhnya nanti.

Katanya, projek berkenaan dijangka akan bermula April ini sebaik sahaja bajet keseluruhan dan tender projek dikeluarkan.



Dalam pada itu, Dato’ Seri Haji Ahmad mengingatkan penduduk di situ bahawa kerajaan negeri sentiasa membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang dan taraf kehidupan mereka.

“Pada masa yang sama, saya berharap semua penduduk membalas jasa kerajaan yang sentiasa menyalurkan bantuan dan kemudahan ini dengan terus memberi sokongan padu kepada kerajaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan pada masa depan,” katanya.



Generasi kedua Taman Rahmat perlu berubah : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengingatkan generasi kedua di Taman Rahmat, Pulau Kerengga, Marang dapat memanfaatkan peluang dan kemudahan yang disediakan kerajaan negeri serta Pusat khususnya dalam aspek pendidikan bagi mengubah nasib keluarga mereka.



Beliau berkata, generasi pertama yang terdiri di kalangan ibu bapa dan ketua keluarga mungkin sukar untuk mengubah kehidupan masa kini memandangkan faktor usia dan kekangan yang ada termasuk kecacatan yang dihadapi mereka sejak sekian lama.

“Saya minta mereka berikan kesedaran, motivasi dan harapan kepada anak mereka. Apabila anak-anak mereka berjaya, mereka boleh mengubah nasib mereka. Kita mahu mengubah mereka (generasi pertama) agak payahlah sebab mereka berumur dan untuk belajar juga susah.

“Sebab itu saya tekankan setiap malam, mereka perlu memantau perkembangan anak-anak mereka dengan bertanya mengenai pelajaran, sama ada sudah mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah,” katanya di sidang akhbar selepas menyampaikan sumbangan hamper barangan dapur kepada 53 ketua keluarga sempena Program Kar1sma Mesra, di Dewan Inspirasi Warisan Taman Rahmat, Marang, petang semalam (11 Julai).

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tuan Haji A Rahman Che Ali, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Encik Zulkifli Ali dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.

Menteri Besar berkata, tiada sebab anak-anak penghuni di situ gagal dalam pelajaran memandangkan sudah ada di kalangan mereka berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan menyambung pelajaran peringkat diploma dan juga ijazah kedoktoran.

Beliau dalam ucapan sebelum itu meminta semua penghuni di penempatan itu tidak menyalahkan takdir dengan apa yang sedang dihadapi kini, sebaliknya perlu bangkit dari kehidupan yang sukar untuk melihat kejayaan anak-anak serta masa depan yang lebih terjamin.





11 July 2012

Kurma, air zam-zam diagih minggu kedua Ramadan

Oleh FAUZI MOHD dan ESAH ABDULLAH

Kerajaan negeri mula mengagihkan sumbangan buah kurma dan air zam-zam pada minggu kedua Ramadan.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, agihan itu merupakan program tahunan pengimarahan masjid di seluruh negeri sepanjang bulan berkenaan.

“Kurma, air zam-zam yang akan kita (kerajaan negeri) agihkan mula sampai. Kita harap minggu kedua (Bulan Ramadan) kita agihkan kepada rakyat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Mengenai peruntukan bagi program itu, beliau berkata sama seperti tahun lalu.

Tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3 juta bagi program itu termasuklah penyediaan aktiviti bercorak keagamaan serta pengagihan bubur lambuk.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, kerajaan negeri juga akan menjemput imam dari Arab Saudi dan Mesir untuk mengetuai solat tarawih sepanjang bulan puasa ini.

Kata beliau, mereka akan ditempatkan di masjid dalam setiap daerah di Terengganu secara bergilir-gilir sepanjang Ramadan.


PM lawat Terengganu dua kali dalam tempoh sebulan

Oleh; Esah Abdullah

Dalam tempoh tidak sampai sebulan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka mengadakan dua lawatan sehari ke Terengganu.

Kunjungan pertama pada 13 Julai ini (Jumaat) dan mengulangi lawatannya pada bulan Ramadan nanti yang dijadualkan 10 Ogos depan untuk bertemu dengan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, dalam lawatan sehari Jumaat ini, Perdana Menteri akan melancarkan program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ di Arena Square, Dungun.

“Dato’ Sri Mohd Najib kemudiannya akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Pekan Bukit Payong, Marang dan seterusnya menghadiri majlis Jamuan Rakyat di Dataran Bukit Payong bersama kira-kira 10,000 penduduk tempatan,” .

“Sebelah petang Perdana Menteri akan bertemu dengan kira-kira 20,000 Anggota Rela seluruh negeri bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini (11 Julai).

Menurut Menteri Besar, Perdana Menteri dijangka pulang ke Kuala Lumpur jam 5.30 petang kerana akan menghadiri majlis penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada sebelah malamnya yang akan disempurna oleh Yang diPertuan Agong.

“Manakala lawatan pada Ogos depan, Perdana Menteri dijangka menghadiri majlis berbuka puasa dengan rakyat jelata di negeri ini,” katanya.




SUKMA 2012 : Skuad basikal Terengganu lakar hatrik


Oleh FAUZI MOHD

Skuad lumba basikal Terengganu melakar hatrik apabila meraih pingat emas dalam acara ujian masa berpasukan lelaki semalam.

Pada perlumbaan sejauh 80 kilometer (km) yang bermula dan berakhir di Klinik Kesihatan Temerloh itu, Terengganu yang dibarisi Nur Amirul Fakhruddin Mazuki, Sofian Nabil Omar Mohd. Bakri, Muhammad Khairul Azizi Abdulladan dan Muhammad Zulhilmie Afif Ahmad Zamri merakamkan masa 1 jam 34:38.909 saat.

Ia merupakan kejayaan ketiga berturut- turut buat skuad Terengganu selepas mereka meraih emas pada temasya 2008 di Terengganu dan edisi 2010 di Melaka.

Jurulatih Terengganu, Syed Mohd. Husaini Syed Mazlan menjadi individu paling gembira selepas melihat kejayaan anak- anak buahnya itu.

Menurut Syed Mohd. Husaini, kejayaan itu dicapai apabila setiap pelumba memberikan fokus berdasarkan latihan yang dijalani sebelum ini.

"Sebelum menghadapi Sukma di Pahang, para pelumba telah menjalani latihan selama lima bulan sebelum saya memberikan tumpuan di laluan perlumbaan sebenar selama dua minggu.

"Berdasarkan latihan itu, kami membuat post-mortem bagi mengenal pasti kelema- han sebelum menghadapi perlumbaan sebenar," kata Syed Mohd. Husaini.

Pingat perak acara itu dimenangi Negeri Sembilan yang terdiri daripada Mohd. Ekbar Zaman Huri, Amirul Anuar Jafri, Abdul Rashid Ibrahim dan Mohamad Fairet Rusli dengan catatan masa 1 jam 39:12:797s.

Brunei yang dibarisi Azmi Abd Hadzid, Ahmad Rifa'ie Johor, Muhammad I'maadi Abd. Aziz dan Muhd. Syazwi Azhar Muhd. Hairolrani meraih pingat gangsa dengan catatan masa 1:40:53:516s.


Sukma Pahang : Kelantan longlai dibelasah Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman
Kelantan tersungkur dibaham Terengganu dengan jurang 10 jaringan menerusi acara hoki lelaki peringkat kumpulan yang berkesudahan 11-1, di Stadium Hoki Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, semalam.

Jiran tetangga itu menjadi mangsa ketiga Terengganu selepas membenam Kedah (5-2) dan Selangor (6-1), selepas tewas di tangan Wilayah persekutuan dengan keputusan 2-4 pada aksi Kumpulan A sebelum ini.

Enam gol yang dicipta Terengganu terhasil menerusi penyerang kebangsaan, Faizal Saari yang licik memperdaya penjaga gol lawan, sekali gus muncul penjaring terbanyak dalam temasya kali ini dengan 13 gol.

Senarai penjaring lain yang membantu Terengganu meraikan kejayaan gemilang itu, Syamirul Aiman Bidin, Wan Mohd hazrul Wan nawi, Muhamad Syafiq Nordin, Mohd Sufi Ismat Rohulamin dan Mohd Firham Ashari.

Sementara gol sagu hati Kelantan hasil sentuhan Mohd Khalilie Husna Mohd Yusoff.






SEKIRANYA PAS PALING KUAT, KENAPA?



Oleh FAUZI MOHD

1.Kenapa PAS tukar asas perjuangan? Gugurkan kempen negara Islam dan hukum hudud yang mereka perjuangkan sekian lama, tetapi pada masa yang sama DAP dan PKR masih kekalkan asas perjuangan mereka.

2.Kenapa PAS menjadi ‘bisu’ dalam isu kebanjiran rumah-rumah urut, pusat hiburan dan premis menjual arak di Selangor dan Kedah?

3.Kenapa PAS tidak menyokong penentangan terhadap agenda anti-murtad, penggunaan nama Allah oleh penganut bukan Islam, sedangkan satu ketika dulu ada pengikut PAS terlibat dengan demonstrasi di hadapan Bar Council?

4.Kenapa mereka sanggup bersetuju dengan Anwar Ibrahim yang terang-terang terlibat skandal video seks bersama wanita China?

5.Kenapa PAS tidak berani menobatkan Presidennya sebagai bakal Perdana Menteri, sebaliknya menyokong individu yang menghadapi tuduhan-tuduhan liwat sebagai ketua pakatan itu.

6.Kenapa PAS ‘julang’ Buku Jingga yang tiada perjuangan ‘tukar’ perlembagaan kepada Islam, dalam masa yang sama ‘bungkus’ buku Dokumen Negara Islam.

Adakah Presiden PAS mahu zahirkan sebenarnya parti itu, PALING KUAT ditindas, PALING KUAT ditipu, PALING KUAT kena ‘cucuk hidung’, PALING KUAT kena amaran dan ugutan.

SEandaikan PAS dilabel PALING KUAT, siapa pula paling lemah dalam Pakatan Rakyat? Adakah Presiden PAS sindir Anwar Ibrahim yang begitu gelojoh mahu menjadi PM?


WAJAH-WAJAH SUKMA PAHANG XV 2012

Aksi `Badang' Terengganu, Mohamad Hisyamuddin Zuhalmi yang berjaya merangkul dua emas dalam acara angkat berat, hari ini. (10 Julai 2012)


Gambar-gambar oleh Ali Tengah dari Kuantan, Pahang.



10 July 2012

PM temu lebih 10,000 pelajar di Dungun

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Lebih 10,000 pelajar dari seluruh negara dijangka menyertai Program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ di Arena Square, Dungun, Jumaaat ini, yang bakal dilancarkan Dataran Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak.

Mereka akan menyertai kira-kira 10,000 penduduk tempatan yang akan membanjiri dataran itu bagi menyambut Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari di Terengganu.


Perdana Menteri dijangka tiba di Lapangan Terbang Ketih, kira-kira jam 8.45 pagi dan terus ke Arena Sduare bagi menyampaikan amanat, seterusnya melancarkan program tersebut.

Selepas itu beliau dan rombongan akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Pekan Bukit Payong dan hadir pada Majlis Jamuan Rakyat di Dataran Bukit Payong, pada jam 2 petang.

Pemimpin nombor satu negara itu akan menghadiri Program Bersama Anggota Rela di Stadium Tertutup Gong Badak yang dijangka dihadiri 20,000 anggota berkenaan dari seluruh negeri, sebaik selesai program berkenaan.

Beliau dijadualkan berlepas pulang ke Kuala Lumpur dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu selepas selesai majlis tersebut.