Halaman

01 September 2012

Terima kasih YT : Penerima biasiswa

Oleh: Aida Abd Rahman

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Yayasan Terengganu memastikan impian saya terlaksana kerana dapat menyambung pengajian saya dalam bidang yang amat diminati dan suatu masa nanti saya mahu menabur jasa bakti kepada masyarakat dan negeri dicintai pula,” kata penerima biasiswa YT, Imran Mohd Rasid, dari Teluk Kalong, Kemaman, baru-baru ini.

Imran merupakan penerima biasiswa YT berjumlah RM388,290 bagi menyambung pengajian di bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi di University Of Manchester, United Kingdom selama tiga tahun bermula pertengahan bulan depan.

Pelajar berkenaan berkata demikian ketika ditemui Teganukita di Majlis Makan Malam Bersama Pelajar Terengganu Luar Negara serta Penyampaian Wang pendahuluan Kepada pelajar Sesi 2012/2013 di Ri-Yaz Heritage Resort & Spa, Pulau Duyong, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman; Pengarah YT, Encik Zakaria Yusof; Timbalan Pengarah Pelajaran, Encik Hashim Mohd Zin dan Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT, Encik Razali Mahmud.

Ketika berucap mewakili pelajar lain di majlis itu, Imran tidak mahu sekadar hidup dengan bergelumang budaya ilmu yang hanya mementingkan diri sendiri semata-mata yang membawa kepada masalah `brain drain’.

Katanya, Malaysia antara negara yang dikatakan agak teruk berdepan dengan masalah itu disebabkan peluang, prospek kerja dan pelaburan di negara asing sehingga mengakibatkan wujudnya sikap individualisme yang ketara.

“Benar, peluang mungkin meluas di negara orang, namun kita tidak sepatutnya membawa diri ke negara orang, namun perlu mencari peluang untuk memajukan negara sendiri dengan menekankan mentaliti memberi dan melunaskan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Ayuh kita menyumbang sesuatu yang lebih bermanfaat kepada masyarakat dan bersama menjadi pemangkin buaday ilmu dalam proses pentamadunan. Malah, ini menjadi tugas pakar-pakar dalam bidang ilmu yang lahirnya daripada kelompok mahasiswa yang memiliki wawasan dan bukan usai pengajian menjadi manusia `home economicus’ (manusia ekonomi) yang terperangkap dengan permintaan kerja sahaja,”katanya.

Imran tutut berbanggga dengan peranan dan usaha yang dimainkan Kerajaan Terengganu dalam melahirkan modal insan yang berkualiti serta membentuk negeri dan negara yang cemerlang pada masa depan.

“Lantas, pelaburan yang tinggi dalam aspek pendidikan hari ini mencerminkan kerajaan negeri serius dan terlalu komited dalam aspek pembinaan sahsiah dan melahirkan modal insan yang dapat meneruskan kesinambungan pembangunan dan prestasi yang lebih gemilang serta holistik,” katanya.