Kerajaan negeri masih berhutang dengan Kerajaan Pusat sebanyak RM1.0588 bilion, kata Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said di sidang Dewan Undangan Negeri yang bersidang di Wisma Darul Iman hari ini.
Menteri Besar memberi penjelasan itu ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Dato’ Haji Harun Taib (Pas-Manir) yang ingin tahu adakah kerajaan negeri masih berhutang dengan Kerajaan Pusat, jika masih berhutang berapakah jumlahnya.
“Ya. Kerajaan negeri masih berhutang dengan Kerajaan Pusat dan jumlah hutang sehingga 31 Disember tahun lalu ialah RM1,005,885,045.33,” katanya.
Menjawab soalan tambahan dari wakil yang sama, kenapa kerajaan terpaksa berhutang, apakah hasil royalti minyak masih tidak mencukupi untuk perbelanjaan kerajaan,
Menteri Besar menjelaskan, pendapatan yang diperolehi kerajaan negeri masih belum mencukupi untuk membiayai projek-projek pembangunan keseluruhan di negeri ini.
Katanya, terdapat tiga kategori pinjaman yang diberikan Kerajaan Pusat kepada negeri-negeri termasuk Terengganu iaitu pinjaman untuk kawasan perindustrian, membina rumah kos rendah dan bekalan air.
“Sejak hampir lima tahun lalu kerajaan negeri tidak pernah buat pinjaman dengan Kerajaan Pusat bagi mewujudkan kawasan perindustrian dan pembinaan rumah mampu milik tetapi masih meminjam untuk bekalan air,” katanya.
Katanya, kerajaan telah membelanjakan lebih RM700 juta setakat ini untuk membina 8,000 unit rumah kos rendah dan mampu milik dalam tempoh empat tahun tanpa meminjam satu sen pun daripada Kerajaan Pusat.
“Untuk pengetahuan wakil Manir dan semua ahli dewan, sehingga kini hutang kita membabitkan bekalan air berjumlah RM708,385,103.85,” katanya.