Oleh: Aida Abd Rahman
Seorang penduduk, Mokhtar Jusoh, 42, berkata sudah lama penduduk di situ mengharapkan kerajaan negeri dapat membina kediaman yang lebih selesa dan selamat berikutan mereka sudah lama menetap di rumah kayu yang semakin uzur, selain sudah kerapkali dibaikpulih.
“Usaha ini sangat bagus dan kami bersyukur kerana kerajaan negeri prihatin dengan kehendak penduduk yang kurang bernasib baik dan cacat seperti kami di sini.
“Apabila tinggal di rumah baru nanti, dapatlah kami menjalani kehidupan bersama keluarga dengan baik, ceria dan selesa berbanding rumah yang sedang didiami kini,” katanya yang ditemui selepas menerima sumbangan hamper barangan dapur yang disampaikan Menteri Besar kepada 53 ketua keluarga sempena Program Kar1sma Mesra, di Dewan Inspirasi Warisan Taman Rahmat, Marang, petang semalam (11 Julai).
Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tuan Haji A Rahman Che Ali, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Encik Zulkifli Ali dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan negeri (DUN) Rhu Rendang, Haji Nik Dir Nik Wan Ku.
Pandangan itu turut disokong rakannya, Sadri Abdul Latif, 62, yang berharap penduduk dapat memanfaatkan kemudahan asas itu dengan sebaik mungkin dan hidup lebih bersatu padu dengan memupuk semangat kejiranan yang tinggi di kalangan mereka.
Katanya, rumah baru akan memberi semangat baru kepada penduduk terutama anak-anak untuk menjalani kehidupan dengan lebih sempurna.
“Mana-mana anak-anak yang bersekolah akan dapat belajar dengan lebih selesa tanpa gangguan dan ancaman keselamatan, memandangkan ada rumah di kalangan penduduk di sini uzur dan jika tidak dibaikpulih boleh runtuh ke bumi.
“Bantuan rumah oleh kerajaan ini satu perkara yang tidak diduga sama sekali dan kami amat berharap ia menjadi kenyataan tahun depan,” katanya.