Halaman

11 July 2012

PM lawat Terengganu dua kali dalam tempoh sebulan

Oleh; Esah Abdullah

Dalam tempoh tidak sampai sebulan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijangka mengadakan dua lawatan sehari ke Terengganu.

Kunjungan pertama pada 13 Julai ini (Jumaat) dan mengulangi lawatannya pada bulan Ramadan nanti yang dijadualkan 10 Ogos depan untuk bertemu dengan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, dalam lawatan sehari Jumaat ini, Perdana Menteri akan melancarkan program ‘Mengubah Destini Anak Bangsa’ di Arena Square, Dungun.

“Dato’ Sri Mohd Najib kemudiannya akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Pekan Bukit Payong, Marang dan seterusnya menghadiri majlis Jamuan Rakyat di Dataran Bukit Payong bersama kira-kira 10,000 penduduk tempatan,” .

“Sebelah petang Perdana Menteri akan bertemu dengan kira-kira 20,000 Anggota Rela seluruh negeri bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Iman hari ini (11 Julai).

Menurut Menteri Besar, Perdana Menteri dijangka pulang ke Kuala Lumpur jam 5.30 petang kerana akan menghadiri majlis penutup Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada sebelah malamnya yang akan disempurna oleh Yang diPertuan Agong.

“Manakala lawatan pada Ogos depan, Perdana Menteri dijangka menghadiri majlis berbuka puasa dengan rakyat jelata di negeri ini,” katanya.