Halaman

13 July 2012

Kerajaan negeri bekal uniform, insurans untuk Rela

Oleh: Aida Abd Rahman dan Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra dan Harish Fadzillah



Kerajaaan Terengganu bersetuju membekalkan uniform kepada anggota Pasukan Sukarelawan Rakyat (Rela) di negeri ini yang belum memiliki pakaian seragam dalam tempoh terdekat, sebagai menghargai peranan mereka yang sedia mencurahkan tenaga untuk berkhidmat tanpa mengira masa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata, kerajaan negeri juga akan menyediakan skim insurans berkelompok bagi menjaga kebajikan dan memberi perlindungan kepada anggota yang mengalami kemalangan sewaktu menjalankan tugas masing-masing.

“Kerajaan Terengganu dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri akan membekalkan uniform kepada anggota Rela yang masih tidak memiliki uniform. Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyediakan insurans berkelompok kepada Rela yang bertugas.

“Kita beri pada yang kasih, minta pada yang sayang. Oleh yang demikian, kita mengharapkan supaya anggota Rela di seluruh Terengganu supaya berilah sokongan kepada pucuk pimpinan dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13) ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Rela Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, petang ini.


Hadir sama, Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak; Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato Mazlan Ngah.

Turut hadir, Ketua Pengarah Rela, Dato’ Mustafa Ibrahim dan Pengarah Rela Terengganu, Encik Mohamad Abu Bakar dan kira-kira 20,000 anggota Rela seluruh Terengganu.

Menteri Besar turut mengingatkan anggota Rela supaya tidak menjadi `gunting dalam lipatan’ dan `api dalam sekam’ yang hanya menzahirkan taat setia kepada pucuk pimpinan ketika menjalankan tugas dan memakai uniform sahaja.

“Ada di kalangan anggota Rela yang menentang kerajaan secara demokrasi. Dalam satu keadaan mereka bertugas menjaga keselamatan dan membela bangsa dan negara, pada masa yang sama apabila menukar uniform dan tidak bekerja mereka bertindak mengkhianati kerajaan pula,” katanya.

Katanya, pasukan Rela menjadi satu wadah yang mempertahankan bangsa dan negara tercinta di mana sentiasa bersiap sedia mengawal keselamatan tanpa mengira masa apabila diperlukan.