Halaman

08 July 2012

Santuari ikan di Sungai Loh, Sungai Pelong dan Sungai Lata Payong

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri dalam usaha untuk menjadikan tiga batang sungai di negeri itu sebagai pusat santuari beberapa jenis ikan bagi memajukan sektor pelancongan berasaskan akuakultur.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB. Asha'ari Idris berkata, tiga sungai itu ialah Sungai Loh di Dungun, Sungai Pelong dan Sungai Lata Payung di Setiu.

Beliau berkata, cadangan itu bagaimanapun bergantung kepada usaha penduduk kampung terlibat yang perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga agensi berkaitan.

"Perkara ini memerlukan komitmen banyak pihak kerana bukan mudah menjadikan sungai sebagai pusat santuari namun ia bukanlah perkara mustahil kerana sudah ada pusat santuari seumpama ini di Sabah dan Pahang.

"Cadangan untuk menjadikan tiga sungai ini sebagai pusat santuari memang sudah dimulakan dan proses itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya antara setahun atau dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelepasan benih anak ikan di Sungai Lata Payung, Setiu semalam.

Sehingga kini kata Asha’ari, sebanyak 37,000 benih anak ikan pelbagai spesis dilepaskan di dua sungai yang terletak di Setiu itu antaranya lampam kerai, lampam sungai, jelawat merah dan talapia.

"Program pelepasan benih ikan yang dimulakan sejak beberapa tahun lalu kini mula menampakkan hasil yang positif.

"Apa yang boleh dilihat, kita boleh memberi ikan makan secara terus dari tangan seperti di Sungai Pelong, Setiu.

"Antara syarat untuk menjadikan sesebuah tempat itu sebagai pusat santuari ialah ia perlu persekitaran yang selamat dan sesuai bagi spesis ikan termasuk memastikan tiada ikan pemangsa di sungai berkenaan," jelasnya.

Berdasarkan analisis Jabatan Perikanan katanya, hanya 20 peratus daripada ribuan benih anak ikan yang dilepaskan dijangka dapat membesar, manakala bakinya akan mati akibat pelbagai faktor.