Halaman

  • 8 FEBRUARI 2020 (SABTU) - *5.00 petang :* Perlawanan TNB Malaysia Hockey League 2020 antara Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dengan Hockademy KL *di Stadium Hoki Batu Buruk (SHB...
    4 months ago

13 July 2012

20,000 pelajar UiTM, kenduri rakyat 100 JKKK sambut Perdana Menteri

Oleh FAUZI MOHD dan HAZWAN ROSLEE
Gambar oleh Zulkipli Putra


Kunjungan pertama Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri ke Daerah Dungun disambut meriah lebih 20,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dari seluruh negara sempena majlis Mengubah Destini Anak Bangsa (MDAB), hari ini.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu, tiba kira-kira pukul 10 pagi dengan menaiki helikopter dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu turut diraikan lebih 10,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat.


Ketibaan Dato’ Seri Najib di Arena Square, Dungun itu diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Naib Canselor UiTM, Prof. Dato’ Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Turut hadir, Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang serta pemimpin masyarakat negeri dan daerah.


Datuk Rosli dalam ucapannya berkata, warga Dungun yang sudah lama menunggu saat seperti hari ini sangat teruja dengan kehadiran Perdana Menteri kerana ramai yang berpeluang bersalam dan melihat beliau secara dekat serta mendengar ucapannya.

Beliau memberitahu, kunjungan Dato’ Seri Najib mengembalikan nostalgia kedatangan bapanya yang juga Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak ke padang yang sama 40 tahun yang lalu.


"Satu ketika dulu, kunjungan Tun Razak pada tahun 1972 memberi sedikit nafas baru kepada penduduk Dungun peristiwa ‘duka’ berikutan penutupan lombong bijih besi yang merupakan nadi ekonomi rakyat di Dungun dan seluruh Terengganu.

"Beliau datang umumkan tiga perkara untuk ‘selamatkan’ Dungun. Pertama beliau umum tubuhkan Ketengah (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah), kedua tubuhkan cawangan pertama UiTM di Sura dan ketiga, melancarkan penubuhan JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya.

Selepas itu, Perdana Menteri turut menghadiri majlis Kenduri Rakyat 100 JKKK di dataran tersebut yang turut dihadiri ribuan org dari segenap lapisan masyarakat.

Menurut Datuk Rosli, bagi jamuan itu sebanyak 40 ekor lembu telah ditumbangkan dengan pembahagian tugas memasak dan menyediakan hidangan istimewa itu dilakukan organisasi terbabit.


"Jika padang ini Tun Abdul Razak umum penubuhan JKKK di seluruh negara, saya merasakan JKKK yang ada di seluruh negara ini lahirnya di sini. Hari ini, semua JKKK mahu meraikan jasa Tun Abdul Razak dihadapan anaknya sendiri, Dato’ Seri Najib.

"Hidangan istimewa kita tidak lain tidak bukan ialah gulai kawah yang begitu sinonim dengan masyarakat Terengganu serta sambal belacan dan goreng ikan masin yang menjadi pembuka selera," katanya.