Halaman

13 July 2012

Kerajaan tanggung 90 peratus subsidi untuk akses pendidikan

Oleh FAUZI MOHD dan HAZWAN ROSLEE
GAMBAR oleh Hazwan Roslee


Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak berkata, kerajaan menanggung lebih 90 peratus subsidi untuk sektor pendidikan bagi memastikan kemiskinan tidak menjadi kekangan kepada rakyat di negara ini mendapatkan akses pendidikan terbaik.

Menurut Perdana Menteri, pelbagai subsidi dan bantuan dalam bidang pendidikan disediakan kerajaan termasuk kemudahan pinjaman seperti Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Pinjaman PTPTN menjadi akses kepada ramai pelajar yang miskin untuk meneruskan pengajian. Kalau kita hapuskan (PTPTN), siapa nak bayar? Menerusi pembayaran balik pinjaman itu, ianya membolehkan kita berbudi (memberi pinjaman) pula pada yang lain.


"Kerajaan BN akan terus membela dan menyediakan kemudahan yang lebih baik lagi dalam bidang pendidikan untuk rakyat di negara ini pada masa depan," katanya ketika berucap pada pelancaran program Mengubah Destini Anak Bangsa Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) di Arena Square, Dungun hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said dan Naib Canselor UiTM, Prof. Dato’ Dr. Ir. Sahol Hamid Abu Bakar.

Dato’ Seri Najib berkata, pendidikan merupakan satu mobiliti sosial menegak yang berjaya mengubah nasib mereka yang dahulunya miskin, kini mampu menjadi golongan profesional dan berjaya.


Menerusi UiTM misalnya, beliau berkata penubuhan institusi itu telah banyak membawa perubahan besar kepada anak-anak desa dan luar bandar yang kini pelajarnya mencecah 200,000.

"Perjuangan (pendidikan) ini adalah perjuangan yang silih berganti, tidak boleh dalam masa satu dekad sahaja, malah satu generasi pun tidak selesai.


"Ianya mesti dalam jangka masa yang panjang dan kesan keberhasilan dapat dilihat hari ini. Inilah kerajaan hari ini, tidak pernah jemu-jemu dalam membela rakyat tanpa mengira kaum," katanya.