Halaman

24 July 2012

JKKK diminta agih kurma dari rumah ke rumah

Oleh: Suriati Ali



Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini diminta mengagihkan kurma dan air zam zam dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penduduk beragama Islam menerima bekalan tersebut.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata langkah itu bertujuan memastikan semua penduduk beragama Islam berpeluang menikmati buah kurma dan air zam-zam yang diberi secara percuma oleh kerajaan negeri pada bulan Ramadan.

Katanya, pihaknya tidak mahu lagi menerima aduan mengenai ada penduduk yang tidak menerima makanan istimewa tersebut disebabkan kelalaian JKKK.

“Seperti tahun sebelum ini, ada penduduk yang mendapat bekalan lebih daripada sepatutnya manakala sesetengah penduduk tidak menerima langsung bekalan yang disediakan kerajaan.

“Kita seboleh-bolehya mahu pemimpin setempat mengagihkan sendiri makanan istimewa itu dari rumah ke rumah kerana menyedari mampu mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk dan pemimpin setempat,” katanya.

Seorang penduduk dari Kampung Bukit Cempaka, Batu Rakit, Awi Nik, 70, berkata keluarganya yang belum lagi menerima hadiah istimewa dari Menteri Besar itu yakin akan dapat dalam tempoh terdekat dari Pengerusi JKKK.

Katanya, dia bagaikan tidak sabar untuk menerima dan merasainya kerana yakin kurma yang diagihkan itu sedap dan berkualiti.

“Saya berharap agihan kurma dan air zam-zam ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana mampu memberi pengertian yang cukup besar kepada penduduk,” katanya.


Ramadan umpama tetamu Allah s.w.t

Oleh: Aida Abd Rahman
Umat Islam perlu mengganggap Ramadan sebagai tetamu Allah s.w.t yang mengunjungi rumah kita, di mana kita pula perlu menjadi tuan rumah terbaik untuk memastikan bulan yang menjanjikan ganjaran istimewa ini dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

“Ramadan harus menjadi satu bulan yang amat dirindui dan dinantikan di kalangan umat Islam bagi mentarbiah dan memuhasabah diri dengan menzahirkan perasaan rindu itu untuk melaksanakan suruhan, tuntutan dan amalan sunat termasuk mengerjakan solat tarawih.

“Pemergian Ramadan seharusnya amat menyedihkan dan kita sebagai umat yang sentiasa merindui Ramadan pastinya tidak sanggup berpisah dengan bulan penuh rahmat ini. Oleh itu, jangan sesekali kita bersedih dengan kedatangan Ramadan dan berseronok pula dengan pemergian Ramadan,” kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Muhammad Ramli Nuh, ketika diwawancara Teganukita, semalam.

Tambah beliau lagi, maksud bersedih di sini adalah kita merasakan Ramadan satu bulan yang mengongkong kita serta menyebabkan kita merasakan lapar dan tidak selesa menjalani amalan seharian, malah merasa dukacita dengan kehadiran bulan ini.

Bagaimanapun, apabila berlalunya Ramadan kita berseronok dan tidak sabar-sabar pula mahu menyambut Hari Raya atau kehadiran Syawal. Ini konsep yang tidak bertepatan dengan penghayatan dan pengisian Ramadan.

Katanya, umat Islam perlu mengejar banyak keistimewaan yang dianugerahkan Allah s.w.t menerusi utusan Ramadan yang hanya hadirnya setahun sekali dan mengganggap kehadirannya adalah yang terakhir untuk hayat kita.

“Justeru itu, di peringkat awal Ramadan ini, marilah sama-sama berusaha melaksanakan tugas kita terhadap Allah s.w.t sebagai hambaNYA dengan menjadikan Ramadan sebagaimana kata Dr Yusuf al-Qaradawi sebagai `Madrasah Addiniah’, iaitu sekolah untuk membina keagamaan dalam diri kita yang melibatkan proses mentarbiahkan, mendidik, menta’zimkan, membentuk imej dan mentajdidkan perkara yang sebelum ini tidak baik kepada lebih baik.

“Selain perkara yang sudah baik ditambah nilai supaya lebih baik sebab itu inilah bulan paling sesuai membina kekuatan dan tanggungjawab diri bukan hanya kepada Allah s.w.t, juga sebagai ayah, ibu dan anak-anak dengan sesempurna dan sebaik mungkin,” katanya

Sebagai contoh, jika menjadi seorang ayah, bulan ini dapat membentuk kita menjadi ketua keluarga dalam rumah tangga yang dapat menghimpunkan seluruh keluarga ketika menikmati juadah berbuka puasa dan mengerjakan solat berjemaah Maghrib, Isyak dan juga bertarawih.

“Jika tidak mampu ke masjid, tidak menjadi halangan untuk mengerjakan solat tarawih di rumah, asalkan kita berjemaah bersama ahli keluarga kerana yang penting kita berusaha mengerjakan ibadat dan kewajipan terhadap Allah s.w.t selain kita memantapkan institusi kekeluargaan.

“Ramadan juga berfungsi membina kekuatan ukhwah islamiah dan silaturahim dalam konteks kita hidup berjiran dengan melatih diri saling sapa-menyapa, mesra dan saling mengasihi satu sama lain seperti bertukar-tukar juadah berbuka puasa,apatah lagi jika juadah itu dihasilkan dengan air tangan sendiri,” katanya.



Masjid Kubang Bemban tubuh koperasi



Oleh: Mohammad Ishak 

Berkat kegigihan dan semangat ingin maju dalam bidang ekonomi mendorong penduduk Kampung Kubang Bemban, dekat Jertih, menubuhkan sebuah koperasi untuk faedah komuniti terbabit.

Koperasi yang dikenali Koperasi Masjid As-Solehin Berhad (KOMASS), bertujuan menggalakkan kariah menabung selain meningkatkan ekonomi penduduk Satu majlis pelancaran penubuhan koperasi berkenaan diadakan di masjid itu kelmarin dan dihadiri oleh 50 penduduk.

Pengerusinya, Anuar Mahmod berkata, pihaknya bangga dengan semangat penduduk yang memberi kerjasama dan sokongan sehingga berjaya menubuhkan koperasi berkenaan.

Katanya, dengan kejayaan itu ia menjadi masjid pertama di daerah Besut yang menubuhkan koperasi dalam usaha memberi perkhidmatan kepenggunaan dan ekonomi kepada masyarakat setempat.

Beliau berharap, dengan adanya koperasi ia akan dapat membantu penduduk kampung itu dalam pelbagai bidang terutama pembangunan ekonomi yang dapat menambah sumber pendapatan penduduk.

Anuar berkata, beliau mempunyai rancangan untuk menyertai pelbagai sektor bagi merancakkan lagi sumber pendapatan koperasi terutama bekerjasama dengan lain-lain agensi dan jabatan kerajaan di daerah Besut.

JKM sedia bantuan geran berdikari

Oleh; Esah Abdullah

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sedang berusaha mengenalpasti individu penerima bantuan bulanan jabatan itu yang produktif untuk menerima bantuan Geran Pelancaran bagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan.



Timbalan Pengarah 1, Hajah Che Mah Darus berkata, mereka yang masih produktif boleh membuat permohonan secara berkelompok atau individu bagi membuka perniagaan atau menceburkan diri dalam bidang pertanian secara komersial.

“Bantuan yang disediakan ini diberi sehingga RM2,700 bagi setiap permohonan dan mereka boleh membuat permohonan kedua bagi bantuan tambahan membesarkan perniagaan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Wisma Negeri hari ini (24 Julai).

Menurutnya, tahun lalu seramai 175 penerima bantuan membabitkan RM265,000 di mana 117 daripadanya menjalankan perniagaan, jahitan (34), ternakan (11) iklan (8) dan masing-masing empat menceburi bidang pertanian dan perabot manakala satu tukang besi.

Beliau juga memuji sikap enam peserta berkelompok dari Hulu Terengganu yang berjaya mengusahakan tanaman labu manis.

“Kita ingin melihat mereka berdikari dan mampu mencari pendapatan yang lebih baik serta tidak terus bergantung kepada bantuan bulanan JKM semata-mata,” katanya.

Katanya, pihaknya juga bersedia memberi khidmat latihan dan bimbingan kepada mereka yang tidak ada pengalaman dalam bidang yang ingin diceburi.



LMNT terus anjur Pertandingan Pelita Raya

Oleh: Suriati Ali

Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan meneruskan Pertandingan Pelita Raya membabitkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh.
Kampung itu adalah Kampung (Kg) Padang Hangus, Kg Pagar Ubi, Kg Raja, Kg Baru dan Kg Tokeng.



Penolong Kurator-Perhubungan dan Pemasaran LMNT Mohd Saberi Muda, berkata tarikh dan jumlah hadiah bagi pertandingan itu belum ditetapkan kerana masih dalam perbincangan.

“Pertandingan yang termaktub dalam kelendar tahunan kerajaan negeri itu pasti dianjurkan kerana mendapat sambutan mengalakkan sejak dianjurkan pada 2009 lalu.

“Apa yang membanggakan, jumlah peserta pasti meningkat pada setiap tahun, mungkin mereka sedar mengenai kelebihannya, termasuk mendapat liputan meluas di media massa dan elektronik, kampung bertanding mendapat tumpuan pelbagai pihak dan teruja dengan hadiah yang ditawarkan,” katanya kepada Teganukita.

Katanya, hadiah keseluruhan yang ditawarkan pada pertandingan kali ini dijangka meningkat berbanding RM30,000 tahun lalu.

“Pihak kami teruja menganjurkan pertandingan seumpama ini kerana bukan saja mampu menceriakan suasana kampung malah dapat memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat..

“Di samping itu, ia dapat menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang dan dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya,” katanya

Katanya, seperti tahun sebelum ini, rata-rata peserta sangat kreatif di mana mereka mampu mencipta dan membentuk pebagai kerangka bangunan untuk menempat pelita tanpa bantuan pihak berpendalaman.

“Pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh.

““Antara kerangka yang dicipta, termasuk bentuk bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Kuala Lumpur, kapal terbang dan kubah masjid, astaka, kapal layar dan sebagainya,” katanya.


Terengganu hantar 36 pelajar ke Jordan tahun ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Seramai 36 pelajar akan dihantar ke Jordan tahun ini, bagi melanjutkan pelajaran di bidang perubatan dan pergigian di bawah tajaan Yayasan Terengganu (YT).

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Haji Ahmad Razif Abd Rahman, berkata pelajar berkenaan akan ditempatkan di dua universiti di negara berkenaan iaitu Universiti Jordan dan Universiti Sains dan Teknologi Jordan.

Beliau berkata, pelajar berkenaan merupakan sebahagian daripada para pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan dihantar kerajaan negeri ke luar negara bagi mengikuti pengajian di bidang perubatan dan pergigian.

Sebelum ini, Mesir menjadi destinasi pelajar cemerlang di negeri ini, tetapi berikutan pergolakan di negara berkenaan penghantaran pelajar ke Mesir dihentikan sementara waktu hingga keadaan di situ menjadi lebih aman.

Katanya, penghantaran pelajar berkenaan ke Jordan akan dilakukan pada bulan September depan.

Menurutnya, penghantaran pelajar bagi mengikuti pengajian di bidang perubatan di Mesir akan dilakukan setelah pihaknya mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Buat masa ini kementerian berkenaan belum mendapat ‘lampu hijau’ dari Wisma Putra bagi membolehkan pelajar tempatan di hantar ke Mesir untuk melanjutkan pengajian dalam pelbagai jurusan di universiti-universiti di negara berkenaan.

Dato’ Haji Ahmad Razif berkata, negara Mesir tetap menjadi salah satu daripada negara pilihan kerajaan negeri bagi menghantar pelajar menuntut ilmu, terutama di bidang perubatan.




Program Pulau Bersih & Indah semai semangat cintai keindahan alam



Oleh: Aida Abd Rahman

Dalam usaha memupuk semangat mencintai keindahan dan kebersihan di lokasi tarikan pelancong, program Pulau Bersih dan Indah, diadakan di Kampung Pulau Perhentian Kecil, Besut, baru-baru ini.

Program dianjurkan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu (PKPMNT) dengan kerjasam kerajaan negeri, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Pelajaran dan Tourism Malaysia Terengganu.



Pengarah PKPMNT, Encik Mohd Sabri Zakaria, berkata program yang julung kali dilaksanakan Kementerian Pelancongan itu merupakan antara program ke arah meningkatkan inovasi dalam sektor pelancongan sempena kempen `1Malaysia Green, 1Malaysia Clean’ .

“Program dapat menyemai semangat cintakan keindahan dan kebersihan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya di tempat yang sentiasa menjadi tarikan pelancong tempatan dan luar negara.


“Seramai 500 peserta di kalangan masyarakat kampung dan pelajar sekolah menyertai acara yang dapat memupuk semangat cintakan keindahan dan kebersihan itu,” katanya.


Menurutnya, penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dapat memupuk perpaduan di kalangan pelajar atau generasi muda yang berbilang kaum berdasarkan gagasan dan konsep 1Malaysia.


Katanya, pada masa yang sama, program juga dapat memupuk kesedaran tentang implikasi terhadap industri pelancongan dan membuka minda setiap rakyat supaya menjaga kebersihan dan memastikan negara sentiasa bersih dan indah.

”Apabila kawasan pelancongan kekal bersih dan indah, pastinya mampu menarik minat dan perhatian pelancong tempatan dan luar negara untuk melawat berulang kali ke tempat-tempat berkenaan,” katanya.




23 July 2012

Majlis Ulama satu pengiktirafan, platform khusus perjuang agama

Oleh: Aida Abd Rahman
Penubuhan majlis ulama Umno amat tepat pada masa kini bagi mengembalikan keyakinan para ulama dan lulusan agama yang seakan terkeliru dengan menggambarkan Umno sebagai parti yang tidak mengutamakan Islam dan sekular, supaya sama-sama berjuang dan memperkukuhkan parti menerusi platform yang khusus.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata penubuhan majlis ulama itu menjadi satu pengiktirafan kepada ulama dan agamawan selain mampu menarik golongan berkenaan yang sebelum ini merasa ragu-ragu untuk bersama Umno supaya kembali berjuang bersama parti itu.

“Sama ada belajar dalam negara mahu pun luar negara kerana mereka mungkin sebelum ini tidak nampak satu platform yang khusus untuk memperjuangkan soal agama, sedangkan perjuangan dalam agama ini yang sudah dibawa pemimpin Umno sejak dulu lagi.

“Ini satu perkara yang harus diberi keutamaan supaya dengan penubuhannya nanti banyak masalah dapat diselesaikan dalam suasana kekeluargaan Umno yang lebih meletakkan perjuangan agama dalam konteks yang syumul, selain menjadi negara yang boleh dicontohi negara Islam lain,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Katanya, persepsi dan pandangan yang harus dielakkan dengan penubuhan majlis ulama ini bukan bermaksud tiada ulama dan orang agama dalam Umno, sebaliknya kewujudannya mampu memperlihatkan satu struktur yang lebih kukuh dan relevan dalam memperkasakan Umno.

Beliau berkata, peranan majlis ulama itu sendiri akan lebih jelas dalam konteks membantu kepimpinan secara keseluruhan termasuk menangani perkara yang sepatutnya dan tidak sepatutnya dalam aspek agama.

“Kewujudannya boleh menjelaskan kepada umum bahawa bukan Pas sahaja memperjuangkan Islam, Umno sejak dulu lagi tidak terpisah dalam aspek agama, malah majlis ulama yang diwujudkan nanti boleh mengkritik di kalangan pemimpin dalam usaha untuk memastikan pentadbiran yang mengikut landasan agama menerusi ruang likup yang lebih menyeluruh dan syumul,” katanya.

Tambah beliau, satu ketika dulu, majlis ulama ini pernah wujud dalam parti Umno, bagaimanapun ia dinamanakan sebagai biro agama yang dipelopori oleh kalangan ulama pada ketika itu.

Bagaimanapun, timbul sedikit perselisihan dan perebutan untuk mendududuki kepimpinan Umno pada peringkat awal penubuhan parti dan mencapai Kemerdekaan Negara, menyebabkan di kalangan mereka yang mengetuai biro agama berpecah dan keluar dari parti sebelum menubuhkan parti Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Justeru itu, sejak Pas diwujudkan pemimpin mereka meletakkan seolah-olah Pas sebagai parti Islam dan mereka yang berada di dalam Pas adalah di kalangan ulama, manakala parti Umno digambarkan dan dimomokkan sebagai tidak Islam dan parti yang sekular.

“Sedangkan perkara itu tidak betul dan berasas sama sekali, kerana Umno sendiri merupakan satu parti politik yang didukungi orang Melayu yang beragama Islam dan bertunjangkan agama Islam sebagai agama dalam kehidupan,” katanya.

MB turut ke London, sokongan moral buat atlet

Oleh: Aida Abd Rahman
Ganjaran Kerajaan Terengganu kepada atlet negeri ini yang berjaya mewakili negara ke Sukan Olimpik London bukan hanya berbentuk insentif wang ringgit, malah turut disertai sokongan moral.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said akan bertolak ke London bagi memberi sokongan moral dan perangsang kepada tujuh atlet negeri ini yang bakal menggalas cabaran mewakili acara masing-masing di temasya berprestij dunia itu tidak lama lagi.

“ Ada tujuh atlet kita akan bersaing dalam acara masing-masing di Olimpik, saya sendiri akan pergi ke sana sekejap untuk memberi semangat kepada atlet kita.

“Terdapat satu slot kekosongan untuk ke sana (London), Tuan Haji Nawawi akan ke sana. Kita akan ke sana walaupun terpaksa menempuhi waktu siang dan puasa yang lebih panjang,” katanya baru-baru ini.

Lima atlet terawal yang mengesahkan tiket ke temasya itu, iaitu dua dari acara berbasikal trek, Azizulhasni Awang dan Fatehah Mustafa serta dua atlet memanah, Khairul Anuar Mohamad dan Nur Shafiqah Hashim serta seorang atlet paralimpik, Muhamad Azwar Bakar (ping pong).

Manakala dua pelumba lebuh raya yang turut tersenarai dalam slot terakhir, Adeq Husainie Othman dari Champion System dan Amir Mustafa Rusli (Drapac Professional Cycling Team).

Menteri Besar berkata, Sukan Olimpik bermula 27 Julai hingga 12 Ogos ini melibatkan Azizulhasni dan Fatehah bagi acara berbasikal trek pada 2 hingga 7 Ogos.

“Bagi acara berbasikal lebuh raya disertai Muhammad Adiq Husainie dan Amir Mustafa Rusli (28 Julai), manakala Khairul Anuar Mohamad dan Nurul Syafiqah Hashim bersaing bagi acara memanah bermula pada 27 Julai hingga 3 Ogos ini,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, beliau ke sana bersama beberapa rombongan dari Terengganu yang turut disertai Ketua Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) Ke-15 Pahang, Haji Wan Nawawi Wan Ismail.

Katanya, tawaran memenuhi satu kekosongan slot ke London diberikan kepada Haji Wan Nawawi sebagai ganjaran kepada Pegawai Daerah Kuala Terengganu itu yang berjaya membawa kontinjen Terengganu meraih kejuaraan Sukma buat kali keempat berturut-turut, baru-baru ini.






UMT teroka seluas lautan

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berada di lokasi terbaik, iaitu di pesisir Laut China Selatan di mana konfigurasi lautnya yang unik mempunyai kepelbagaian sepsis paling tinggi dan produktif di dunia.

Naib Canselor UMT Prof. Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, keadaan ini membuka peluang lebih banyak penyelidikan dapat dijalankan di Laut China Selatan oleh para penyelidik UMT.

“Tanpa pengetahuan yang mendalam dan menyeluruh berkenaan ekosistem marin, isu kelesterian tidak dapat ditangani dengan berkesan,” katanya.

Katanya melalui slogan ‘terokaan seluas lautan’ UMT berhasrat untuk membantu kerajaan ke arah pengurusan sumber lautan yang mampan.

Menurutnya, tahun ini kekuatan UMT dalam bidang oseanografi dan sains marin akan diperkasakan lagi dengan kapal penyelidik RV Discovery dan stesen penerimaan imej satelit yang pertama dan satu-satunya diluluskan penempatannya di institut pengajian tinggi di negara ini.

“Jun lalu institut oseanografi telah diaudit oleh Kementerian Pengajian Tinggi untuk mendapatkan status HI-COE sepenuhnya,” katanya.

Selain itu, kekuatan UMT dalam bidang sains marin turut diperakui oleh Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan satu memorandum persefahaman telah pun ditandatangai bagi menubuhkan Institut Oseanografi Kebangsaan (IOK).