Halaman

11 July 2012

Kurma, air zam-zam diagih minggu kedua Ramadan

Oleh FAUZI MOHD dan ESAH ABDULLAH

Kerajaan negeri mula mengagihkan sumbangan buah kurma dan air zam-zam pada minggu kedua Ramadan.

Menteri Besar Dato’ Seri Ahmad Said berkata, agihan itu merupakan program tahunan pengimarahan masjid di seluruh negeri sepanjang bulan berkenaan.

“Kurma, air zam-zam yang akan kita (kerajaan negeri) agihkan mula sampai. Kita harap minggu kedua (Bulan Ramadan) kita agihkan kepada rakyat,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman hari ini.

Mengenai peruntukan bagi program itu, beliau berkata sama seperti tahun lalu.

Tahun lalu, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM3 juta bagi program itu termasuklah penyediaan aktiviti bercorak keagamaan serta pengagihan bubur lambuk.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, kerajaan negeri juga akan menjemput imam dari Arab Saudi dan Mesir untuk mengetuai solat tarawih sepanjang bulan puasa ini.

Kata beliau, mereka akan ditempatkan di masjid dalam setiap daerah di Terengganu secara bergilir-gilir sepanjang Ramadan.