Halaman

19 November 2012

Tindakan Pas terdesak-MB

Oleh: Suriati Ali


 Tindakan Pas menganjurkan solat hajat mendoakan kehancuran Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai terdesak dan jelas menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad berkata sebagai orang Islam tidak sewajarnya berperangai seperti itu di mana mendoakan umat sendiri ditimpa musibah.

 “Islam sendiri tidak menggalakkan kita mendoakan keburukan kepada orang lain dan tindakan mereka ini membuktikan seolah-olah puak itu melakukan kerja-kerja Allah.

“Seperti kenyataan mereka sebelum ini yang sewenang-wenangnya menentukan siapa akan masuk syurga dan siapa yang berdosa,” katanya.

 Katanya, Pas sebenarnya berfikiran celaru dan fakta yang dinyatakan sentiasa berubah, dulu pemimpin mereka pernah menyatakan golongan wanita tidak boleh mengaji al-Quran di khalayak ramai.

 “Pada masa sama wakil rakyat perempuan parti itu memaki hamun orang, berceramah dan fitnah orang di atas pentas, adakah itu tidak aurat, mengaji pula aurat, ini adalah tidak benar.

 “Sekarang nak tambah calon wanita pada pilihan raya akan datang, kalau puak itu yang lakukan boleh, BN pula dikatakan haram bila melaksanakannya. Ini perkara pelik, tak kan fakta dan undang-undang Islam itu boleh berubah-berubah,” katanya.

 Katanya, dia meminta rakyat khususnya di Terengganu berfikiran terbuka dan selidik dengan kenyataan yang dikeluarkan pemimpin pembangkang kerana jelas terdesak dan jauh daripada ajaran Islam.

 “Apa yang dinyatakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar yang mengatakan orang Melayu bebas untuk memilih agama, semua senyap dan tidak berani untuk berssuara,” katanya

 


18 November 2012

YPU anjur program bicara tokoh

Oleh: Noraini Jusoh

Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu bakal menganjurkan Program Bicara Tokoh sebagai acara penutup tirai untuk tahun ini.

 Pengurus Jaringan Korporat dan Pembudayaan Keusahawan YPU negeri, Haji Zulkifli Yunus berkata program ini bertujuan untuk memberi pendedahan mengenai cabaran pengurusan masa depan serta memberi pandangan mengenai gaya pengurusan dan budaya keusahawanan dalam membuat keputusan khususnya kepada usahawan, pegawai kerajaan serta agensi berkaitan.

“Program bicara tokoh pada kali ini akan melibatkan dua siri iaitu siri pertama akan berlangsung pada 22 November bermula jam 9.30 pagi sehingga 12.30 tengahari bertempat di Dewan Kovensyen, YPU, Kuala Terengganu yang akan disampaikan oleh bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim dengan tajuk Khalifah Ganti Superman-Cabaran Pengurusan masa Depan.

“Manakala pada 28 November, Pengarah Institut Pemikir Tun Dr.Mahathir Mohamad (IPDM), UUM, Dr. Abdul Rahman Abdul Aziz akan menyampaikan bicara yang bertajuk Satu Analisa Gaya Pengurusan & Budaya Keusahawanan Dalam Membuat Keputusan pada waktu dan di tempat yang sama,” ujarnya.

Katanya, yuran penyertaan bagi setiap satu sesi cuma RM30 dan boleh dibuat secara tunai atau cek atas nama YAYASAN PEMBANGUNAN USAHAWAN TERENGGANU.

Tambah beliau, kepada yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi Bahagian Jaringan Korporat dan Pembudayaan Keusahawan YPU di talian 09 6242424 atau faks 09 624 8932 untuk maklumat lanjut.

 

Pegawai Daerah Besut minta jabatan kerajaan bantu JKKK


A Rahim Jusoh mempengerusikan mesyuarat bersama pengerusi JKKK Daerah Besut

Oleh: Mohammad Ishak 

Jabatan dan agensi kerajaan daerah Besut diminta membantu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselaman Kampung (JKKK) yang dipilih menyertai Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung anjuran Kerajaan Negeri.

Pegawai Daerah Besut, A Rahim Jusoh berkata, sokongan dan kerjasama pihak jabatan dan agensi kerajaan daerah itu perlu bagi membantu permintaan JKKK yang memerlukan khidmat jabatan terbabit.

Katanya, antara jabatan yang terbabit dalam pertandingan itu termasuklah Majlis Daerah Besut (MDB), Jabatan Kerja Raya (JKR),Jabatan Pertanian, Projek Pembangunan terengganu Utara (KETARA), Jabatan Perhutanan dan Veterinar

 “Tanpa kerjasama jabatan sudah tentu sukar bagi JKKK untuk menyertai pertandingan itu kerana organisasi itu tidak mempunyai kewangan bagi membiayai kos mengindahkan kampung masing-masing,” katanya

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Persediaan Penyertaan Pertandingan Kebersihan dan Keceriaan Kampung Daerah Besut di Bilik Gerakan Pejabat daerah Besut di Kampung Raja, hari ini.

Hadir sama enam pengerusi JKKK yang terpilih mewakili daerah Besut ke pertandingan berkenaan iaitu JKKK Rumah Awam Seberang Jertih, Lay Out Tok Saboh, Bukit Payong Luar, Gong Gucil, Amer Hilir dan Kayu Kelat.

Beliau berkata, semua JKKK yang terpilih juga diminta menyiapkan profil kampung masing-masing mulai sekarang kerana penghakiman akan dilakukan pada Januari 2013. A Rahim berharap, daerah Besut dapat melahirkan kampung contoh yang mampu bersaing dengan tempat lain di Terengganu.

Program Tahfiz al-Quran di Masjid Kristal

Oleh: Suriati Ali 

Kerajaan negeri dengan kerjasama unit pentadbiran Masjid Kristal Management Sdn Bhd menganjurkan Program Tahfiz al-Quran Cuti Sekolah di masjid itu, bermula semalam hingga 20 Disember depan.

 Program siri ke sembilan itu melibatkan 150 pelajar berbanding 80 pelajar ketika pertama kali dianjurkan pada awal 2008 lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, YB Haji Khazan Che Mat berkata program itu adalah pendekatan positif bagi menyahut seruan kerajaan negeri menggabungkan pendidikan kini berasaskan al-Quran.

Katanya, al-Quran adalah rujukan utama umat Islam, justeru program itu permulaan yang baik untuk mempelajari bahasa al-Quran termasuk teknik dan cara mentafsirkannya.

“Program seumpama ini adalah sokongan terhadap kerajaan negeri bagi melahirkan generasi Ulul Albab yang bukan saja berketrampilan dalam pelbagai bidang tetapi pada masa sama mempunyai asas agama yang kuat berlandaskan al-Quran .

“Kita seboleh-bolehnya mahu anak-anak seawal usia 5 hingga 6 tahun mampu menghafaz al-Quran dengan baik,” katanya pada satu majlis baru-baru ini.

 

Doa penyokong Pas supaya UMNO hancur bertentangan dengan ajaran Islam

Oleh: Mohammad Ishak

Pelbagai pihak di negeri ini mengecam tindakan penyokong Pas yang mendoakan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) hancur kerana mendakwa pemimpin dan parti itu zalim dalam memerintah negara.

Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin kesal tindakan penyokong Pas mendoakann keburukan kepada sesama umat Islam yang dianggap musuh kepada parti itu.

Katanya, perbuatan itu tidak wajar dilakukan apa lagi oleh mereka yang mendakwa memperjuangan Islam dan bertindak atas perjuangan agama

Menurutnya, apa yang dilakukan oleh penyokong yang mendoakan keburukan kepada Islam adalah bertentangan dengan ajaran Islam malah ia tidak diajar oleh agama Islam.

 “Malah Allah tidak menyuruh sesiapa sahaja mendoakan sesuatu keburukan dan meminta ditimpa bala kepada sesama Umat Islam”,katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan nelayan di Sekolah Nurzahirah Besut, hari ini.

Abdullah yang juga Ahli Parlimen Besut, mengulas tindakan penyokong Pas mendoakan supaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) hancur kerana dianggapnya zalim.

Beliau berkata, umat Islam sepatutnya mendoakan perkara yang baik-baik kepada sesama Islam dan bukanya melakukan doa yang bertentangan seperti apa yang dilakukan oleh Pas terhadap UMNO.

Abdullah berkata, tahap berpolitik ahli Pas ternyata rendah dan tidak bertamadun kerana mereka sanggup melakukan apasa sahaja walupun kadang kala perbuatan mereka bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berharap pemimpin Pas sedar dengan apa yang dilakukan mereka dan jangan sekali-kali mengadaikan Islam untuk kepentingan politik parti.

Monsoon Ride hangatkan Piala Monsun

Oleh: Aida Abd Rahman

Piala Monsun bukan sekadar menjadi acara pelayaran terkemuka dunia, malah menukar wajah Pulau Duyong daripada sebuah perkampungan nelayan yang sepi kepada pekan yang sibuk dengan pelbagai aktiviti ketika musim tengkujuh sekali gus memperkenalkan kekayaan warisan dan kebudayaan negeri kepada pelancong tempatan dan asing.

Penganjur acara pelayaran tahunan itu, T-Best Events, menjadikan Pulau Duyong sebagai perhentian terakhir Siri Jelajah Kejohanan Pelayaran Dunia dengan menganjurkan aktiviti yang bertemakan keluarga yang  menjanjikan keseronokan dan suasana menghiburkan.

Antara aktiviti yang dirancang sepanjang tempoh ini adalah pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka, pertandingan kuiz, permainan tradisional, pertandingan karaoke, muay thai kick boxing, pertandingan perlumbaan perahu naga dan konsert.

Sementara acara `Monsoon Ride’ yang julung kali diadakan tahun ini bertemakan `cycling for all’ atau berbasikal untuk semua merupakan satu acara berbasikal yang terbuka kepada orang ramai, termasuk negara-negara jiran seperti Singapura dan Thailand.

Penganjur program dari Kelab Berbasikal Go8, Encik Mohd Kamarul, berkata acara berkenaan dijangka disertai 500 penunggang basikal bakal diadakan di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa pada 8 Disember ini, jam 8.30 pagi.

Katanya, pertandingan anjuran bersama Pejabat Pelancongan Terengganu dan Sekretariat Tahun Melawat Terengganu 2013 dapat memperkenalkan keindahan dan warisan negeri kepada penunggang basikal dari seluruh negara apabila peserta perlu melakukan kayuhan sekitar 100 kilometer di sekitar kawasan menarik di Bandar Raya Kuala Terengganu dan pinggir bandar raya.

Beliau berkata, antara laluan utama peserta adalah di sepanjang Pulau Duyong, Pulau Warisan, Pasar Payang, Pantai Batu Burok, perkampungan sekitar Maras dan Marang, seterusnya ke Batu Rakit dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud sebelum kembali ke Pulau Duyong.

"Laluan 100km bukan sahaja akan melalui kawasan bandar, kampung-kampung dan pantai, tetapi juga menaiki curam di sepanjang Lebuh Raya Pantai Timur. Aktiviti mencabar ini melibatkan pelbagai kaedah berbasikal bagi menempuhi cabaran sepanjang laluan keseluruhan, " katanya.

Menurutnya lagi, acara yang pertama kali dilaksanakan dengan penglibatan ramai peserta akan dikawal 60 marshal yang membentuk organisasi berbasikal, polis dan pasukan paramedik.

 “Kami berharap acara ini akan menggalakkan gaya hidup sihat dan penggunaan jalan yang selamat di kalangan para pemandu, "tambah Kamarul.

Katanya, yuran pendaftaran sebanyak RM30 termasuk beg cenderahati dan tiket untuk cabutan bertuah, manakala 20 hadiah cabutan bertuah termasuk baucar penginapan hotel di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Primula Beach Resort dan Permai Inn menanti pemenang.

 Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Encik Mohd Kamarul di talian 019 2855987. Pendaftaran ditutup pada 30 November 2012.

 

Kerajaan BN cakna Ibu Tunggal

Teks dan gambar oleh: Mastura Jamaluddin 

Kerajaan sentiasa mengambil cakna, membantu dan membela nasib ibu tunggal melalui pelbagai program yang dijalankan oleh agensi yang berkaitan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu.

YB Haji Rozi Mamat menyampaikan anugerah kepada ibu tunggal.
Melalui program ‘ Karisma Selendang Biru Semarak Kasih 2012‘ Yayasan Pembangunan Keluarga ( YPK ) serta Kerajaan Negeri memberi satu bentuk penghargaan tertinggi kepada golongan ibu tunggal bagi menunjukkan mereka juga dihargai untuk segala pengorbanan dalam keusahawanan, kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Selain itu, program seperti ini dapat meningkatkan kreadibiliti pemimpin-pemimpin tempatan kerajaan pada kacamata golongan ibu tunggal dari segi perspektif bantuan dan pembelaan di samping mengukuhkan dan mengeratkan hubungan silaturrahim para pemimpin dengan golongan tersebut.

Majlis Karisma Selendang Biru Semarak Kasih peringkat Parlimen Hulu Terengganu yang dirasmikan Exco Belia dan Sukan Negeri merangkap ADUN Telemong, YB Haji Rozi Mamat, turut dihadiri Ketua Wanita Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Hajah Fatimah Hamat.


Menurut YB Rozi, peruntukan bagi ibu tunggal pada tahun 2012 adalah yang terbesar di negeri Terengganu dan ianya sejajar dengan hasrat murni untuk menjadikannya teras kepada pembangunan agar golongan ibu tunggal mendapat manfaatnya.

 “Bermula dengan RM 6.7 juta dibelanjakan untuk dana raya ibu tunggal pada tahun 2010, di ikuti dengan peningkatan RM 7.46 juta pada tahun 2011 membuktikan kerajaan negeri Terengganu telah banyak membantu golongan ini supaya dapat hidup dengan selesa di samping pelbagai bantuan dari agensi berkaitan.

“Kita sepatutnya merasa syukur kerana dapat hidup dengan selesa jika dibandingkan dengan negara lain kerana ada golongan ini terpaksa meminta sedekah untuk hidup sehari-harian.

“Kita juga perlu ingat bahawa intitusi kekeluargaan amat penting kerana ia menjadi penentu jatuh bangunnya sesebuah masyarakat dan keluarga bahagia penentu perkembangan minda.”kata YB Rozi di hadapan kira-kira 800 orang ibu tunggal yang hadir.

Pada majlis tersebut, tiga orang ibu tunggal telah dianugerahkan dengan penghargaan iaitu Puan Jamsiah Yang bagi kategori keusahawanan, Puan Kalsum Mamat bagi kategori kekeluargaan dan Puan Zainon Muda bagi kategori kemasyarakatan.


Wassatiyah Tunggak Kesatuan Ummah

Oleh: Mastura Jamaluddin

Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi.

Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 muharram tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.

Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah bagi peringkat Negeri Terengganu pada kali ini telah memilih Masjid Sultan Mahmud, Kuala Berang ,Hulu Terengganu sebagai tuan rumah pada tahun ini.

Majlis yang bermula pada jam 6 petang itu dimulakan dengan ceramah dan bacaan doa akhir tahun dan berakhir dengan solat hajat serta bacaan Yassin.

Majlis tersebut diketuai Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz.

YAB Menteri Besar Terengganu yang turut hadir pada majlis tersebut telah menyampaikan perutusan Maal Hijrah 1434H pada kali ini selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah dan membaca surah Yassin.

“Bersyukur kepada Allah Taala kerana dapat solat hajat dan menyambut Tahun Baru 1434 Hijrah.Tema kali ini cukup bermakna kerana ianya satu usaha yang perlu di gemblengkan untuk memastikan kehidupan pada hari ini perlu berserdehana dan mempertingkatkan hubungan silaturrahim sesama Islam dan bukan Islam.

“Sesuai dengan negara Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang mempunyai pelbagai kaum, keturunan dan agama,kita perlu bersikap kesederhanaan dalam hubungan kita dengan agama-agama yang lain.

“Kita tidak perlu bersikap ekstrim dengan agama-agama lain sehinggakan boleh menyebabkan permasalahan dan pertikaian kaum yang boleh mengganggu gugat kemakmuran yang kita kecapi selama ini,.” katanya.

Beliau berkata, pengalaman negara dijajah ratusan tahun oleh pelbagai bangsa seperti Belanda, British,Portugis dan Komunis sebelum mengecapi kemerdekaan perlu dijadikan iktibar perjuangan nenek moyang kita agar kita pada hari ini menghargai keamanan dan kemakmuran negara sekaligus menolak perkara-perkara ekstrim.

 

Butler sah jurulatih baru T-Team

Peter James Butler
Oleh: Noraini Jusoh

Teka-teki siapa yang akan mengendalikan pasukan T-Team bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan akhirnya terjawab apabila Peter James Butler, 46, sah menandatangani perjanjian kontrak sebagai jurulatih baru T-Team yang berlangsung di Wisma Darul Iman, pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mazlan Ngah berkata, pemilihan Butler yang pernah menjadi pengemudi pasukan Terengganu dilihat mampu membawa perubahan baru kepada skuad T-Team yang mula ditubuhkan pada tahun 2007.

“Sebagai jurulatih sekaligus merangkap pengurus pasukan, Butler yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang bolasepak dipercayai mampu menggalas tanggungjawab untuk melatih pemain T-Team serta membawa sinar baru kepada skuad bolasepak tersebut.

“Walaupun ketika ini prestasi pasukan T-Team dilihat kurang menyerlah, diharap Butler secara profesionalnya akan membuat pembaharuan yang akan melonjakkan kembali nama T-Team,” ujarnya kepada sidang media selepas selesai majlis perjanjian kontrak tersebut.

Dalam majlis yang sama, George Boateng, 37, yang pernah bermain bersama pasukan Liga Inggeris, Nottingham Forest turut menandatangani perjanjian dengan T-Team sebagai pemain import untuk musim depan.


Menurut Dato Mazlan, pemain kelahiran Ghana itu dipilih untuk beraksi bersama skuad T-Team kerana kehebatan yang ditunjukkan dalam permainan sebelum ini bersama pasukan yang pernah diwakilinya.

Katanya, beliau yakin dengan kepimpinan serta pemain baru yang akan beraksi untuk tahun 2013 akan meletakkan T-Team sebaris dengan pasukan bolasepak hebat yang lain.

 

MENUNGGU PRU 13

Oleh: Roslan Rahman

Ramai yang tertunggu-tunggu bilakah parlimen akan dibubar dan pilihanraya umum ke 13 akan ditetapkan. Apakah akhir tahun ini atau awal tahun depan atau sehingga Mac atau April 2013? Penuh teka-teki sebenarnya.

Sebagai rakyat di sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen tentu mereka mahu kuasa rakyat untuk menentukan penerusan kepemimpinan negara yang aman membangun dan mereka dapat hidup dengan sejahtera.

Setiap undi itu amat bernilai untuk menentukan masa depan rakyat di negara ini di semua peringkat tanpa mengira ras , pangkat dan kedudukan.

Jika silap membuat pilihan dan terbina kepimpinan yang tidak memikirkan masa depan agama, bangsa dan negara, maka meranalah hidup bangsa dan ummah di negara ini.

Apatah lagi pada masa ini berbagai-bagai nilai baru yang merosakkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara sudah mula dibawa oleh pihak tertentu kepada rakyat seperti fahaman plluralisme-semua agama sama.

Fahaman baru tentang kebebasan beragama dan tiada paksaan dalam beragama iaitu dengan berkata orang Melayu juga tertakluk kepada kebebasan memilih agama dan berbagai-bagai lagi yang langsung tidak memikirkan soal status bumiputera dan kedaulatan Islam di negara ini yang termaktub dalam perlembagaan.


Apakah kita boleh ,menerima fahaman dan pemikiran baru yang tidak mendasari Islam dan perlembagaan yang sedia ada yang disediakan oleh pejuang terdahulu dalam soal-soal asas itu.

Malah hingga sampai ke suatu peringkat golongan ini telah mula menerima amalan sex bebas, sesama jenis dan sebagainya yang kita sebut sebagai LBGT.

Golongan ini berpendapat perlu menghormati mereka yang membudayakan amalan itu asalkan tidak melakukannya secara terbuka. Ajaran apakah yang sudah meresap dan pemikiran dan jiwa mereka?

Sanggupkah kita melihat orang Melayu dan umat Islam terpinggir dan hilang pedoman agama suatu hari nanti oleh tindakan pihak tertentu yang gilakan kuasa itu.

Di mana perginya golongan kononnya ulamak dalam parti tertentu yang hanya melihat dengan tidak berkata-kata atau bisu kelu apa atas kemungkaran yang sedang melanda hanya kerana berada dalam pakatan yang sama, pakatan yang menjahanamkan Islam dan orang-orang Melayu.

Pakatan yang kononnya dibuat atas nama rakyat untuk membawa kebaikan kepada rakyat sebenarnya tidak benar. Ini kerana pakatan itu sendiri adalah ke arah menjahanamkan rakyat dan negara ini dengan usaha-usaha untuk menggantikan kerajaan yang lebih liberal, bebas dan tidak terikat dengan asas perlembagaan yang memilihara kedudukan agama Islam, orang Melayu dan hak istimewa orang Islam.

Rakyat sebenarnya amat selesa dengan kerajaan yang sedia ada yang memelihara kebajikan dan kesejahteraan hidup semua peringkat rakyat. Mereka yang tahu menilai bahawa yang terbaik adalah kerajaan yang sedia ada kerana yang baru belum pasti membawa kebaikan dan keselamatan untuk mereka.

Di Terengganu rakyat sudah ada pengalaman pahit sewaktu Pas memerintah. Kini mereka (Pas dan pakatan pembangkang) datang menawar pelbagai perkara yang baik baik kepada rakyat- tetapi rakyat Terengganu sudah serik atau Serik Doh Weh .