Halaman

27 August 2012

JKKK Jalan Tekukur wakil Parlimen Kampung Merdeka 2012

Oleh: Aida Abd Rahman
Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jalan Tekukur, Kuala Terengganu menyediakan lebih 2,000 helai bendera bagi diagihkan kepada setiap penduduk kampung sempena pertandingan Kampung Merdeka dan Anugerah Desa Sejahtera 2012.

Kampung berkenaan terpilih mewakili Parlimen Kuala Terengganu dalam pertandingan anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada 13 Ogos lalu sempena sambutan kemerdekaan ke-55 selepas memenangi Kampung Bersih dan Ceria peringkat negeri (kategori dalam kawasan operasi) 2012, baru-baru ini.

Pengerusi JKKK, Hajah Arpah Othman berkata, kampung yang turut memenangi kategori Kebersihan Persekitaran Dalam Kawasan kampung, Keceriaan Landskap, Kawalan Vektor dan Kepimpinan kini dihiasi dengan kibaran jalur gemilang di setiap sudut kampung dalam pelbagai saiz sejak mendapat pencalonan dalam pertandingan yang berlangsung sebulan itu.

“Setiap rumah kita bekalkan bendera supaya mereka mengambil tanggungjawab mengibar dan menaikkan bendera di rumah masing-masing. Selain itu, kita juga hiasi bendera di tepi-tepi jalan dan premis kerajaan termasuk balai raya.

“Semua penduduk terutama golongan muda saling bermuafakat dan bekerjasama menaik dan menggantungkan bendera di kawasan strategik dengan kreativiti masing-masing,” katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri JKKK Jalan Tekukur, hari ini.

Malah, kemuncak pertandingan JKKK berkenaan turut menaikkan 55 wau bendera Jalur Gemilang bermula dari pintu gerbang laluan masuk ke kampung itu sebagai simbolik sambutan Kemerdekaan negara ke-55.

Hajah Arpah berkata, selain memastikan pengalaman pertama menyertai pertandingan Kampung Merdeka sebagai batu loncatan meneruskan kesinambungan kejayaan, program itu juga dapat menyemarakkan semangat patriotik dan cintakan negara di kalangan penduduk.

Katanya, menerusi penyertaan dalam pelbagai pertandingan itu turut menguatkan lagi persefahaman dan sikap berganding bahu di kalangan komuniti tanpa mengira latar belakang dan usia.

Menurutnya, JKKK Jalan Tekukur juga akan menyertai perbarisan sempena sambutan kemerdekaan peringkat negeri pada 31 Ogos ini dengan mengetengahkan kelainan termasuk menampilkan seorang anak kecil yang lahir pada tarikh kemerdekaan itu mengenakan kostum Jalur Gemilang untuk sama-sama dalam kumpulan perbarisan.