Halaman

14 July 2012

Perjuangan Pas lari dari landasan Islam

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Fauzi Mohd

Perjuangan Pas kini sudah jauh terpesong daripada ajaran Islam, menyebabkan semakin ramai penyokong dan ahli parti itu lari daripada Pas.

Bekas Ketua Penerangan Pas Negeri Selangor, Ustaz Hassan Basri Mohd, menjelaskan beliau dan ramai lagi pemimpin kanan parti itu, termasuk bekas Exco Selangor Dato’ Dr Hassan Ali bertindak meninggalkan perjuangan Pas setelah parti itu bersengkokol dengan DAP.

“Bila berpakat dengan DAP makin lama makin banyak benda yang dibuat oleh pemimpin Pas bercanggah dengan ajaran Islam,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Bengkel Pemantapan Penceramah anjuran Biro Penerangan Umno di Terengganu Equestrian Resort, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Biro Penerangan Umno Terengganu, YB Haji Ahmad Razif Abdul Rahman; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Agama negeri, YB Ustaz Haji Muhammad Ramli Nuh dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

Ustaz Hassan Basri berkata, beliau terpaksa membayar ‘harga yang mahal’ apabila meninggalkan perjuangan Pas yang didokong selama 30 tahun, termasuk tentangan dari ahli keluarga.

“Tetapi demi menyelamatkan Islam dan demi menjaga maruah bangsa Melayu dan tanah air, saya membuat keputusan untuk tidak lagi berjuang dalam Pas, sebaliknya menyelongkar segala keburukan Pas,” katanya.

Katanya, pemimpin Pas menggunakan strategi menyerang secara habis-habisan terhadap pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) bagi menimbulkan rasa benci rakyat kepada pemimpin kerajaan.

Beliau berkata, pemimpin Pas tidak mempedulikan larangan dalam Islam apabila bertindak kerana matlamat mereka ialah mahu menawan Putrajaya bersama-sama DAP dan PKR.

“Justeru, pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Dato’ Nik Aziz Nik Mat, menyerang pemimpin BN dan ulama yang menyokong perjuangan Umno dan BN,” katan ya.