Halaman

27 November 2012

TSG tidak pernah terima permohonan rasmi dari Anuar

Oleh: Aida Abd Rahman

Pasukan Lumba Basikal Profesional Terengganu (TSG) tidak pernah menerima sebarang permohonan secara rasmi daripada Anuar Manan untuk menyertai pasukan itu musim depan.

TSG tidak pernah menerima surat rasmi daripada Anuar Manan (dua dari kanan)
untuk menyertai semula pasukan itu musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Encik Hadi Hassan, berkata sehingga hari ini, pihaknya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pelumba pasukan profesional benua, Champion System itu untuk kembali menyarung jersi TSG.

 “Saya tidak boleh membuat ulasan lanjut berhubung perkara itu memandangkan Anuar pun tidak pernah menghantar permohonan hitam putih berhubung kesediaannya menyertai TSG. 

“Bagaimanapun, setakat ini apa yang boleh saya maklumkan TSG sudah mempunyai percaturan tersendiri menerusi barisan pelumba handalan yang ada bagi menyertai pelbagai kejohanan terdekat termasuk Le Tour de Langkawi (LTdL) Februari ini,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Encik Hadi mengulas demikian terhadap laporan media hari ini mengenai kesediaan Anuar Manan untuk menyertai TSG, bekas pasukan yang pernah diwakili tahun lalu.

Laporan turut menyebut Anuar yang bergelar Raja Pecut LTdL 2010 memilih untuk tidak menyambung kontrak bersama Champion System kerana berhasrat untuk menabur bakti bersama TSG pula.

Encik Hadi berkata TSG kini dibarisi 12 pelumba termasuk pasangan adik beradik, Mohd Hariff dan Mohd Zamri Salleh, Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Saufi Mat Senan, Mohd Nor Umardi Rosli, Saiful Anuar Abd Aziz dan Nur Amirul Fakhruddin Marzuki.

Katanya, berdasarkan perkembangan terkini, TSG memerlukan seorang Raja Bukit bagi memastikan misi memburu lebih banyak kejayaan menaiki podium termasuk merampas Jersi Kuning (kejuaraan keseluruhan) pada kejohanan LTdL pada 21 Februari hingga 2 Mac ini.

 “Strategi bagi memastikan kejayaan itu tercapai mungkin menerusi gandingan pelumba serba boleh terutama pada zon pendakian, Mohd Adiq Husainie Othman (kini bersama Champion System) pada musim depan. 

“Gandingan Adiq bersama pelumba sedia ada khususnya Mohd Harrif dan Zamri pada kejohanan akan datang pasti memberi impak kepada TSG dalam memburu lebih banyak kejuaraan pada kejohanan berprestij, sekali gus mengekalkan juara Jelajah UCI Asia buat kali kedua pada musim 2012-2013 pula,” katanya.

Menurutnya, perbincangan susulan akan dibuat untuk menawarkan kontrak kepada Mohd Adiq Husainie (Othman) yang dijangka akan diselesaikan awal bulan depan bagi memastikan pemain kelahiran Terengganu berusia 21 tahun bersama TSG.

Muhammad Adiq pernah merangkul gelaran Raja Bukit (jersi merah) pada perlumbaan terakhir dalam persaingan Jelajah Malaysia tahun lalu.

 

Lancar tabung bantu Palestin

Saiful Bahri
Oleh: Suriati Ali

Tabung Kemanusiaan Gaza yang dilancarkan Pergerakan Pemuda Umno Terengganu minggu lalu, giat mengumpul sumbangan orang ramai termasuk di sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Pendekatan sama turut dilaksanakan di beberapa lokasi strategik di Terengganu iaitu di setiap Pejabat Umno Bahagian dan Dewan Undangan Negeri bagi memudahkan orang awam mnghulurkan sumbangan.

Ketua pergerakan itu, Encik Saiful Bahri Baharudin, berkata semua sumbangan yang dikumpulkan nanti akan diserahkan kepada pihak urusetia Pemuda Umno Malaysia.

 “Apa yang dilaksanakan ini mampu meringgankan beban rakyat Gaza yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel.

 “Saban hari pasti kita membaca laporan di akhbar atau televisyen tentang berita rakrat Gaza yang derita, dibunuh dan dizalimi,” katanya.

 Katanya, atas kesadaran yang tinggi, tabung itu dilancarkan sebagai tanda prihatin dan simpati.

 “Kita sememangnya tidak mampu membantu mereka dengan tenaga atau kudrat, dengan cara ini sedikit sebanyak mampu melegakan penderitaan mereka yang sangat memerlukan sebarang bentuk sumbangan,” katanya

 

Anak muda digalak ceburi bidang keusahawanan

Haji Asha'ári Idris
Oleh: Noraini Jusoh

Golongan anak muda negeri ini digalakkan menceburi bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan kerana ianya berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Haji Asha’ari Idris berkata, anak muda tidak sepatutnya mensia-siakan ilmu dan kemahiran yang dimiliki dan seharusnya digunakan untuk memajukan diri.

"Salah satu cabang yang boleh mereka terokai adalah bidang keusahawanan kerana telah terbukti bidang ini mampu mengubah hidup seseorang dari susah kepada senang sekiranya mereka betul-betul serius dalam sesuatu produk yang dibangunkan atau sesuatu pekerjaan yang dilakukan.

"Anak muda pada hari ini beruntung kerana pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan negeri mahupun pusat kepada mereka yang berminat dan baru berjinak-jinak untuk menceburi bidang keusahawanan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan sempena Karnival Usahawan Risda dan Majllis Pelancaran Kelab Usahawan Risda (RISEC) peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Pusat Dagangan Terengganu, baru-baru ini.

Tambah beliau, anak muda seharusnya merebut peluang dan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk melengkapkan diri menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Katanya, pihak kerajaan melalui agensi seperti RISDA, Yayasan Tekun Nasional Berhad (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu telah banyak membantu mereka yang mahu bergelar usahawan dengan memberikan pinjaman modal untuk memulakan perniagaan sendiri.

"Selain pinjaman modal pelbagai kursus, latihan dan bimbingan disediakan oleh pihak kerajaan menerusi agensi-agensi berkaitan dalam membantu melahirkan usahawan yang mampu berdaya saing,” katanya.

   

SBM buka kelas urut untuk ahli

Abdul Nasir
Oleh; Esah Abdullah

Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) Cawangan Terengganu akan mengadakan empat program pada bulan depan sebagai penutup tahun sebelum menjelang tahun baru 2013.

Pengerusinya, Encik Mohammad Abdul Nasir Malek berkata, SBM sentiasa berusaha memberi peluang ahli-ahli mencari kemahiran diri untuk berdikari menyara keluarga tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan atau ihsan masyarakat.

Katanya, pihaknya mengatur kelas urut reflex kaki, kepala dan bahu untuk ahli yang berminat menceburi bidang ini sebagai sumber pendapatan baru pada 1 Disember depan.

Katanya, SBM juga akan mengadakan majlis asyura dan jamuan tahunan bagi meraikan warga emas serta penyampaian bantuan pendidikan kepada anak ahli.

“Setiap tahun juga kita akan membawa ahli berkunjung ke SBM di luar Terengganu dan tahun ini akan ke Kelantan untuk beramah mesra serta bertukar idea di samping beroleh pengalaman hidup,” katanya.

Sehubungan itu, mulai awal tahun depan, Kelas Braille Rumi secara percuma akan mula dibuka di Pejabat SBM Cawangan Terengganu di Teluk Ketapang Seberang Takir dan ahli yang berminat boleh berhubung dengan pejabat untuk membuat pengesahan.

 

26 November 2012

Presiden Pas buat kejutan

Oleh: Kamarudin Mat Akib

 Presiden Pas, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang, membuat kejutan apabila turut hadir pada majlis pra-pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013 di Rumah Terengganu, di kawasan Mardi, Serdang, petang ini.



Majlis tersebut yang diadakan sempena Maha 2012 yang sedang berlangsung sekarang ini, dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Menteri Besar dan beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan yang turut hadir pada majlis itu sempat beramah mesra dengan pemimpin Pas itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang.



Difahamkan Abdul Hadi sebelum itu turut melawat gerai-gerai pameran MAHA 2012 dan mengambil kesempatan singgah di Rumah Terengganu yang turut menyediakan pameran mengenai produk-produk pelancongan dan aqua-torism yang terdapat di Terengganu.

Selepas menyempurnakan majlis itu, Menteri Besar dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) turut melawat gerai-gerai pameran di MAHA 2012.






MB rasmi pra-pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013

Oleh: Kamarudin Mat Akib

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyempurnakan majlis pra-pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013 di Rumah Terengganu, di kawasan Mardi, Serdang, petang ini.

 Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menandatangani plat batik canting sebagai gimik pra-pelancaran Tahun Melawat Terengganu 2013 di Rumah Terengganu
 Majlis tersebut diadakan sempena Maha 2012 yang sedang berlangsung sekarang ini, bagi mempromosikan pelbagai produk pelancongan yang disediakan di negeri Terengganu.



 Menteri Besar berharap pengunjung Maha 2012 diberi pendedahan yang meluas mengenai destinasi pelancongan, termasuk Tasik Kenyir, bagi menarik minat mereka melancong ke negeri ini.

“Kita mempunyai banyak destinasi pelancongan termasuk pantai dan pulau-pulau yang cantik, kuih-muih tradisional yang enak dan kraftangan yang unik.

 “Terengganu juga mempunyai tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara yang kini dibangunkan sebagai detinasi pelancongan yang menarik,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan.



 Turut hadir Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Dato Abd Rahin Said, Dato’ Toh Chiin Yaw dan YB Haji Asha’ari Idris.

 Menteri Besar berharap pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi memajukan bidang pelancongan akan menarik lebih ramai pelancong ke Terengganu, terutama pada tahun depan.

 “Kita akan menyediakan prasarana yang lebih baik bagi memudahkan pelancong dataing ke negeri ini, termasuk menyediakan jalan empat lorong dari sebelah selatan (Kemaman) menuju ke pusat Bandar Kuala Terengganu,” tambahnya.





Cegah LGBT sebelum parah

Dato' Raja Arif ketika berucap merasmikan Seminar
Keibubapaan Menangani Isu LGBT di Kuala Terengganu.
Oleh; Esah Abdullah

Masyarakat harus sedar dan mengelak daripada memilih individu yang menyokong atau mengamalkan LGBT (lesbian, gay, biseksual,transgender) daripada menjadi pemimpin negara pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Malaysia, Dato’ Raja Arif Raja Ali berkata, cegah LGBT sebelum parah dan menjadi penyakit masyarakat yang sukar dibendung.

“Kita tidak mahu orang sebegini akan mewarisi kepimpinan negara pada masa depan.” katanya ketika merasmikan Seminar Keibubapaan, Menangani Isu LGBT di Stadium Negeri Kuala Terengganu hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Haji Wan Nawawi Wan Ismail; Pengarah BTN Terengganu, Encik Nor Rozilan Mohamad serta Censelor Berdaftar dan Perunding Motivasi Haji Hushim Salleh

Katanya, masyarakat terutama ibu bapa harus bersama-sama untuk mengambil langkah pencegahan terhadap gejala LGBT daripada terus merebak serta merosakkan institusi keluarga dan juga negara.


“Ibu bapa perlu peka dan sentiasa dekat dengan anak-anak agar dapat memantau pergerakan mereka kerana banyak contoh  berlaku, ibu bapa sendiri tidak menyedari ada kalangan ahli keluarga telah terlibat dengan gejala ini,” katanya.

Sehubungan itu, anggota masyarakat perlu diberi pendedahan dan maklumat mengenai pengertian sebenar perlakuan LGBT serta pendekatan terbaik bagi membendung penularan budaya ini.

Menurutnya, pengaruh perlakuan LGBT kini semakin membimbangkan dalam cara hidup masyarakat dewasa ini dan perkara ini perlu diberi perhatian serius sebelum ia merosakkan bangsa dan negara.

Tuntutan guru direalisasi menerusi kesatuan

Oleh: Aida Abd Rahman

Bekas pemimpin dalam kesatuan guru sudah banyak berjasa kepada golongan pendidik masa kini khususnya membawa pelbagai tuntutan golongan itu kepada kerajaan sehingga ia mampu direalisasikan.

Presiden Persatuan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab (KKGGLM), Datuk Jemale Paiman, berkata berdasarkan temu ramah dengan pemimpin kesatuan sebelum ini, banyak pengorbanan dan khidmat bakti golongan itu dalam memartabatkan profesion perguruan di negara ini.

“Dalam temu bual (tayangan multimedia), kita menyedari bagaimana pemimpin terdahulu memperjuangkan nasib guru untuk kenikmatan yang terdapat pada pada hari ini. Pada satu ketika mereka mendapat gaji bulanan lebih kurang campur tolak hanya sekitar RM200. Tetapi hari ini guru yang baru keluar universiti mendapat gaji pertama campur tolak lebih kurang RM2,500.

“Kalau dulu guru datang sekolah hanya berjalan kaki, motosikal Vespa, kalau nasib tidak baik tayar belakang tercabut, kerana jalan tidak elok, tetapi hari ini guru ke sekolah akan berdepan masalah tempat meletak kenderaan,” katanya ketika berucap di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Datuk Jemali berkata, perkembangan itu menunjukkan bahawa transformasi pendidikan sedikit sebanyak memberi kenikmatan, kemudahan dan memberi kehidupan yang selesa kepada warga pendidik serta keluarga mereka.

 Sebagai presiden kesatuan itu, beliau merakamkan penghargaan tidak berbelah bahagi kepada bekas pemimpin yang menerajui KKGLMSM sejak 1962 sehingga berupaya meletakkan pertubuhan itu antara kesatuan yang disegani dan banyak memperjuangkan nasib golongan pendidik di negara itu.

 “Tidak dinafikan sejak 50 tahun lalu begitu banyak tuntutan yang sudah mendapat perhatian kerajaan. Namun begitu masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan lagi martabat golongan pendidik di mata dunia khususnya oleh kepimpinan hari ini dan masa depan,” katanya.

 Untuk rekod, kejayaan awal hasil perjuangan KKGLMSM yang kini dianggotai lebih 12,000 ahli di seluruh negara adalah PARITI iaitu gaji permulaan yang sama antara guru sekolah menengah dan rendah yang mempunyai kelulusan yang sama, Gaji Aziz, Gaji Kabinet, gaji persamaan guru wanita dan lelaki, Perkhidmatan 2 Skim, Time Base Promotion dan Guru Cemerlang.


Kementerian Pertanian lulus RM5 juta kepada TKPM Besut


Mustafa (kanan) meneliti buah melon untuk dieksport

Oleh: Mohammad Ishak 

Kementerian Pertanian meluluskan peruntukkan RM5 juta kepada Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Tok Dor, dekat Jertih, bagi meningkatkan hasil pertanian terutama tanaman melon yang menjadi sumber pendapatan terbesar di negara ini.

Ketua Pengarahnya, Mustafa Kamal Baharuddin berkata, peruntukkan itu bagi menyediakan kemudahan asas selain memperluaskan kawasan tanaman dalam usaha meningkatkan lagi hasil pengeluaran melon negara.

Katanya, TKPM yang diikmtiraf sebagai antara lima yang terbaik di negara ini ketika ini menjadi pengeluaran melon terbesar negara malah mampu mengeksport keluar negara termasuk Singapura, Hong Kong dan Dubai.

Menurutnya, ketika ini TKPM terbabit mampu menghasilkan kira-kira 1,300 tan metrit buah melon dengan perolehan pendapatan RM3.25 juta sebulan.

“Kementerian Pertanian mengiktiraf TKPM Besut adalah antara lima yang terbaik di negara ini malah ia muncul sebagai pusat pengeluaran melon utama negara,”

katanya ketika melawat pusat itu semalam. TKPM ketika ini mempunyai keluasan tanaman seluas 57 hektar dengan 29 peserta termasuk 14 daripadanya siswazah tani.

Mustafa berkata, pihaknya yakin TKPM Besut mampu memperluaskan lagi hasil produk tani dengan mengeluarkan makanan ringan berasaskan melon untuk dipasarkan di negara ini.

Kongres antarabangsa di UMT

Oleh; Esah Abdullah

Tahun lepas diadakan di Surat, India dan tahun ini buat pertama kali diberi penghormatan kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sebagai tuan rumah International Kongres Penyelidikan Alam Sekitar 2012 (ICER 2012).

 Kira-kira 300 peserta antaranya dari India, Iran, Thailand, China, Nepal, United Kingdom, Taiwan, Nigeria, Sri Langka dan Malaysia menyertai kongres sehari itu yang bertemakan "Tenaga, Alam Sekitar dan Pembangunan"

 Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT , Prof, Dr Yahya Ibrahim berharap melalui kongres ini dapat penemuan baru dan menarik mengenai alam sekitar.

“Penyertaan pelbagai tokoh akademik daripada pelbagai negara membuktikan keprihatin dan komiten tinggi dalam memastikan isu-isu yang berkaitan dengan persekitran diberi perhatian,” katanya ketika berucap merasmikan kongres berkenaan baru-baru ini..

Persidangam sehari itu antara lain untuk menjalin hubungan erat dengan JERAD dan badan lain yang bertanggunjawab terhadap alam sekitar di peringkat antarabangsa di samping dapat mengumpul akademik tempatan dan antarabangsa bagi membentangkan kertas kerja.

Ia juga untuk menyebarkan konsep kesedaran alam sekitar yang akan menyumbang kepada persekitaran lebih baik dengan memberi fokus kepada penyelidikan pelbagai disiplin selain mempunyai penekanan khas ke atas perancangan dan pengurusan isu-isu yang berkaitan dengan persekitaran.

Persidangan antarabangsa tahunan itu adalah anjuran Journal of Environmental Research And Development (JERAD) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sosioekonomi, UMT

.