Halaman

18 November 2012

Program Tahfiz al-Quran di Masjid Kristal

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri dengan kerjasama unit pentadbiran Masjid Kristal Management Sdn Bhd menganjurkan Program Tahfiz al-Quran Cuti Sekolah di masjid itu, bermula semalam hingga 20 Disember depan.

 Program siri ke sembilan itu melibatkan 150 pelajar berbanding 80 pelajar ketika pertama kali dianjurkan pada awal 2008 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata program itu adalah pendekatan positif bagi menyahut seruan kerajaan negeri menggabungkan pendidikan kini berasaskan al-Quran.

Katanya, al-Quran adalah rujukan utama umat Islam, justeru program itu permulaan yang baik untuk mempelajari bahasa al-Quran termasuk teknik dan cara mentafsirkannya.

“Program seumpama ini adalah sokongan terhadap kerajaan negeri bagi melahirkan generasi Ulul Albab yang bukan saja berketrampilan dalam pelbagai bidang tetapi pada masa sama mempunyai asas agama yang kuat berlandaskan al-Quran .

“Kita seboleh-bolehnya mahu anak-anak seawal usia 5 hingga 6 tahun mampu menghafaz al-Quran dengan baik,” katanya pada satu majlis baru-baru ini.

 

Doa penyokong Pas supaya UMNO hancur bertentangan dengan ajaran Islam

Oleh: Mohammad Ishak

Pelbagai pihak di negeri ini mengecam tindakan penyokong Pas yang mendoakan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) hancur kerana mendakwa pemimpin dan parti itu zalim dalam memerintah negara.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin kesal tindakan penyokong Pas mendoakann keburukan kepada sesama umat Islam yang dianggap musuh kepada parti itu.

Katanya, perbuatan itu tidak wajar dilakukan apa lagi oleh mereka yang mendakwa memperjuangan Islam dan bertindak atas perjuangan agama

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh penyokong yang mendoakan keburukan kepada Islam adalah bertentangan dengan ajaran Islam malah ia tidak diajar oleh agama Islam.

 “Malah Allah tidak menyuruh sesiapa sahaja mendoakan sesuatu keburukan dan meminta ditimpa bala kepada sesama Umat Islam”,katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan nelayan di Sekolah Nurzahirah Besut, hari ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut, mengulas tindakan penyokong Pas mendoakan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) hancur kerana dianggapnya zalim.

Beliau berkata, umat Islam sepatutnya mendoakan perkara yang baik-baik kepada sesama Islam dan bukanya melakukan doa yang bertentangan seperti apa yang dilakukan oleh Pas terhadap UMNO.

Abdullah berkata, tahap berpolitik ahli Pas ternyata rendah dan tidak bertamadun kerana mereka sanggup melakukan apasa sahaja walupun kadang kala perbuatan mereka bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berharap pemimpin Pas sedar dengan apa yang dilakukan mereka dan jangan sekali-kali mengadaikan Islam untuk kepentingan politik parti.

Monsoon Ride hangatkan Piala Monsun

Oleh: Aida Abd Rahman

Piala Monsun bukan sekadar menjadi acara pelayaran terkemuka dunia, malah menukar wajah Pulau Duyong daripada sebuah perkampungan nelayan yang sepi kepada pekan yang sibuk dengan pelbagai aktiviti ketika musim tengkujuh sekali gus memperkenalkan kekayaan warisan dan kebudayaan negeri kepada pelancong tempatan dan asing.

Penganjur acara pelayaran tahunan itu, T-Best Events, menjadikan Pulau Duyong sebagai perhentian terakhir Siri Jelajah Kejohanan Pelayaran Dunia dengan menganjurkan aktiviti yang bertemakan keluarga yang  menjanjikan keseronokan dan suasana menghiburkan.

Antara aktiviti yang dirancang sepanjang tempoh ini adalah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan kuiz, permainan tradisional, pertandingan karaoke, muay thai kick boxing, pertandingan perlumbaan perahu naga dan konsert.

Sementara acara `Monsoon Ride’ yang julung kali diadakan tahun ini bertemakan `cycling for all’ atau berbasikal untuk semua merupakan satu acara berbasikal yang terbuka kepada orang ramai, termasuk negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Penganjur program dari Kelab Berbasikal Go8, Encik Mohd Kamarul, berkata acara berkenaan dijangka disertai 500 penunggang basikal bakal diadakan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa pada 8 Disember ini, jam 8.30 pagi.

Katanya, pertandingan anjuran bersama Pejabat Pelancongan Terengganu dan Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 dapat memperkenalkan keindahan dan warisan negeri kepada penunggang basikal dari seluruh negara apabila peserta perlu melakukan kayuhan sekitar 100 kilometer di sekitar kawasan menarik di Bandar Raya Kuala Terengganu dan pinggir bandar raya.

Beliau berkata, antara laluan utama peserta adalah di sepanjang Pulau Duyong, Pulau Warisan, Pasar Payang, Pantai Batu Burok, perkampungan sekitar Maras dan Marang, seterusnya ke Batu Rakit dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebelum kembali ke Pulau Duyong.

"Laluan 100km bukan sahaja akan melalui kawasan bandar, kampung-kampung dan pantai, tetapi juga menaiki curam di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur. Aktiviti mencabar ini melibatkan pelbagai kaedah berbasikal bagi menempuhi cabaran sepanjang laluan keseluruhan, " katanya.

Menurutnya lagi, acara yang pertama kali dilaksanakan dengan penglibatan ramai peserta akan dikawal 60 marshal yang membentuk organisasi berbasikal, polis dan pasukan paramedik.

 “Kami berharap acara ini akan menggalakkan gaya hidup sihat dan penggunaan jalan yang selamat di kalangan para pemandu, "tambah Kamarul.

Katanya, yuran pendaftaran sebanyak RM30 termasuk beg cenderahati dan tiket untuk cabutan bertuah, manakala 20 hadiah cabutan bertuah termasuk baucar penginapan hotel di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Primula Beach Resort dan Permai Inn menanti pemenang.

 Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Mohd Kamarul di talian 019 2855987. Pendaftaran ditutup pada 30 November 2012.

 

Kerajaan BN cakna Ibu Tunggal

Teks dan gambar oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan sentiasa mengambil cakna, membantu dan membela nasib ibu tunggal melalui pelbagai program yang dijalankan oleh agensi yang berkaitan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu.

YB Haji Rozi Mamat menyampaikan anugerah kepada ibu tunggal.
Melalui program ‘ Karisma Selendang Biru Semarak Kasih 2012‘ Yayasan Pembangunan Keluarga ( YPK ) serta Kerajaan Negeri memberi satu bentuk penghargaan tertinggi kepada golongan ibu tunggal bagi menunjukkan mereka juga dihargai untuk segala pengorbanan dalam keusahawanan, kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Selain itu, program seperti ini dapat meningkatkan kreadibiliti pemimpin-pemimpin tempatan kerajaan pada kacamata golongan ibu tunggal dari segi perspektif bantuan dan pembelaan di samping mengukuhkan dan mengeratkan hubungan silaturrahim para pemimpin dengan golongan tersebut.

Majlis Karisma Selendang Biru Semarak Kasih peringkat Parlimen Hulu Terengganu yang dirasmikan Exco Belia dan Sukan Negeri merangkap ADUN Telemong, YB Haji Rozi Mamat, turut dihadiri Ketua Wanita Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat.


Menurut YB Rozi, peruntukan bagi ibu tunggal pada tahun 2012 adalah yang terbesar di negeri Terengganu dan ianya sejajar dengan hasrat murni untuk menjadikannya teras kepada pembangunan agar golongan ibu tunggal mendapat manfaatnya.

 “Bermula dengan RM 6.7 juta dibelanjakan untuk dana raya ibu tunggal pada tahun 2010, di ikuti dengan peningkatan RM 7.46 juta pada tahun 2011 membuktikan kerajaan negeri Terengganu telah banyak membantu golongan ini supaya dapat hidup dengan selesa di samping pelbagai bantuan dari agensi berkaitan.

“Kita sepatutnya merasa syukur kerana dapat hidup dengan selesa jika dibandingkan dengan negara lain kerana ada golongan ini terpaksa meminta sedekah untuk hidup sehari-harian.

“Kita juga perlu ingat bahawa intitusi kekeluargaan amat penting kerana ia menjadi penentu jatuh bangunnya sesebuah masyarakat dan keluarga bahagia penentu perkembangan minda.”kata YB Rozi di hadapan kira-kira 800 orang ibu tunggal yang hadir.

Pada majlis tersebut, tiga orang ibu tunggal telah dianugerahkan dengan penghargaan iaitu Puan Jamsiah Yang bagi kategori keusahawanan, Puan Kalsum Mamat bagi kategori kekeluargaan dan Puan Zainon Muda bagi kategori kemasyarakatan.


Wassatiyah Tunggak Kesatuan Ummah

Oleh: Mastura Jamaluddin

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 muharram tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.

Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah bagi peringkat Negeri Terengganu pada kali ini telah memilih Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang ,Hulu Terengganu sebagai tuan rumah pada tahun ini.

Majlis yang bermula pada jam 6 petang itu dimulakan dengan ceramah dan bacaan doa akhir tahun dan berakhir dengan solat hajat serta bacaan Yassin.

Majlis tersebut diketuai Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz.

YAB Menteri Besar Terengganu yang turut hadir pada majlis tersebut telah menyampaikan perutusan Maal Hijrah 1434H pada kali ini selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah dan membaca surah Yassin.

“Bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat solat hajat dan menyambut Tahun Baru 1434 Hijrah.Tema kali ini cukup bermakna kerana ianya satu usaha yang perlu di gemblengkan untuk memastikan kehidupan pada hari ini perlu berserdehana dan mempertingkatkan hubungan silaturrahim sesama Islam dan bukan Islam.

“Sesuai dengan negara Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai kaum, keturunan dan agama,kita perlu bersikap kesederhanaan dalam hubungan kita dengan agama-agama yang lain.

“Kita tidak perlu bersikap ekstrim dengan agama-agama lain sehinggakan boleh menyebabkan permasalahan dan pertikaian kaum yang boleh mengganggu gugat kemakmuran yang kita kecapi selama ini,.” katanya.

Beliau berkata, pengalaman negara dijajah ratusan tahun oleh pelbagai bangsa seperti Belanda, British,Portugis dan Komunis sebelum mengecapi kemerdekaan perlu dijadikan iktibar perjuangan nenek moyang kita agar kita pada hari ini menghargai keamanan dan kemakmuran negara sekaligus menolak perkara-perkara ekstrim.

 

Butler sah jurulatih baru T-Team

Peter James Butler
Oleh: Noraini Jusoh

Teka-teki siapa yang akan mengendalikan pasukan T-Team bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan akhirnya terjawab apabila Peter James Butler, 46, sah menandatangani perjanjian kontrak sebagai jurulatih baru T-Team yang berlangsung di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah berkata, pemilihan Butler yang pernah menjadi pengemudi pasukan Terengganu dilihat mampu membawa perubahan baru kepada skuad T-Team yang mula ditubuhkan pada tahun 2007.

“Sebagai jurulatih sekaligus merangkap pengurus pasukan, Butler yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang bolasepak dipercayai mampu menggalas tanggungjawab untuk melatih pemain T-Team serta membawa sinar baru kepada skuad bolasepak tersebut.

“Walaupun ketika ini prestasi pasukan T-Team dilihat kurang menyerlah, diharap Butler secara profesionalnya akan membuat pembaharuan yang akan melonjakkan kembali nama T-Team,” ujarnya kepada sidang media selepas selesai majlis perjanjian kontrak tersebut.

Dalam majlis yang sama, George Boateng, 37, yang pernah bermain bersama pasukan Liga Inggeris, Nottingham Forest turut menandatangani perjanjian dengan T-Team sebagai pemain import untuk musim depan.


Menurut Dato Mazlan, pemain kelahiran Ghana itu dipilih untuk beraksi bersama skuad T-Team kerana kehebatan yang ditunjukkan dalam permainan sebelum ini bersama pasukan yang pernah diwakilinya.

Katanya, beliau yakin dengan kepimpinan serta pemain baru yang akan beraksi untuk tahun 2013 akan meletakkan T-Team sebaris dengan pasukan bolasepak hebat yang lain.

 

MENUNGGU PRU 13

Oleh: Roslan Rahman

Ramai yang tertunggu-tunggu bilakah parlimen akan dibubar dan pilihanraya umum ke 13 akan ditetapkan. Apakah akhir tahun ini atau awal tahun depan atau sehingga Mac atau April 2013? Penuh teka-teki sebenarnya.

Sebagai rakyat di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen tentu mereka mahu kuasa rakyat untuk menentukan penerusan kepemimpinan negara yang aman membangun dan mereka dapat hidup dengan sejahtera.

Setiap undi itu amat bernilai untuk menentukan masa depan rakyat di negara ini di semua peringkat tanpa mengira ras , pangkat dan kedudukan.

Jika silap membuat pilihan dan terbina kepimpinan yang tidak memikirkan masa depan agama, bangsa dan negara, maka meranalah hidup bangsa dan ummah di negara ini.

Apatah lagi pada masa ini berbagai-bagai nilai baru yang merosakkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara sudah mula dibawa oleh pihak tertentu kepada rakyat seperti fahaman plluralisme-semua agama sama.

Fahaman baru tentang kebebasan beragama dan tiada paksaan dalam beragama iaitu dengan berkata orang Melayu juga tertakluk kepada kebebasan memilih agama dan berbagai-bagai lagi yang langsung tidak memikirkan soal status bumiputera dan kedaulatan Islam di negara ini yang termaktub dalam perlembagaan.


Apakah kita boleh ,menerima fahaman dan pemikiran baru yang tidak mendasari Islam dan perlembagaan yang sedia ada yang disediakan oleh pejuang terdahulu dalam soal-soal asas itu.

Malah hingga sampai ke suatu peringkat golongan ini telah mula menerima amalan sex bebas, sesama jenis dan sebagainya yang kita sebut sebagai LBGT.

Golongan ini berpendapat perlu menghormati mereka yang membudayakan amalan itu asalkan tidak melakukannya secara terbuka. Ajaran apakah yang sudah meresap dan pemikiran dan jiwa mereka?

Sanggupkah kita melihat orang Melayu dan umat Islam terpinggir dan hilang pedoman agama suatu hari nanti oleh tindakan pihak tertentu yang gilakan kuasa itu.

Di mana perginya golongan kononnya ulamak dalam parti tertentu yang hanya melihat dengan tidak berkata-kata atau bisu kelu apa atas kemungkaran yang sedang melanda hanya kerana berada dalam pakatan yang sama, pakatan yang menjahanamkan Islam dan orang-orang Melayu.

Pakatan yang kononnya dibuat atas nama rakyat untuk membawa kebaikan kepada rakyat sebenarnya tidak benar. Ini kerana pakatan itu sendiri adalah ke arah menjahanamkan rakyat dan negara ini dengan usaha-usaha untuk menggantikan kerajaan yang lebih liberal, bebas dan tidak terikat dengan asas perlembagaan yang memilihara kedudukan agama Islam, orang Melayu dan hak istimewa orang Islam.

Rakyat sebenarnya amat selesa dengan kerajaan yang sedia ada yang memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup semua peringkat rakyat. Mereka yang tahu menilai bahawa yang terbaik adalah kerajaan yang sedia ada kerana yang baru belum pasti membawa kebaikan dan keselamatan untuk mereka.

Di Terengganu rakyat sudah ada pengalaman pahit sewaktu Pas memerintah. Kini mereka (Pas dan pakatan pembangkang) datang menawar pelbagai perkara yang baik baik kepada rakyat- tetapi rakyat Terengganu sudah serik atau Serik Doh Weh .


INGAT DOK LAGI HADI AWANG KATA HUDUD HANYALAH 0.0001 DARI HUKUM ISLAM?

Oleh: Ruslan Rahman- Pengarang Teganukita


Pas yang sebelumnya mengecam permuafakatan Umno dengan bukan Islam sehingga peringkat mengkafirkan orang Umno akhirnya begitu mesra sekali dengan DAP.

Sebaik sahaja Pas berkuasa di Terengganu pada Disember 1999, Lim Kit Siang mengunjungi Menteri Besar ketika itu Haji Abdul Hadi Awang dan berpeluk cium penuh kemesraan.

Sedangkan ulama Pas pernah menghukum kafir dan haram jikalau orang Islam dan kafir bekerjasama memerintah.

Justeru dendam kesumat yang diamalkan 606 ketua kampong di Terengganu ditamatkan oleh kerajaan Pas Terengganu lapor akhbar-akhbar pada Januari 2000.

Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)digantikan dengan Jawatankuasa Syura Rakyat yang kononnya lebih mulia kerana lantikan berdasarkan kelulusan agama dan tidak melakukan dosa besar dan meninggalkan dosa dosa kecil.

Namun itu hanya di kertas, yang dilantik itu tidak pun memenuhi syarat syarat demikian.
Penyu di bulatan ladang juga dibuang kononnya tidak Islamik dengan hiasan dan pameran binatang tetapi mengapa penyu hiasan yang sama dikekalkan di hotel primula, sotong dan udang hiasa di simpang bandar Marang dikekalkan.

Betapa celarunya hukum dan peraturan yang dibuat kerana mereka menyatakan kerajaan mereka akan meroboh semua patung haiwan. rujuk Berita Harian 3 Mac 2000)

Menteri Besar Terengganu ketika itu pada November 2000 membuat pengumuman bahawa telaga minyak ditemui di daratan Terengganu dan usaha cari gali akan dijalankan sendiri.(rujuk akhbar negeri Warta Darul Iman 8 November 2000)

Rakyat begitu sangsi dengan kenyataan pemimpin berkenaan, sama ada berbohong atau tidak, lalu pertanyaan diajukan melalui persidangan Dewan Undangan Negeri, pada Disember 2000, tetapi dijawabnya pula tiada telaga minyak ditemui di daratan Terengganu.

Ternyata pembohongan menjadi amalan. (rujuk akhbar Warta Darul Iman 22 Disember 2000)
Pemimpin yang sama bila dikemukakan persoalan mengenai hudud menjawab pelaksanaan hukum itu memerlukan masa yang panjang.

Hukum hudud katanya adalah satu aspek daripada 0.0001 daripada hukum Islam.

Mengapa bila berkuasa lain jawapannya sedangkan beliau sendiri yang mengecam Umno kerana kononnya tidak melaksanakan hukum dan undang-undang menurut Islam.

Tentu kita masih ingat lima enakmen Islam yang didakwa perundangan Islam dibawa ke oleh Pas ke Dewan Undangan Negeri (Dun)Terengganu pada 26-28 Ogos 2000 dicedok terus dari Akta Parlimen yang dikemukakan oleh Umno dan BN untuk Wilayah Persekutuan dan beberapa negeri sebelum itu.

Sebenarnya rakyat Terengganu tidak pernah lupa semua perbuatan zalim dan pembohongan Pas semasa berkuasa 1999-2004.

Kini di saat saat pilihan raya mereka datang lagi kononnya untuk menggantikan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan janji yang lebih baik dan perubahan untuk faedah rakyat.

Sebenarnya rakyat Terengganu tidak pernah lupa kezaliman kumpulan mereka semasa berkuasa.

Keputusan UPSR diumumkan esok

Calon-calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2012 akan mengetahui keputusan peperiksaan mereka esok.

 Mereka boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing di sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi.

 Seramai 23,325 calon di seluruh negeri ini menduduki peperiksaan UPSR pada 11 hingga 13 September lalu.

 Sebelum ini, Terengganu mencatat sejarah apabila muncul juara bagi peperiksaan UPSR selama 11 tahun berturut-turut. Seramai 517,1289 calon menduduki peperiksaan UPSR di seluruh negara.



Tindakan Pas kini mengesahkan ia Pas Parti Ajaran Sesat

Ramai pemimpin dan penyokong Pas melenting dan marah-marah apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said melabelkan PAS sebagai Parti Ajaran Sesat.

Imbas kembali...keratan akhbar yang bertajuk PAS `Parti Ajaran Sesat'.
Bagaimanapun, kini sudah terang dan sahih Pas memang Parti Ajaran Sesat apabila parti yang kononnya memperjuangkan ajaran Islam itu menganjurkan solat hajat dan mendoakan agar Umno dan Barisan Nasional (BN) dihancurkan sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat, di Stadium Muhamad, Kota Bharu, Kelantan semalam.

Solat Hajat diimamkan adik Menteri Besar Kelantan, Nik Razi Nik Mat.dengan isi doanya berbunyi "KO BN !! .. KO BN !!...BN KO !!... KO BN !!.. BN KO !!...." itu mengejutkan masyarakat Islam di seluruh negara.

Lebih malang lagi apabila Presiden Pas, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, dalam reaksi beliau kepada pihak media merestui doa tersebut dan tidak sedikit pun menyalahkan Nik Razi yang membaca doa berkenaan.

Program solat hajat itu merupakan penutup Muktamar PAS kali ke-58 yang dihadiri perwakilan dan semua pemimpin besar parti tersebut.

Doa yang dibacakan Nik Razi meminta supaya Allah menghancurkan Umno dan BN sehingga ditelan bumi seperti kaum Namrud kerana kononnya pemimpin Umno bersikap zalim.

Banyak pihak menjangkakan doa pemimpin dan penyokong Pas tersebut bakal membawa kepada kehancuran parti itu kerana umat Islam tidak dapat menerima perkara itu. Selepas ini pasti ramai yang menyokong Pas, khususnya penyokong atas pagar akan beralih arah menyokong Umno dan BN.

Umat Islam sama sekali tidak dapat menerima keterlanjuran Pas mahu memusnahkan Umno dan BN yang selama ini berjuang bersungguh-sungguh meningkatkan syiar Islam, termasuk membina masjid-masjid dan mengadakan program mengimarahkan rumah ibadat itu di seluruh negara.

Mereka yang mempunyai akal fikiran waras pasti dapat menilai sejauh mana keikhlasan Pas memperjuangkan Islam, kerana hakikatnya mereka tidak berbuat demikian, tetapi hanya berkawan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk mencapai impian mereka ke Putera Jaya selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).