Sambutan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said di Teluk Kalong, Kijal, Kemaman penuh dengan semangat 1Malaysia dan luar biasa apabila dihadiri hamper 50,000 rakyat daripada pelbagai kaum.
Rumah terbuka yang bermula pukul 9 pagi dan berakhir 3 petang itu menyaksikan orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat saling beramah mesra, selain menikmati pelbagai juadah di lebih 40 gerai yang disediakan.
Rumah terbuka itu menyaksikan Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud bersama pemimpin kerajaan negeri dan Barisan Nasional (BN) Parlimen Kemaman turun padang untuk beramah mesra dengan rakyat pelbagai lapisan.
Sambutan luar biasa masyarakat termasuk dari luar Kemaman itu menyaksikan orang ramai berpusu-pusu seawal pukul 7.30 pagi lagi untuk bertemu dengan pemimpin yang mereka sayangi itu walaupun majlis hanya dijadualkan bermula 9 pagi.
Doktor pakar pembedahan jantung di i-Heal, Kuala Lumpur, Dr, David Khoo Sin Keat (kanan) turut meriahkan rumah terbuka Menteri Besar.
Malah sehingga pukul 2 petang, orang ramai masih terus bersilih ganti memenuhi pekarangan kediamannya, lokasi penganjuran rumah terbuka itu.
Turut kelihatan, beberapa Exco kerajaan negeri seperti Dato’ Mohamad Awang Tera, Datuk Zaabar Mohd Adib dan Ashaari Idris.
Paling gembira, golongan kanak-kanak yang menerima duit raya daripada Dato’ Seri Ahmad dan isteri selain mengambil kesempatan untuk bersalaman serta bergambar dengan ADUN Kijal itu.
Rumah terbuka itu turut dimeriahkan dengan persembahan lagu raya oleh kumpulan SUKTRA.
Pengunjung yang hadir pada majlis itu menyifatkan sambutan tahun ini cukup istimewa dengan jumlah kehadiran meningkat saban tahun.
Ia kerana bagi mereka penganjuran rumah terbuka kali ini lebih ramai pengunjung yang datang dan sajian makanan pula lebih banyak berbanding sebelum ini.
Menurut seorang pengunjung dari Kemasik, Kemaman, Nordin Mohd Tahir, 34, ia merupakan kali ketiga dia bersama isteri dan anak mereka datang ke rumah terbuka Menteri Besar di Kijal.
"Saya lihat kunjungan orang ramai pada tahun ini meningkat berbanding tahun sebelum ini.
"Malah kerusi dan meja yang disediakan juga lebih banyak dan memudahkan orang ramai yang hadir untuk menikmati makanan yang disediakan," katanya ketika ditemui hari ini.
Wee Ah Kiam, 48, berkata, dia bertuah kerana dapat merasai semangat 1Malaysia melalui sambutan rumah terbuka itu.
"Tiada apa dapat saya katakan selain terlalu gembira dengan keunikan budaya di negara ini yang dapat dikongsi semua kaum.
"Saya harap budaya dan semangat seperti ini akan berterusan sampai bila-bila," katanya yang merupakan penduduk Chukai, Kemaman.
Bagi seorang pengunjung dari Paka, Dungun, Wan Abdul Aziz Wan Seman, 56, berkata, dia gembira kerana dapat bersama-sama dengan pemimpin negeri meraikan sambutan hari raya ini.
"Penganjuran majlis seperti ini menunjukkan bahawa kita di negeri ini tanpa mengira latar belakang, miskin dan kaya dapat bersama-sama meraikan sambutan perayaan dengan aman," katanya.