Halaman

17 July 2012

YT perkenal subjek I’dadi untuk perkasa bahasa Arab

Oleh; Esah Abdullah


Yayasan Terengganu (YT) memperkenalkan subjek I’dadi yang mengandungi tauhid, feqah, hadis, sirah dan tafsir yang merupakan salah satu subjek kebitaraan di Sekolah Menengah Imtiaz bertujuan memperkasakan bahasa Arab.

Pengarahnya, Encik Zakaria Yusof berkata, YT telah berjaya menerbitkan buku teks I’dadi yang digubal oleh lujnah yang dilantik khas terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang masing-masing.

“Buku teks ini digunapakai oleh pelajar di Imtiaz sahaja,” katanya pada majlis penutup Program Khas Asasi Ulul Albab 2012 Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) dan Penyerahan Cek Bantuan Zakat Maidam kepada YT di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu hari ini (17 Julai).

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri YB Haji Khazan Che Mat merasmikan program itu. Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) Haji Wan Harujan Sulaiman.

Katanya, YT mengambil kata-kata daripada Siyyidina Umar al-Khattab, “Bentuklah anak-anak mu mengikut zaman (ilmu kontemporari) kerana mereka dilahirkan pada era yang berbeza dengan kamu”.

“Seramai 457 pelajar tingkatan satu dari lima Imtiaz seluruh negeri mengikuti program sejak Januari hingga Mei lalu yang menjadi niche area@etos@kebitaraan SM Imtiaz,” katanya.

Katanya sepanjang lima bulan mereka didedahkan dengan pembelajaran hafazan Quran bertajwid dan memahaminya melalui tafsir dengan penekanan dalam bahasa Arab dan Inggeris,” katanya.

Tambahnya, program baru ini menuntut para guru bersama pengurusan sekolah membuat banyak kajian sebagai persediaan pengajaran seperti merujuk buku-buku atau jurnal terkini agar selari dengan perkembangan ilmu serta teknologi masa kini.

Menurutnya, sehingga ini seramai 664 pelajar berjaya menghafaz 20 juzu’ ke atas daripada 1029 pelajar di SM Imtiaz seluruh negeri.

“Semoga hasrat kerajaan negeri untuk melahirkan hafiz dan hafizah professional dapat direalisasikan melalui SM Imtiaz,” katanya.

Pada program itu seramai 35 orang pelajar terpilih menerima anugerah hafazan, bahasa Arab, professional dan tokoh Ulul Albab serta berharap ia menjadi pemangkin untuk kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.





SAMBUTAN KEPULANGAN WIRA-WIRAWATI TERENGGANU

Gambar-gambar oleh ZULKIPLI PUTRA.

Kontinjen Terengganu yang baru menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) XV Pahang, semalam, disambut meriah sebaik tiba di Bandar Chukai, Kemaman. Turut meraikan kejayaan gemilang Terengganu selepas mempertahankan kejuaraan empat kali berturut-turut ialah Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud. Piala Sukma kemudiannya diarak mengelilingi Bandar Chukai sebelum ke Padang Astaka.










Imtiaz satu jenama baru lahir professional

Oleh; Esah Abdullah
Gambar oleh Zulkipli Putra

Kerajaan yakin dengan adanya pelbagai kemudahan disediakan serta sistem pendidikan cemerlang yang diperkenalkan anak-anak negeri ini mampu memegang jawatan penting di jabatan kerajaan di seluruh negara dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata, bermula dari sekolah Tabika telah diajar menghafaz surah Muqadam dan di sekolah rendah dibekalkan dengan e-Book disusuli dengan kelas j-Qaf dan Kafa.

“Keberkesanan ini mungkin akan dapat kita lihat 10 atau 15 tahun akan datang,” katanya kepada pemberi ta pada majlis penutup Program Khas Asasi Ulul Albab 2012 Sekolah-sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) dan Penyerahan Cek Bantuan Zakat Maidam di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu hari ini (17 Julai).

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Haji Wan Harujan Sulaiman dan Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof.

Katanya, di peringkat menengah, kita ada sekolah Imtiaz, ada Institut al-Quran dan ada sekolah Agama Sultan Zainal Abidin untuk pilihan ibu bapa menghantar anak-anak mereka menimba ilmu.

“Kita harap Imtiaz menjadi satu jenama baru untuk melahirkan profesional serta bijak pandai dalam agama yang mampu menjayakan matlamat dan cita-cita kerajaan,” katanya.

Sementara itu, Haji Wan Harujan mewakili Maidam menyerahkan cek bantuan zakat sebanyak RM1 juta kepada YT untuk membiayai kelas-kelas dan guru tasmi’ di SM Imtiaz seluruh negeri.

Pada majlis yang sama seramai 30 pelajar daripada SM Imtiaz Besut, Dungun, Kuala Berang, Kuala Terengganu dan Kemaman menerima Anugerah Hafazan Terbaik (10 orang), Anugerah Bahasa Arab Terbaik (10 orang) dan Anugerah Personaliti Terbaik (10 orang).

Manakala lima orang pelajar terpilih untuk menerima Anugerah Tokoh Ulul Albab iaitu Nik karimah Nik Abdul Ghafar (SM Imtiaz Besut), Mohammad Aiman Johari (SM Imtiaz Dungun), Nik Nor Amirah Zulkifli (SM Imtiaz Kuala Berang), Mohammad Faris Mohamad Rafee (SM Imtiaz Kuala terengganu) dan Nusaibah Mohd daik (SM Imtiaz Kemaman).

YB Haji Khazan yang juga Ahli Lembaga Pengarah Pemegang Amanah Sekolah-sekolah Yayasan Terengganu telah menyampaikan anugerah kepada pelajar yang terpilih.






Kadar zakat fitrah RM7.60, RM7.00 dan RM4.50

Oleh: Aida Abd Rahman
Kadar zakat fitrah bagi negeri Terengganu pada tahun ini ditetapkan mengikut tiga kadar RM7.60, RM7.00 dan RM4.50, masing-masing menurun berbanding RM8.00, RM7.00 dan RM5.00 tahun lalu.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim, berkata kadar fitrah itu diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan zainal Abidin.

“Sehubungan itu, mana-mana orang Islam yang akan menunaikan fitrah, boleh berbuat demikian sama ada dengan tunai mengikut tiga kadar berkenaan atau dibayar dengan beras dengan kadar timbangan 2.60 kilogram (Kg)atau dengan cupak bersamaan 2.97 cupak.

“Timbangan berat tersebut adalah mengikut nilaian berat satu gantang Baghdad,” katanya di Majlis Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Negeri Terengganu Tahun 1432 H/2012 M, di Pejabat Maidam, Kuala Terengganu, hari ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Baitulmal Maidam, Encik Marzuki Endut.

Menurutnya, bagi mana-mana orang Islam yang menunaikan fitrah dengan tunai, pembayaran fitrah adalah tidak kurang daripada RM4.50 setiap orang dan bagi mana-mana orang yang memakan beras dari jenis yang baik, maka kadar bayarannya adalah senilai dengan kadar beras yang dimakan iaitu mengikut nilaian tunai timbangan beras seberat 2.60 kg.

“Sebagai makluman, kadar yang diperolehi itu adalah berdasarkan kepada harga beras gred Super di pasaran tempatan yang mana nilaiannya bersamaan dengan beras gred 15 peratus hancur, 10 peratus hancur serta lima peratus hancur.

“Menerusi tinjauan harga beras di pasar dan kedai seluruh Terengganu, pihak pengurusan mendapati kadar harga beras ridak berubah dari tahun sebelumnya, bagaimanapun kadar fitrah berubah pada tahun ini berbanding tahun lalu disebabkan perubahan kepada pengukuran timbangan satu gantang Baghdad daripada 2.7 kg kepada 2.6 kg,” katanya.




Usah tangguh bayar zakat : YDP Maidam

Oleh: Aida Abd Rahman

Umat Islam di negeri ini dinasihatkan supaya tidak menangguhkan pembayaran zakat sehingga di saat-saat akhir bagi mengelak sebarang kesukaran yang tidak diingini terjadi pada hari terakhir wajib pembayarannya, sebelum solat Hari Raya Aidil Fitri.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Terengganu (Maidam), Dato’ Senara Muda, Dato’ Mazlan Hashim, berkata ini kerana terdapat segelintir di kalangan umat Islam menunggu melakukan pembayaran pada saat akhir sehingga terlupa melaksanakan ibadat itu.

“Adalah dinasihatkan pembayaran dibuat bermula dari awal puasa, 1 Ramadan lagi menerusi perkhidmatan kaunter bayaran zakat Maidam yang mula dibuka sejak jam 8.30 pagi hingga 4 petang (Ahad hingga Rabu) dan 8.30 pagi hingga 2.30 petang (Khamis).

“Sementara itu, bermula pada 5 hingga 18 Ogos nanti, kaunter bayaran zakat dibuka tujuh hari seminggu di semua kaunter Maidam bermula 8.30 pagi hingga 4 petang termasuk pada hari Khamis,” katanya di Majlis Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Negeri
Terengganu Tahun 1432 H/2012 M, di Pejabat Maidam, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Setiausaha Baitulmal Maidam, Encik Marzuki Endut.

Sehubungan itu juga, Maidam turut melantik 1,173 amil yang bertauliah untuk beroperasi di setiap masjid dan surau di seluruh Terengganu bagi mengutip fitrah dan zakat harta di samping boleh menjelaskan bayaran menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) untuk pelanggan Celcom dan Maxis.

Katanya, pada masa yang sama, semua umat Islam di negeri ini juga dilarang membuat pembayaran Fitrah melalui Perbankan Internet kerana kemudahan itu hanya boleh digunakan bagi pembayaran zakat harta sahaja.

“Malah, menjadi kesalahan sekiranya mana-mana individu yang membayar zakat kepada bukan amil yang dilantik oleh Maidam berdasarkan Enakmen Kesalahan jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Tahun 1422H/2001M Seksyen 41.

“Berdasarkan enakmen serupa Seksyen 40 memberi amaran kepaa mana-mana individu yang memungut zakat tanpa mendapat pentauliahan daripada Maidam, boleh ditangkap dan didenda tidak melibihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, manakala wang kutipan juga akan dirampas,” katanya.

Selain itu, menurut beliau lagi, menjadi kesalahan sekiranya mana-mana umat Islam di negeri membayar Fitrah selain kepada Maidam serta wakilnya dan termaktub dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu Tahun 1422H/2001M Seksyen 20 (b)yang mana ianya boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.




Juara Sukma ke-15, Ahad cuti umum di Terengganu

Oleh FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA


Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said mengumumkan Ahad ini, 22 Julai 2012, sebagai cuti umum di Terengganu berikutan kejayaan kontinjen negeri itu menjuarai Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 di Pahang, malam tadi.

Beliau juga berkata, pengisytiharan cuti umum itu juga sebagai tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Terengganu yang menyokong atlet Sukma negeri sehingga berjaya melakar kejayaan gemilang.


“Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan negeri kepada kejayaan kontinjen Sukma negeri, saya isytiharkan Ahad ini sebagai cuti umum di Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan pasukan itu di Padang Astaka, Chukai, Kemaman, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB. Rozi Mamat dan Ketua Kontinjen Sukma Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Kira-kira 5,000 orang daripada segenap lapisan masyarakat turut memeriahkan majlis sambutan itu yang turut menyaksikan para atlit dan pegawai skuad Hanelang diarak di sekitar daerah itu bermula dari sempadan Terengganu-Pahang.



Logo TMT 2013 bakal dilancar

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri akan melancarkan logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013 bertempat di Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu, pada malam esok (Rabu, 18 Julai).

Majlis pelancaran logo hasil ciptaan pelajar Art & Design Universiti Teknologi Mara (UiTM), Siti Nazira Abdul Rahman, 23, itu akan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, YB Dato’ Haji Rahin Mohd Said.

Di jangka hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif TMT 2013 dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Logo ciptaan Siti Nazira dari Kampung Pauh, Kuala Berang ITU menampilkan ilustrasi penyu sebagai latar utama, selain elemen warna, imej dan grafik menonjolkan tradisi serta warisan negeri khususnya seni ukiran kayu, tembaga, kapal layar, songket mahupun batik.

Di samping itu turut dihiasi matahari sebagai lambang keindahan Terengganu yang terletak di pesisir pantai terpanjang di Malaysia.

Tarikan logo yang diangkat sebagai pemenang utama pertandingan bertemakan `Aspirasi Darul Iman- Satu Idea Seribu Harapan' bakal digunakan secara meluas dalam usaha kerajaan negeri mencapai sasaran kehadiran empat juta pelancong ke bumi Darul Iman sepanjang tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Dato’ Abdul Rahin Mohd Said, berkata kerajaan negeri dijangka membelanjakan lebih RM15 juta bagi menjayakan strategi dan matlamat Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, secara lebih berkesan.

“Kos promosi TMT 2013 terpaksa dinaikkan sekali ganda berbanding TMT 2008 kerana bayaran berkaitan promosi seperti tambang penerbangan ke luar negara dan bayaran kepada perunding meningkat.

“Kerajaan sentiasa mencari peluang bagi menempatkan diri dalam sebarang usaha promosi di ekspo dan pameran pelancongan di dalam dan luar negara melalui Tourism Malaysia, termasuk menyertai MATTA Fair Kuala Lumpur, Malaysia International Dive Expo Kuala Lumpur, NATAS FAIR Singapore, ITB Berlin, World Trade Market London, Shanghai Travel Expo China, Beijing International Travel Fair China dan Korea World Tourism Fair Seoul,” katanya .

Katanya, pihaknya akan terus memperkasakan produk pelancongan sedia ada di samping memberi nilai tambah semua tempat peranginan.

“Terengganu turut memberi tumpuan kepada penganjuran acara pelancongan berasaskan destinasi seperti Kapas Marang International Swimathon; Fiesta Candat Sotong; Terengganu Master Golf Invitational; Kenyir Cup; Perhentian Island Challlenge; Kenyir Lake International Triathlon dan Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun,” katanya.


Terengganu catat kemiskinan tegar 0.10 peratus

Oleh: Suriati Ali, Aida Abd Rahman dan Umi Ikrimah Abdillah
Gambar ZULKIPLI PUTRA.


Terengganu berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar secara konsisten sehingga mampu mencatat penurunan 0.10 peratus menjelang akhir tahun lalu berbanding 1.51 peratus pada 2009.

Manakala kadar rakyat miskin pula mencatatkan penurunan sebanyak 3.08 peratus bagi tahun lalu dan 4.16 peratus (2009).

Berdasarkan perangkaan itu, Terengganu kini berjaya menduduki tempat keempat berbanding empat tahun lalu iaitu ditangga ke sembilan berbanding negeri-negeri lain.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata perkembangan itu amat positif dalam usaha membasmi kemiskinan, khususnya miskin tegar.

Katanya, kerajaan negeri melaksanakan pelbagai bentuk kemudahan, bantuan, peruntukan dan pinjaman semata-mata mahu melihat rakyat Terengganu mampu hidup selesa dan seterusnya keluar daripada kelompok kemiskinan.

“Semua bantuan dan program yang direncanakan adalah selaras dengan gagasan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said `Merakyatkan Pentadbiran dan Pembangunan Terengganu’.

“Antaranya adalah Bakti Remaja, Tabung Darul Iman, Bantuan Pakaian Sekolah, Bantuan Raya, Dana Sosial, Bantuan e-Book dan Tabung penyakit kronik,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Radio Manis Fm, Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Manis FM, Haji Che Abd Rani Mohd, Pengurus Besar Manis FM, Encik Mahari Abdul Rahman dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsudin Sulong.

Dalam temuramah yang berlangsung kira-kira 30 minit itu, Dato’ Haji Mazlan turut menyentuh mengenai pencapaian Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang memperoleh penarafan empat bintang.

“Kejayaan yang diiktiraf oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia( Mampu) itu dinilai berdasarkan tiga kompenan utama iaitu, pengurusan memperoleh markah 87.01 peratus, perkhidmatan (72.40 peratus) dan pengurusan pelanggan pula memperoleh 94.08 peratus,” katanya.

Manis FM menggunakan `tagline’ ‘Pilihan Terunggul Di Pantai Timur’ merangkumi pelbagai segmen termasuk hiburan dan agama menemui pendengar 24 jam setiap hari.

Liputan stesen berkenaan boleh diikuti melalui gelombang 102.0 fm bagi mereka yang tinggal di kawasan Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu; 90.6 fm (Besut, Kelantan dan Selatan Thailand) manakala 95.1 fm (Kemaman dan Pahang).



Sukma ke-15 : Dato' Seri Ahmad kongsi kejayaan Terengganu

Oleh: FAUZI MOHD
Gambar ZULKIPLI PUTRA




Pembangunan jangka panjang dan perancangan yang teliti menjadi rahsia kejayaan Terengganu dalam Sukan Malaysia (Sukma) sehingga empat kali berturut-turut muncul juara keseluruhan temasya itu.

Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said berkata, atlet negeri itu yang bertanding di Sukma bermula pada usia muda dan dijanjikan peluang beraksi di peringkat antarabangsa sekiranya menunjukkan potensi.



"Syukur kerana Terengganu berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat walaupun pada awalnya sedikit terkilan kerana acara kanu tidak dipertandingkan.

"Malah, ada atlet kita yang tidak dapat bertanding kerana layak ke Olimpik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Sukma ke-15 di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang.

Dato' Seri Ahmad turut bangga dengan kontinjen Terengganu kerana berjaya merangkul 62 pingat emas iaitu melepasi sasaran 47 emas sebelum ini.

"Ini adalah hasil usaha kerajaan Terengganu mendapat khidmat jurulatih berkebolehan dari luar negara seperti sepak takraw yang mana kita mendapatkan khidmat jurulatih dari Thailand,” katanya.




TERENGGANU HANELANG...Juara kali keempat berturut-turut Sukma

Detik-detik dinobatkan juara keseluruhan Sukma Pahang XV.