Oleh: Aida Abd Rahman
Laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 menunjukkan kita tidak boleh leka dan lalai dengan pencapaian membanggakan dalam keputusan peperiksaan awam tempatan, kerana berbanding dengan tanda aras antarabangsa, masih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk berdiri sama tinggi dengan kemajuan pendidikan antarabangsa, demikian kata Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
Beliau berkata, semua pihak harus berani menerima hakikat bahawa perbandingan dalaman tidak lagi memadai bagi memastikan daya saing di pentas dunia.
“Kita harus akur kepada pentaksiran antarabangsa yang telah muncul sebagai satu kaedah perbandingan langsung tentang kualiti keberhasilan pendidikan yang merentas negara dan sistem.
“Inilah cabaran besar warga pendidik dan semua agensi yang berkaitan dengannya di mana semua pelajar, warga pendidik dan warga Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) merupakan mereka yang berada di barisan hadapan dalam perjuangan pendidikan negara dan negeri kita,” katanya di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman dan Pengarah JPNT, Encik Zakaria Hussin.
Menteri Besar, berkata kerajaan negeri sentiasa bersama golongan barisan hadapan itu dengan menyediakan dan memberi pelbagai sokongan untuk menjayakan misi berkenaan.
Pada masa yang sama, Malaysia kini sedang memasuki fasa 10 tahun terakhir ke arah mencapai Wawasan 2020 di mana kita berhasrat menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri.
Katanya, Kementerian dan JPNT memiliki tanggungjawab yang amat besar dalam membangunkan modal insan yang bersifat menyeluruh, progresif, bermoral dan beretika tinggi selain melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran.
Menurutnya, laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 telah menggariskan dengan jelas transformasi yang dikehendaki dalam sistem pendidikan negara iaitu keberhasilan dan kemenjadian murid.
“Tranformasi yang dikehendaki ialah kefungsian dan keberkesanan sistem pendidikan itu sendiri untuk menjayakan Model Baru Ekonomi Negara, Program Transformasi Ekonomi dan Program Transformasi Kerajaaan yang menjadi asas perkembangan ekonomi negara dalam persaingan ekonomi global.
“Saya difahamkan transformasi sistem pendidikan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang bermatlamat melengkapkan setiap murid di negara kita dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan oleh mereka untuk merebut dan menangani cabaran abad ke-21,” katanya.
Oleh itu, katanya sistem pendidikan negara perlu berupaya melahirkan generasi muda yang berpengetahuan, mampu berfikir secara kritis dan kreatif, mempunyai kemahiran kepimpinan yang mantap dan berupaya berkomunikasi dengan berkesan pada peringkat global.
Katanya, setiap murid perlu diterapkan dengan nilai, etika dan rasa tanggungjawab sebagai warganegara, agar mereka dapat menjelmakan identiti nasional dan membuat pilihan yang tepat untuk diri mereka, keluarga dan negara, serta berupaya mengharungi dan mengatasi cabaran masa depan
.