Persembahan kreatif kumpulan pancaragam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keat Hwa, Kedah berjaya memukau penonton sekali gus dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pancaragam Sekolah-Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan 2012.
SMK Keat Hwa muncul johan selepas mengalahkan tujuh buah sekolah dalam kategori Piala Menteri Pelajaran Malaysia dengan markah 84.45 peratus dalam pertandingan sengit di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu semalam.
Pertandingan yang masuk edisi ke-18 itu turut menyaksikan SMK St John, Kuala Lumpur menduduki tempat kedua dengan markah 80.15 peratus dan ketiga, SMK Victoria, Kuala Lumpur (79.65 peratus).
Pasukan yang terdiri daripada 119 peserta itu turut meraih empat lagi anugerah lain iaitu Warna Pasukan Terbaik, Percussion Terbaik, Peralatan Muzik Terbaik dan Kesan Umum Terbaik.
Sementara itu, Drum Major Terbaik disandang peserta SMK St John, Atta Emran Kholid dan Konduktor Terbaik milik peserta SMK Victoria, Amirul Asyraf Abdullah.
Bagi kategori Piala Presiden Persatuan Pancaragam Malaysia, johan disandang kumpulan pancaragam SMK Perlis, Perlis dengan pungutan markah 60.95 peratus menewaskan empat pesaing.
Naib johan diungguli pasukan SMK Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Selangor dengan pungutan markah 55.7 peratus dan tempat ketiga, SMK Derma, Perlis dengan mendapat 54.05 peratus.
Drum Major Terbaik dan Konduktor Terbaik bagi kategori itu dibolot peserta pasukan SMK Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, iaitu Muhamad Fadil Yasin dan Haneesa Abdullah.
Ketua Pasukan pancaragam SMK Keat Hwa, Ang Jia Wei berkata, dia dan pasukannya amat gembira dengan kejayaan itu kerana sekali lagi menjadikan juara pertandingan berkenaan milik pasukan dari Negeri Kedah.
Tahun lalu katanya, pasukan SMK Sultanah Asma dari Kedah muncul juara dan satu lagi kumpulan pancaragam dari negeri itu, Kolej Sultan Abdul Hamid di tempat ketiga.
"Ini merupakan ganjaran hasil disiplin anggota pasukan dan kem latihan yang diadakan seawal dua bulan seisi persekolahan tahun ini untuk melatih anggota pancaragam yang terdiri daripada pelajar tingkatan satu sehingga tingkatan lima.
"Pengorbanan masa yang dihabiskan di sekolah setiap hujung minggu oleh pelajar, guru dan jurulatih ini akhirnya membuahkan hasil sehingga dapat menggondol juara," katanya kepada pemberita.
Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang, Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Hashim Mohd. Zin. Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pelajaran, Mohd. Rashid Mean.
Tiga pasukan tuan rumah turut memberi saingan, SMK Chung Hwa Wei Sin, di sini (Tempat keempat Piala Menteri), SMK Lembah Bidong, Setiu (Tempat ketujuh Piala Menteri) dan SMK Chukai, Kemaman (Tempat Keempat Piala Presiden).