Halaman

09 July 2012

Puteri tangkis isu melalui siber

Oleh; Esah Abdullah

Pergerakan Puteri UMNO memberi tumpuan lebih kepada penulisan siber yang membuka ruang lebih luas kepada mereka menepis tomahan dan fitnah parti pembangkang terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketuanya, Dato’ Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, 80 peratus anggota Pergerakan Puteri menguasai taknologi maklumat dan ini memudahkan mereka menangkis sebarang isu yang ditimbulkan berdasarkan fakta yang tepat.

“Pilihan raya kali ini adalah luar biasa dan semua petugas Puteri diminta berfikir dan bertindak diluar kotak untuk berhadapan dengan pihak pembangkang,” katanya di majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Kuala Terengganu.

Katanya, Puteri tidak mahu membina kekuatan hasil fitnah sebaliknya berdasarkan fakta yang sahih dan bahan berkenaan perlu diperolehi daripada sumber yang betul.

Menurutnya, Puteri mewujudkan kumpulan tertentu yang memberi fokus sepenuhnya kepada penulisan siber dan mereka yang lain berperanan memantau cerita atau tuduhan isu dibangkit pembangkang.

Beliau juga melahir rasa bangga kerana pergerakan tersebut reaktif terhadap isu yang dibangkitkan terutama yang membabitkan parti.