Oleh: Aida Abd Rahman
Terengganu masih belum mengaku kalah untuk mengekalkan kejuaraan temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang, malah berharap lebih banyak emas mampu diraih menerusi kejohanan olahraga yang membuka tirai semalam.Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata kontinjen Terengganu terpaksa berdepan beberapa faktor yang sedikit menggugat usaha untuk mempertahankan juara Sukma kali ini termasuk kehilangan 21 emas menerusi acara kanu yang tidak dipertandingkan, selain tiga atlet berbasikal dan memanah yang terpilih ke Olimpik London.
“Kita akui bahawa Terengganu hilang 21 pingat emas , menerusi kanu 12 emas, manakala sembilan pingat emas menerusi dua atlet memanah (Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim) dan pelumba,Adeq Hussainie Othman yang masing-masing menyumbang tiga pingat emas pada Sukma lalu.
“Keduanya , memang kita akui dari segi acara gimnastik dan renang kita tiada atlet dan Selangor sapu. Bagaimanapun, Insya-Allah kita akan bangkit dan mencapai sasaran yang kita letakkan sebelum ini memandangkan olahraga baru berlangsung tengahhari tadi,” katanya di sidang akhbar sempena Program Kar1sma Mesra, di Dewan Inspirasi Taman Rahmat, Marang, petang semalam (11 Julai).
Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tuan Haji A Rahman Che Ali, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Encik Zulkifli Ali dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.
Menteri Besar berkata, banyak acara yang sebelum ini tidak mensasarkan emas berjaya menambah koleksi kutipan pingat itu buat Terengganu termasuk sagu hati satu emas daripada acara karate dan dua emas berbasikal yang dihasilkan Ummi Hamimah Mohamad (200m pecut dan 500m ujian masa wanita).
“Ummi Hamimah bukan sasaran untuk mendapat emas, bagaimanapun, pelumba Terengganu itu membuktikan dia mampu menewaskan pelumba pilihan yang lebih senior daripadanya Jupha Somnet dari Perlis.
“Begitu juga dengan sepak takraw, Terengganu juga tidak jangka akan mendapat emas. Bagaimanapun, bola sepak kita terlepas untuk mempertahankan kejuaraan lalu apabila tewas peringkat suku akhir menerusi penalti di tangan Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau juga berbangga dengan pencapaian atlet kapal layar yang gagal mendapat sebarang emas pada temasya terdahulu, apabila berjaya menyumbang tiga emas pada Sukma kali ini.
Sehingga pagi ini, Terengganu berada di tangga kedua di belakanng pendahulu, Selangor dengan kutipan 27 pingat emas, 10 pingat perak dan 18 gangsa.
Atlet olahraga wanita Terengganu, Nur Fatin Adibah Suharman menambah satu lagi koleksi emas bagi acara merejam lembing yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, pagi ini.