Halaman

12 July 2012

MB terima kunjung hormat Duta New Zealand

Oleh; Esah Abdullah

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said menerima kunjungan Hormat Duta Besar New Zealand, Encik David Gregory Pine di Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman pagi ini (12 Julai).



Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin berkenaan saling bertanya khabar dan meninjau kemungkinan mengadakan kerjasama dalam pelbagai bidang, yang boleh memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara negara itu dengan Kerajaan Terengganu.

Encik David Gregory kemudiannya mengadap Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah, Kuala Terengganu.


Penolong Setiausaha Kerajaan Pembangunan Luar Bandar, Usahawan dan Koperasi negeri, Encik Mohd Adzhar Mohd Zahari bertindak sebagai pegawai pengiring turut mengiringi Encik David Gregory meninjau ke pusat kraf yang menjadi tarikan pelancong ke negeri ini.

Antara yang dikunjungi ialah Pusat Seni Kayu Warisan di Pulau Rusa dan Kompleks Nor Arfa Batik di Chendering.

Sebelah petang Duta Besar itu akan berkunjung ke Pejabat Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi mendengar taklimat Pembangunan Negeri Terengganu yang disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah UPEN (Pelaburan), Encik Zuwislan Awang.

Encik David Gregory, 51, berkelulusan BA (Hons) in Political Studies and LLB, Universiti Of Otago Dunesdin itu pernah menjadi Penasihat Misi Tetap New Zealand ke PBB, Timbalan Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Kuala Lumpur dan Duta Besar ke Filipina.

Beliau yang pertama kali melawat negeri ini begitu teruja dengan keindahan alam semulajadi , keunikan hasil kraf serta jatuh cinta dengan keenakan nasi dagang.