Halaman

01 December 2012

Ucapan Ketua Puteri pada Perhimpunan Agung 2012

1. Saya suka untuk memulakan ucapan ini, dengan memetik kembali bait-bait terakhir ucapan dasar saya pada Perhimpunan Agung yang lalu. Semalam adalah perjuangan nenek moyang kita, hari ini perjuangan kita dan esok ialah perjuangan cucu cicit kita. Dengan wadah perjuangan yang kita ada, suburkanlah wasilah keikhlasan dan terokailah hikmah kebijaksanaan.

 2. Kita sudah memahami wadah, wasilah dan hikmah yang kita miliki. Hari ini sudah tiba detik dan masanya, untuk kita sama-sama meneroka tentang apa itu JUANG dan setiap jalur makna yang terangkum di dalam rohnya.

 3. Angka 28. Tahukah anda Surah ke 28, adalah Surah Al-Qasas menceritakan peristiwa lahirnya Nabi Musa a.s sehingga baginda menentang kekejaman Firaun. Ini kisah juang. Pada tanggal 28 Februari, Tun Mahathir dengan semangatnya menggagaskan Wawasan 2020 ke arah memacu negara maju. Ini kisah juang. Dan pada tanggal 28 Julai juga saksi apabila berkibarnya panji UMNO buat pertama kali di angkasaraya. Ini juga kisah juang. Dan hari ini, 28 November 2012 sebuah lagi kisah juang akan kita lakar bersama.
JUANG , WANITA DAN POLITIK Sidang perwakilan sekalian,

 4. Juang. Roh kalimah ini hidup dalam setiap makhluk Tuhan sebagai sebuah fitrah. Juang adalah pengembaraan meneruskan survival hidup sehabis daya. Juang adalah semangat keramat manusia yang sanggup mempertaruhkan nyawa. Juang adalah kelana di bumi Tuhan mencari makna kehidupan.

5. Di zaman Nabi Sulaiman a.s, seekor semut di atas sebuah batu di padang pasir menyedarkan baginda, betapa juang untuk hidup berlaku di mana-mana, kerana rezeki Tuhan sukar dijangka. Di zaman Nabi Ibrahim a.s, seekor burung kecil yang cuba memadamkan api membakar baginda, mengajar satu makna, juang bukan tentang berapa besar kita, tetapi berapa besar usaha kita. Di belantara, pepohonan yang merebut air dan cahaya mengajar kita, juang adalah persaingan untuk kekal mandiri, biarpun kekuatan dan kelemahan kita berbeza.

 6. Manusia dilahirkan untuk berjuang. Dilantik menjadi khalifah di muka bumi Allah, diberikan semangat untuk bangkit mempertahankan prinsip, mempertegak hak dan menjunjung maruah. Maka, setiap daripada kita, baik tua atau muda, lelaki atau wanita semuanya tertakluk kepada fitrah semulajadi manusia, berjuang untuk meneruskan kehidupan.

 7. Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan tanggungjawab antara manusia adalah perjuangan. Dengan juang kita menggerakkan idea, dengan juang kita melahirkan kehebatan, dan dengan juang kita menyusun bata ketamadunan. Kerana itulah Mahatma Gandhi pernah berkata. Politik dan perjuangan tidak boleh dipisah-pisahkan. Politik itu perjuangan dan perjuangan itu politik. Di situ akan lahir makna kesucian dalam berjuang.

 8. Surah Al-Baqarah ayat 30, surah Al-Mulk ayat 14 dan surah Ali-Imran ayat 59, semuanya bercerita tentang manusia pertama bernama Adam. Betapa agungnya kaum ini, dimuliakan Tuhan, tidak dicipta kemudian dan pemberi tulang rusuk keperluan. Namun, menikmati syurga tanpa teman tidak lama, sedih, sepi, sunyi, diubati dengan kehadiran hawa yang mendampingi dan menemani. Bersaksikan Tuhan bermaharkan cinta dan janji setia, mereka dinikahkan. Lengkap sebuah kehidupan dan bahagia berpanjangan. Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan ini sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan tanggungjawab antara manusia hanya satu, perjuangan. Wanita, bukan sekadar peneman, bukan sekadar penghilang duka, dan bukan sekadar pelengkap kehidupan. Tetapi wanita merupakan tunjang kepada perjuangan lelaki. Kesatria-kesatria Puteri sekalian,

 9. Oleh sebab itu, di sebalik kejayaan Mahatma Gandhi, ramai yang tidak mengetahui keunggulan wanita bernama Kasturbai Makhanji. Seorang isteri yang memberi sokongan dan dorongan tidak berbelah bahagi walau suami dikurung dalam jeriji besi. Bagi Gandhi jika tidak kerana isterinya maka usaha memerdekakan bangsa tidak akan pernah berjaya. Sebab itu di sebalik kegigihan keenam-enam Perdana Menteri mencorakkan kejayaan negara, jangan dilupa pada wanita-wanita ini. Bermula dari Toh Puan Sharifah Rodziah, Tun Rahah, Tun Suhaila, Tun Dr Siti Hasmah, Tun Endon, Tun Jeanne hinggalah Datin Paduka Seri Rosmah. Kesemua wanita-wanita ini adalah pembakar semangat pemimpin-pemimpin nombor satu negara untuk mencipta jaya. Itu kisah wanita.

 10. Politik pula jika diimani maknanya, bukan soal kuasa dan kedudukan, bukan soal harta dan kekayaan, tetapi politik ialah perlumbaan prinsip dan pendirian. Pendirian menegakkan hak dan meroboh kebatilan. Kerana itu bila bicara soal perjuangan, tiada siapa yang terkecuali darinya.

 11. Ada orang yang takut dan gentar berjuang kerana menganggap juang ini milik orang politik. Itu tidak benar. Ada orang yang enggan masuk campur dalam perjuangan kerana menganggap pandangan mereka tidak akan diterima. Itu tidak benar. Ada orang yang menganggap perjuangan hanyalah semata kerana keuntungan duniawi. Itu tidak benar.

 12. Kerana perjuangan jika diimani roh dan semangatnya yang sejati, setiap dari kita akan mengerti dan memahami, ini soal tanggungjawab, survival dan fitrah manusiawi. Dari jutaan manusia di dunia, tiada seorang pun terkecuali darinya. Perjuangan ialah tanggungjawab setiap manusia. Sebagai khalifah di muka bumi Allah. Sidang perwakilan sekalian,

 13. Jika kita selak lembaran sejarah bagaimana keterlibatan wanita dalam peperangan dunia memberi erti yang besar dalam perubahan tamadun manusia. Disebalik kelembutan Maharani Fu Hao memimpin bala tentera Dinasti Shang dalam satu siri peperangan setelah berperang beratus tahun telah berjaya menewaskan dan menawan kawasan Yi, Qiang dan Ba, mencipta sejarah menyatukan rakyat Cina buat pertama kali. Kehebatan wanita Aceh, Cut Nyak Dhien dan Cut Nyak Meutia menentang Belanda pada hujung kurun ke-20 berjaya menyatukan hati-hati anak bangsa. Bagi mereka had dan berbeza gender bukanlah satu halangan untuk kehadapan memimpin bala tentera berjuang bukan untuk mereka tetapi buat rakyat jelata.

14. Tetapi percayalah, juang bukan milik saya seorang. Juang bukan milik anda seorang. Ia juga bukan hanya milik pemimpin yang mempunyai kuasa. Tetapi juang ialah milik kita semua, ia milik semua rakyat ia adalah tanggungjawab setiap daripada kita yang masih bernyawa. Inilah tanggungjawab yang akan ditanya Tuhan selepas kematian. SEBUAH KEBANGKITAN

15. Warna sejarah bangsa sudah banyak mengajar dan mencorakkan kita. Hitam, kita pernah melalui zaman kegelapan dalam cengkaman penjajahan. Putih, warna kesucian. Zaman gemilang Melayu menakhoda nama di pentas dunia. Merah, warna keberanian. Dari jerih payah kita menentang penjajahan. Dan biru perpaduan. Di asas ini kita bersatu dan membina kemakmuran dan kebahagian.

 16. Dari kepelbagaian warna inilah, akar bangsa mengakar pucuk negara menjalar. Dari warna-warni inilah kita mendekati makna juang yang sebenar. Dan jika diimbau dalam sejarah, sebahagian besar dari warna-warni dicatan oleh tangan-tangan wanita yang cekal dan kental.

 17. Setelah sekian lama, sejak zaman berzaman WANITA adalah lambang kesucian, sejak kecil anak-anak Melayu jiwanya ditenun budi semangatnya disulam maruah. Benar, wanita itu kelembutan. Benar, wanita itu kesucian. Benar, wanita itu kesopanan. Tetapi yang lebih benar dalam suci, lembut dan sopan, wanita menggegar menongkah zaman.

 18. Namun siapa sangka, dalam sejarah manusia yang panjang, ada detik wanita bangkit berjuang. Kita mengenang bijaksana Tun Fatimah sehingga menjadikan penjajah lebih hina daripada binatang. Kita angkat kesucian Sumaiyah kerana iman sampai nyawa tergadai. Kita agungkan kehebatan Khadijah sehingga Islam tersebar serata alam. Wanita, di ceruk bumi manapun kita dilahirkan, sucinya kita sehingga menggegar langit dan tanah ciptaan Tuhan.

 19. Ini semua kisah ketokohan sejarah pemimpin wanita di pentas dunia. UMNO, juga menyimpan sejarah yang hampir sama. 1947, lahirnya sayap Wanita dalam UMNO. Yang dikenali sebagai Kaum Ibu dan akhirnya menjadi Wanita UMNO. Kerana kelantangan, keberanian dan terampilnya Wanita UMNO akhirnya parti ini percaya perlu ada sayap wanita muda. Maka 2001, lahirlah Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Kedua-dua sayap wanita ini adalah manifestasi terbaik perjalanan politik yang cekal.

20. Hari ini jumlah keahlian Puteri mencecah 395 482. Dengan jumlah ini, kita punya kekuatan untuk menggerakkan jentera parti. Jumlah ini juga menjadi petanda betapa Puteri kekal relevan sebagai medium perjuangan wanita-wanita muda. Malah 365 882 ahli Puteri telah berdaftar sebagai pengundi dan saya percaya ini mampu memberi sumbangan besar dalam pilihan raya nanti. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua di atas kejayaan menganjurkan Himpunan Wanita Muda Negara 2012. Kita berjaya menghimpunkan lebih 14 000 wanita muda dari pelbagai latar belakang. Ini membawa petanda betapa wanita muda sudah mula mendekati kita. Sidang perwakilan sekalian,

 21. Perjuangan mempertahankan kesucian ialah asas sebuah ketamadunan. Zaman akan terus berubah, manusia akan terus berkembang tetapi kesucian perjuangan ialah idealisme yang dipegang sampai bila-bila. Kerana itu yang membezakan UMNO dan parti-parti lain di Malaysia ialah kita tertubuh kerana prinsip dan asas juang yang jelas pada bangsa. UMNO bukan tertubuh kerana memenuhi perjuangan peribadi, bukan tertubuh kerana rasa hasad dan dengki. Bukan tertubuh sebagai parti yang memendam dendam meliar. Akhirnya yang rosak dan binasa adalah rakyat dan seluruh rasa percaya mereka.

22. Soalan-soalan berkenaan ketidakyakinan manusia sekeliling masih tetap berkumandang. Tetapi, dengan yakin dan percaya, bangun dan suarakan kepada mereka, walau jiwa mentah tapi akal dan semangat kita tak mudah menyerah. Kita katakan kembali warna merah jambu yang dipakai ialah campuran merah warna pejuang dan putih kesucian diri. Kita asak kepada yang bertanya bahawa perjuangan ialah milik semua. Kita buktikan dengan usaha yang tidak pernah putus membantu perjuangan parti. Kita tinggalkan mesej kepada masyarakat bahawa yang diperjuangkan Puteri ialah sebuah kesucian juang dan kita ialah bala tenteranya. Dengan baju kurung di badan, kita pelihara kesucian bangsa dan agama. Telekung dan selendang di kepala, kita angkat maruah dan jati diri seorang perwirawati. Manis suara dan santun tindak ialah senjata taruhan Puteri. Kehormatan akal dan jiwa jadi matlamat. Perjuangan, buat kita semua Puteri-puteri bangsa ialah kesucian yang nyawa jadi taruhan.

23. Dalam kebangkitan sebuah juang, tindakan ialah teras yang menjadi tunjang. Kita boleh punya cita-cita, kita boleh punya angan-angan, tetapi yang lebih penting kuasa yang ada pada tindakan. Kerana itu dalam wadah politik baru, suara bukan lagi satu kuasa selagi mana tindakan tidak membuktikan apa-apa. Tamsilan dari maksud inilah, maka asas perjuangan Puteri seharusnya bergerak atas tindakan lebih dari sekadar cita-cita dan angan-angan.

 24. Saya suka mengajak anda untuk menghayati satu kisah perjuang wanita yang tulen yang percaya pada kuasa bertindak. Helen Keller, adalah seorang pemimpin wanita di Amerika yang buta dan pekak. Dan dalam survivalnya untuk bercakap beliau akhirnya menjadi pemidato terkemuka di dunia yang menggerakkan perjuangan hak-hak wanita. Kalau anda pernah menonton video ucapannya, anda pasti akan terfikir bagaimana dengan segala kekurangan wanita ini berjuang untuk mencapai sesuatu di dalam hidupnya. Dan hari ini kata-katanya telah merangsang dan mengubah dunia. Satu kata-katanya yang sehingga hari ini telah merangsang semangat juang dan setia kawan jutaan manusia “working with a friend in the dark, is better then working alone in the light”.

 25. Sejarah perjuangan wanita muda telah lama bermula. Mereka telah secara langsung menentang Malayan Union pada 1946 yang mengancam bangsa dan negara. Walhal, wanita sebelum zaman itu, tidak pernah terlibat dalam politik, bagi mereka dunia seorang wanita adalah isi rumah, suami dan anak-anak. Namun, segalanya berubah. Apabila semangat juang menentang Malayan Union membuka mata semua. Aishah Ghani, Ibu Zain dan Khadijah Sidek antara figura yang menjadi perintis penglibatan wanita muda di jalan politik. 50 tahun yang lalu, nama-nama seperti ini telah menyerahkan seluruh jiwa dan raga mereka untuk menegakkan perjuangan hak bangsa dan negara. Ini memberikan kepada kita satu petanda dalam sejarah perjuangan politik, wanita muda pernah merakam nama. Hinggalah tanggal 9 April 2001, tertubuhlah Puteri UMNO sebagai pentas perjuangan terbaik untuk wanita muda menyumbang kudrat dan idea, memperkasa politik negara.

 26. Pundak kita mungkin lemah kudratnya. Pundak kita mungkin dianggap remeh. Tetapi di pundak inilah, perjuangan menemukan rentaknya. Pergerakan Puteri UMNO perlu belajar menjadi pundak yang lebih kuat. Selama sebelas tahun kita sudah buktikan kemampuan kita menyokong perjuangan parti. Kita perlu bekerja lebih keras untuk masa depan parti kerana agama, bangsa dan negara. Siap siaga hadapi segalanya. MENEKUNI REALITI Sidang perwakilan sekalian,

27. Politik adalah perkataan yang menjadi halwa telinga di mana-mana sahaja kaki manusia berdiri. Politik yang berasal daripada kalimah Greek iaitu ‘politikos’, membawa maksud daripada rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat. Politik membabitkan persoalan menguruskan kelompok manusia yang terdedah dengan pengaruh tempat dan masa. Dalam politik, untuk mengikat manusia yang cenderung berubah ini bagi terus menyokong sebuah aspirasi, hanya kepercayaan yang menjadi kuncinya.

28. Hakikatnya, kepercayaan rakyat boleh dibeli, tapi bagaimana? Kita boleh memilih untuk membeli kepercayaan rakyat dengan wang, janji atau dengan pengorbanan. Dengan wang, kepercayaan akan hilang apabila wang habis dibelanjakan. Dengan janji, kepercayaan akan lunyai apabila janji tidak tertunai. Namun dengan bakti dan pengorbanan, kepercayaan dalam jiwa rakyat akan kekal tersemat walau digoncang kuat. Meyakini hakikat ini, Puteri tidak berpeluk tubuh, berdiam diri dan goyang kaki. 18 program berkala tetap telah dilaksanakan meliputi sekecil-kecil aspek hinggalah yang paling besar. Program Puteri merangkumi aspek sosial seperti, B2R; Program Banteras Ragut Dan Rogol, Life is Precious; kempen kesedaran pembuangan bayi hinggalah Program Sinar Kasih; Program yang memberikan rawatan percuma untuk golongan emas. Program-program lain termasuklah Projek Puteri Prihatin, Ziarah Kasih, Program Back To School dan yang terbaru Program Barber on Wheel.

29. Berdekad lamanya, UMNO secara umumnya dan Puteri secara khususnya cekal meredah desa, menjelajah kota, turun ke lapangan rakyat bagi menabur jasa. Selama 66 tahun, rakyat menganugerahkan kepercayaan untuk parti keramat ini terus memerintah sebagai balasan setiap nikmat kebajikan, keamanan dan kemajuan yang mereka nikmati. Namun malang menimpa bumi bertuah, saat petualang menggerakkan strategi paling kotor dan busuk, mereka meniupkan roh fitnah dan memberikannya nyawa untuk menghancurkan bangsa. Secara diam dan perlahan, fitnah menjadi santapan harian, membunuh rasa percaya rakyat pada kerajaan.

30. Adakah mereka lupa firman Allah dalam surah Al-Anfaal, ayat ke-25. Maksudnya, “Dan jagalah diri kamu daripada berlaku dosa yang membawa kepada bencana fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim antara kamu secara khusus (bahkan akan menimpa kamu secara umumnya) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaan-Nya.”

31. Makna fitnah melangkaui kesaksian palsu seperti yang lazimnya dihadam oleh masyarakat. Fitnah juga hadir sebagai ujian kemewahan dan kesenangan. Dalam kalangan kita, apabila diuji dengan harta dan kekayaan, lihatlah betapa ramai yang tewas hingga tersungkur di medan juang, tidak kurang juga yang menanti masa dikuburkan sia-sia? Di mana letaknya kita? Tepuk dada, tanyalah nawaitu perjuangan, tanyalah iltizam tindakan. Kisah Firaun, Haman, Qorun dan Bal’am seharusnya menyedarkan kita, betapa pangkat dan harta adalah satu fitnah dalam bentuk ujian kemewahan, yang bisa membunuh pejuang dan membinasakan perjuangan.

32. Nabi sendiri pernah memberikan amaran dalam sabdanya, yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi. “Tidaklah 2 ekor serigala yang kelaparan dilepaskan kepada seekor kambing, lebih merosakkan daripada kerakusan seseorang dalam mengejar harta dan pangkat merosakkan agamanya,”

 33. Apa yang turut mengerikan, sebenarnya kacau-bilau, huru-hara, dan ketidaktenteraman yang melanda sarwajagat juga adalah fitnah. Allah berfirman dalam kitab Al-Quran, Surah An-Nisa’ ayat 83. “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).” Sidang perwakilan sekalian,

 34. Tanggal 3 November 2012, ketenangan yang selama ini berdamping erat dengan jiwa rakyat direntap tiba-tiba. Seluruh negara tergamam mendengar kenyataan Nurul Izzah, Naib Presiden PKR yang menyatakan orang Melayu Islam berhak memilih agama di bawah prinsip kebebasan beragama, di sebuah forum bertajuk, “Islamic state? Which vision? Whose responsibility”. Beliau menjawab satu soalan dalam forum itu dengan menyebut, “there should be no compulsion in any religion including Islam. How can anyone say (freedom of religion) only apply to the non-Muslim, it has to be applied equally.”

 35. Pemimpin wanita beragama Islam ini dengan sewenang-wenangnya memetik ayat Al-Quran daripada surah Al-Baqarah ayat 256 yang berbunyi; Maksudnya; “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ”

36. Pemimpin PKR ini jelas terkeliru, ‘asbabunnuzul’ atau sebab turun ayat ini adalah kerana seorang Ansar, Abu Al-Husain dari keluarga Bani Salim Ibnu Auf yang bertanya kepada Rasulullah tentang keinginannya memaksa dua orang anaknya penganut ajaran Nasrani untuk memeluk Islam. Ayat ini memberi mesej jelas, kita tidak boleh memaksa bukan Islam untuk memeluk agama suci ini. Tetapi ayat ini tidak sesekali membenarkan dan mengizinkan orang Islam untuk murtad, keluar dari Islam, menyamaratakan agama ini dengan yang lain dan sekaligus memperlekehkan kebenaran agamanya Kesatria-kesatria Puteri sekalian,

37. Telitilah dengan daya fikir yang paling tajam, sebaran ideologi pluralisme ini bukan sahaja mengancam aqidah umat Islam, bahkan dengan sengaja menyanggah dan mencabar Perlembagaan Persekutuan perkara 160(2), yang meletakkan antara definisi Melayu mestilah seseorang yang beragama Islam. Lebih menghairankan kita, kenyataan ini juga jelas bertentangan dengan hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud. Adakah mereka lupa? Antara bahagian yang terkandung di bawah hukum hudud adalah hukuman bunuh bagi orang Islam yang murtad? Inilah akibatnya, apabila seekor kerbau punya tiga gembala. Dua orang bertelagah, seorang lagi bertepuk tangan, ketawa berdekah-dekah. Ketahuilah, ini satu alamat dan petanda sebuah malapetaka. 38. Kerana sudah terlukis di lantai sirah, akibat fitnah, tamadun dan pemerintahan ternama di dunia menderita taqdir yang hina. Angkara fitnah Mendeliar dan Kitul, Sultan Mahmud membunuh Bendahara Tun Mutahir dan laksamana Melaka di zamannya. Angkara fitnah, empayar Moghul yang didirikan Babur pada tahun 1526 jatuh tersungkur. Angkara fitnah, khalifah Uthman Ibnu Affan digulingkan, tamadun Islam rebah, punah dan musnah. Angkara fitnah, manusia berbunuhan tanpa rasa bersalah. Angkara fitnah, sejarah dunia dipalit warna permusuhan dan darah. Soalnya, inikah yang kita mahu biarkan membarah dalam kalangan marhaen kita?

 39. Angguklah dan katakan ya pada sebuah hakikat, politik bersadur fitnah di akhir zaman bukan lagi asing dan ganjil, kerana fitnah sudahpun lahir seawal zaman Qabil dan Habil. Mendepani situasi mencabar ini, marilah kita laung dan zahirkan teori hikmah bersandarkan tiga senjata seperti yang dididik agama. Pertama ilmu, kedua kebijaksanaan dan ketiga adalah sabar. Ketiga-tiga pendekatan ini harus beradaptasi mengikut situasi. Tanpa ilmu, kebijaksanaan tidak akan lahir, dan tanpa sabar, fitnah akan menyalakan api kemusnahan, membakar seluruh isi perjuangan. Sidang perwakilan sekalian,

40. Puteri ingin berada di saf paling hadapan, menangkis tohmah dan fitnah pembangkang. Fitnah yang membentuk persepsi dalam minda masyarakat akan ditentang habis-habisan. Tetapi, Puteri dengan berani akan katakan kepada semua. Persepsi lawannya bukan persepsi, persepsi lawannya bukan emosi. Sebaliknya persepsi akan dipatahkan dengan hujah, persepsi akan dipatahkan dengan ilmu, persepsi akan dipatahkan dengan fakta. Ini jalan kita.

 41. Pembangkang secara terang-terangan cuba membentuk persepsi buruk dengan membuat pelbagai tuduhan palsu. Mereka gigih berusaha untuk menggambarkan kepada rakyat bahawa UMNO dan BN yang memerintah negara, adalah parti yang tidak bertanggungjawab dan tidak menjaga kebajikan rakyat. Mereka bermati-matian menolak tema Sambutan Kemerdekaan Negara ke-55, ‘Janji Ditepati’ yang telah BN laksanakan. Kerana apa hadirin sekalian? Kerana mereka tahu apa yang kita kata, kita kota. Apa yang kita janji, kita tepati. Sedangkan mereka mengabaikan tanggungjawab, mungkir janji yang dibuat dan khianati kepercayaan rakyat.

 42. Kita ambil contoh negeri yang paling mereka bangga-banggakan kononnya paling berjaya melipatgandakan pendapatan, iaitu negeri Selangor. Dalam manifesto 2008, mereka tabur seribu satu janji untuk rakyat negeri ini. Janjikan elaun bulanan untuk ibu tunggal, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan anak muda mendirikan rumahtangga, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan anak kecil ke pusat asuhan, tapi tidak ditunaikan. Janjikan bantuan pendidikan prasekolah, tapi tidak ditunaikan. Kalau di negeri Selangorpun mereka gagal mengotakan apa yang mereka janji, adakah kita yakin mereka akan tunaikan janji untuk negara jika diberi kuasa? Jawapannya pasti tidak.

43. Jangan kita gadaikan negara untuk mereka mengecap kuasa, akhirnya rakyat yang jadi mangsa. Katakan pada mereka, cukuplah sekali, rakyat tak akan ditipu lagi! Tidak seperti mereka, UMNO akan terus membela rakyat. Asas perjuangan kita pada huruf Alif, Ba dan Ta akan kita pertahankan. Alif untuk agama. Ba untuk bangsa, dan Ta untuk tanah air. Ini sumpah setia dan janji kita. Islam akan dimartabat, Melayu akan diangkat dan negara akan didaulat. Kesatria-kesatria Puteri sekalian,

 44. UMNO bukan seperti PAS yang berpakaian agama untuk menghalalkan segala-galanya demi memuaskan nafsu politik. Sirah telah mengajar kita, Nabi junjungan mulia, Muhammad Bin Abdullah S.A.W. tidak pernah menghina sesiapa. Nabi tidak pernah mendoakan keburukan dan kemusnahan walaupun pernah dizalimi Yahudi, sebaliknya mendoakan kesejahteraan dan hidayah buat yang memusuhinya. Inilah sunnah sebenar yang wajar diikuti. Sayang sekali sebuah parti yang mengaku memperjuangkan Islam, dengan menjerit mendoakan kemusnahan sesama umat Islam. Demi politik, segala keterlanjuran mereka, difatwakan sebagai benar dan kononnya itulah ajaran agama. Itu kaedah perjuangan mereka, itu bukan cara kita. RESAM CABARAN

 45. Ketahuilah, sejarah bukan sekadar susunan aksara yang hanya perlu untuk dilafaz, ia juga bukan sekadar susunan kata yang hanya perlu untuk dihafaz. Sebaliknya, setiap kisah sejarah yang dibaca, perlu untuk kita hadam nilainya, perlu untuk kita faham maksudnya. Ia perlu ditafsir dengan hati dan minda yang terbuka bagi membina masa depan yang lebih baik dari sebelumnya.

46. Kefahaman berhubung kisah dan sejarah silam ini merupakan sesuatu yang fundamental untuk kita jadikan tauladan dan sempadan. Sabda Rasulullah S.A.W : “Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari lubang yang sama dua kali” Seharusnya intipati hadis ini perlu untuk kita terapkan dalam diri, perlu kita sematkan dalam hati dan sanubari setiap ahli gerakan. Tsunami politik pada PRU ke-12 memberi mesej yang jelas untuk kita sama-sama merealisasikan sebuah transformasi perjuangan secara besar-besaran. Jangan biarkan ular lidah bercabang, hidung belang terus mengapur rakyat dengan janji temberang. Sahabat Pakatan Rakyat dia boleh kelentong tetapi dengan rakyat jangan nak bohong. Rakyat adalah aspirasi Puteri. Janji perlu ditepati, bukan hanya tahu bertelingkah merebut jawatan Perdana Menteri.

 47. Selaras dengan slogan transformasi tampuk pemerintahan Dato’ Sri Presiden, formula baru perlu wujud dalam setiap gerakan yang diatur. Sebelum siap-siaga berperang tempur. Asas utama dalam perjuangan yang murni ini perlu ditunjangi dengan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi. Kesetiaan ini bukan bersifat sembrono. Kesetiaan yang kita mahukan dari setiap ahli adalah kesetiaan yang bertunjangkan ilmu dan agama. Bukan kesetiaan Pak Turut yang hanya tahu mengikut perintah yang dituntut. Kesetiaan itu perlu diterjemahkan dalam bentuk perbuatan demi kepentingan parti yang kita sayangi.

48. Mari kita ambil iktibar dari beberapa kisah pada zaman Rasulullah S.A.W. di mana wanita sebagai benteng kepada perjuangan sepertimana yang disebut dalam kitab dan sirah. Contohnya wanita bernama Nusaibah binti Kaab yang begitu setia mempertahan dan melindungi Rasulullah. S.A.W. dalam peperangan Uhud. Peristiwa lebih 14 kurun ini, sudah pasti menjadi pengajaran penting kepada kita, bahawasanya Puteri mampu dan sanggup berkorban hatta menggadai nyawa sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada panji yang telah kita bawa. ‘Semangat Nusaibah’ mesti membara dalam diri setiap ahli puteri hari ini.

49. Kesetiaan kita mesti disatukan, kekuatan kita mesti dipadukan, kepimpinan kita mesti didisiplinkan, agar ia menjadi tenaga yang mampu menerjah dan mempertahankan kedudukan kita. Kerana itu kita Puteri tidak pernah dan perlu rasa gentar walau halilintar membelah bumi, walau badai melanda lautan, walau ribut meruntuhkan belantara, walau taufan melanda desa, namun perjuangan parti tetap kita teruskan. Puteri sedia berkorban apa saja demi agama, bangsa dan negara. Sidang perwakilan sekalian,

50. Kombinasi yang perlu hadir bersama kesetiaan ini adalah kebijaksanaan dalam melaksanakan perjuangan. Metod perjuangan perlu selari dengan peredaran zaman. Kita semua sedar dan tahu, PAS dan PKR, dua parti yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan dan dendam. Sebab itu perjuangan mereka didasari fitnah dan hasad dengki. Mengajak rakyat berhimpun mendoakan kebinasaan manusia seagama, menuduh slogan 1Malaysia yang jelas murni idea dari Yahudi, mengajak rakyat sertai demonstrasi dan lakukan kerosakan, itu semua cara perjuangan mereka yang jelas terpesong dari adab susila manusia! Perjuangan yang sama sekali ditolak rakyat kita! UMNO tidak lahir atas dasar kecewa, dengki, dendam, benci dan berjuang untuk tujuan peribadi.

51. Tetapi UMNO tertubuh atas rasa tanggungjawab kita membela bangsa. UMNO adalah parti tulen dan parti sejati orang Melayu. Jangan kita hancurkan empayar yang telah kita bina ini dengan fitnah. Perjuangan kita perlu selari dengan keperluan rakyat. Yang rakyat inginkan adalah kebajikan mereka dijaga bukan fitnah sebagai halwa telinga. Sebagai penggerak, Puteri harus bijak dalam mendekati rakyat. Rakyat perlukan suara mereka didengari, bukan mendengar caci-maki. Contoh terbaik yang boleh dipraktikkan adalah sepertimana kepimpinan junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Sikap kepimpinan yang fleksibel membuatkan para sahabat sentiasa berasa senang untuk mendampingi baginda baik untuk mengadu masalah mahupun mendapat penjelasan berhubung sesuatu hukum. Contoh kepimpinan beginilah yang seharusnya kita teladani. Mobiliti dan akauntabiliti sentiasa ada bagi memastikan setiap aduan didengari, bukan hanya sekadar pandai menabur janji.

 52. Tugas Puteri hari ini bukan lagi sebagai sisipan, tetapi pemain utama di dalam arus perdana. Masyarakat perlu mempunyai persepsi yang matang dalam politik untuk memastikan survival perjuangan masa depan terus terbela. Inilah tugas penting yang harus dipikul Puteri. Mendidik rakyat supaya matang dalam mentafsir senario politik negara. ‘Action Plan’ yang jitu telah diperkenalkan Dato’ Sri Presiden. Pelbagai platform telah disediakan melalui program transformasi kerajaan untuk membolehkan aspirasi ini dicapai. Kita semua menjadi saksi keberjayaan program yang telah dijalankan. Daripada GTP hingga ETP, daripada NKRA hingga NKEA, daripada RTP hingga PPP semua dilaksanakan bagi menjaga kebajikan, kesejahteraan dan kelangsungan wadah perjuangan.

53. Sebagai jentera, Puteri seharusnya bertindak sebagai pemberi maklumat berhubung segala usaha dan kejayaan program yang telah dilaksanakan kerajaan kepada rakyat. Saya percaya, dengan adanya usaha ini, ia secara automatik akan memberikan satu persepsi baru kepada masyarakat berhubung keseriusan kerajaan dalam membantu rakyat. Inilah kematangan yang kita perlukan. Menilai kejayaan perlaksanaan, bukan banyak mana janji yang telah ditaburkan. PRU13 Sidang perwakilan sekalian,

 54. Peperangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13, pastinya akan menjadi peperangan pilihan raya yang paling sengit dan mencabar dalam sejarah demokrasi di malaysia. Kemenangan tipis pada PRU yang lalu, serangan-serangan provokatif para petualang, ditambah pula dengan strategi-strategi populis menjadi senjata yang menopang, pastinya menzahirkan pilihan raya kali ini sebagai medan tempur sejarah yang tidak boleh dipandang mudah.

 55. Pengalaman PRU12 ini adalah contoh yang paling ketara dan paling dekat di jiwa. Bukti jika kita terlalu leka dan selesa dengan kedudukan yang kita ada, semuanya bias hancur dan hilang sekelip mata sesingkat awan menjadi hujan, api menjadi abu dan pasir menjadi debu. Itulah nilai sebuah kejatuhan.

56. Azimat dari kisah ini, jawapannya satu, kita harus kembali pada asas perjuangan. Asas yang dipasak dengan semangat dibenam dengan hakikat betapa yang menghimpunkan kita dalam garis perjuangan ini adalah asas yang membuatkan kita dipercayai dan dihormati. Asas yang melahirkan kita Pergerakan Puteri dalam parti yang kita sayangi. Kesatria-kesatria Puteri sekalian,

 57. Ombak pilihan raya sudah benar-benar menghampiri. Bisa sahaja menjadi badai atau bayu yang membelai. Saat ini, jika kita masih berpeluk tubuh kita berdosa pada parti. Jika segarkan rasa iri hati, dengki dan menuding jari, kita berdosa pada parti. Jika kita tidak berpangkat, tidak berjawatan, tidak berkedudukan, kita biarkan hanya mereka yang mendapat mandat sahaja yang menyusun aturan, kita berdosa pada parti. Jika kita pura-pura di depan bikin kerja tapi di belakang bikin cerita, kita berdosa pada parti. Di saat saudara kita berjuang, kita canang kononnya mereka petualang, kita berdosa pada parti. Jika kita dendam tak bertepi cemburu membita tuli, kita berdosa kepada parti. Dari sekian dosa yang yang kita lakar tanpa sedar, kitalah pengkhianat dan petualang sebenar.

 58. Jadilah seperti Sumayyah, tanpa pangkat pun masih tegar mempertahankan agama. Jadilah seperti Mashitah, kezaliman Firaun tidak pernah melunturkan iman di dada. Jadilah Khalid al-Walid, dari apa jua pangkat dan kedudukan, hidup matinya untuk pasukan.

 59. Hari ini kita berdiri kerana sayangnya kita pada agama. Sayangnya kita pada negara. Dan sayangnya kita pada M E L A Y U. Bangsa. Perjuangan yang bukan bermaharkan harta dan berdulangkan kuasa. Perjuangan seikat lidi yang perlu bertahan sesama sendiri agar tidak mudah dipatahkan oleh sesiapa.

 60. Hari ini Puteri bukan lagi hulubalang biasa. Puteri harus bangun sebagai pahlawan, Puteri harus bangun sebagai perwira Puteri harus bangun sebagai laksamana yang ternama. Sesungguhnya, Puteri yakin dan percaya bahawa peperangan kali ini bukan soal siapa yang kuat dan siapa yang hebat. Ingat. Kekalahan pilihan raya ini bukan sekadar membawa maksud kalahnya parti kita. Tetapi kekalahan ini, akan menjadikan asbab matinya seluruh perjuangan dan kita pasti akan dikuburkan pada pusara yang tidak akan lagi dikenang. Jika kita gagal, maka segala perit jerih kita membela rakyat dan membina negara selama ini akan bernoktah di sini.

61. Sesungguhnya Melayu itu kaya falsafahnya, kias kata bidal pusaka, akar budi bersulamkan daya, gedung akal laut bicara, pemimpin itu perlu dihormati, andai ada salah secara hemah teguran diberi. Kayakan jiwa kita dengan keikhlasan dalam berjuang.

 62. Sesungguhnya detik dan ketika ucapan ini ditutur, Puteri telah bersiap-siaga untuk turun bertempur. Sepatutnya juga, ketika ucapan ini ditutur, sikap sudah kemas dilentur. Nilai-nilai positif ini sepatutnya sudah sebati dalam jiwa, sudah tersemat di minda, sudah menjadi budaya yang tidak akan terpisah selamanya. Kerana kini, kita sudah berada di fasa untuk bertindak, yang sekarang masih perlahan bergerak.

 63. Andai kita rebah di medan perang, itu satu malapetaka yang cukup malang. Rebahnya kita bukan dek kuatnya lawan, tapi kerana lalai dan leka dalam meniti arus perjuangan. Jika ditakdirkan ini berlaku, jawapan apa untuk kita berikan kepada anak cucu kita semua? Tatkala kita sedang berkuasa, apa yang kita lakukan? Tatkala amanah diberi kepada kita, apa kita laksanakan? Tatkala kita diberi kepercayaan, kita bacul dan khianat.

 64. Jangan kita izinkan dalam ukiran sejarah pada zaman hadapan, Puteri tumbang kerana kita leka, Puteri tumbang kerana kita alpa, Puteri tumbang kerana kita terlalu selesa, Puteri tumbang kerana kita kejar kuasa.

65. Biarlah dalam nukilan yang dibaca anak cucu kita, Puteri bangkit demi bangsa, Puteri berjuang pertahankan agama, Puteri berkorban kerana cintakan Negara. Puteri benar-benar jelmaan Nusaibah, berjiwa besar dan tidak sesekali gentar. Andai dibunuh sekalipun, Puteri mati dengan bangga.

 66. Kepada para Puteri, ayuh kita sama-sama berdiri teguh di atas satu azam perjuangan yang kukuh. Ingatlah, betapa lahirnya Puteri bukan untuk dimanja, bukan juga untuk dipuji dan dipuja namun percayalah betapa lahirnya Puteri adalah untuk berjuang sama merasai perit jerih membela nasib rakyat dan bangsa. Degup jantung Puteri adalah degup jantung rakyat, jiwa Puteri adalah jiwa rakyat dan hidup mati Puteri adalah untuk menabur bakti kepada seluruh rakyat.

67. Marilah bersama-sama kita berdiri. Kita berikrar dan bersetia. Parti ini adalah nyawa kita. Parti ini adalah nyawa orang Melayu. Parti ini lahir dari darah, keringat dan kudrat pejuang terdahulu.

68. Puteri berikrar, biarpun perit kita akan bangun mempertahankan maruah parti, Puteri berikrar, biarpun jerih Puteri akan bangun mempertahankan jalan juang parti, Puteri berikrar biarpun sakit Puteri akan tetap mempertahankan parti pusaka ini sampai mati.

 69. Puteri berjanji kita akan lawan mereka yang membakar parti dengan fitnah. Kita akan tentang mereka dalam parti yang suka mencucuk dan mencanang. Kita akan pertahankan parti dari dibunuh pengkhianat dan petualang.

70. Kita akan ketepi soal peribadi, kita akan ketepikan sikap yang merosakkan parti. Kita akan tanam dan kapankan rasa dengki dan iri hati.

71. Puteri berikrar, akan menumpahkan segala kesetiaan, mengerah segala kudrat dan kekuatan serta berpadu merapatkan barisan demi memastikan kita menang dalam pilihan raya yang akan datang. Puteri akan lakukan apa jua demi bangsa, agama dan negara.

72. Maka akhirnya dalam politik bukan semuanya tentang untung sabut timbul untung batu tenggelam, juga bukan rezeki secupak takkan jadi segantang. Tapi politik semuanya tentang berpantang maut sebelum ajal, membujur lalu melintang patah. Dengan seluruh tekad dan keringat. Seluruh jiwa dan raga kita. Hanya untuk parti. Kita akan terus percaya di saat sakit, jerih dan perih, Puteri berdiri bukan kerana takdir, tetapi kerana seruan juang pada agama bangsa dan negara. Hingga sekiranya ditanya. Sebagai pejuang, sanggupkah kita membayar perjuangan dengan nyawa kita sendiri? Katakan bahawa kita sanggup. Katakan kita mahu, kita mampu, kitalah pejuang-pejuang itu! Selamat berjuang untuk semua yang bersidang.

PERHIMPUNAN AGUNG PERGERAKAN PUTERI UMNO 2012

“Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional” – Najib


Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Yang Berbahagia Pengerusi Tetap,  Yang Berhormat Timbalan Pengerusi Tetap, Yang Amat Berhormat Timbalan Presiden & Puan Sri Norainee Abdul Rahman, Yang Berhormat Naib Presiden-Naib Presiden Ketua-Ketua Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, Ahli-Ahli Majlis Tertinggi, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad & Tun Dr. Siti Hasmah, Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ketua-Ketua Parti Komponen Barisan Nasional, Dif-dif Kehormat, Para Perwakilan, Pemerhati, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekalian. 

Saudara dan Saudari sekalian,

1. Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat agong tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.
2. Sesungguhnya perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah.
Saudara dan saudari,
3. Seperti semua maklum, ini merupakan perhimpunan agong terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak dibubar oleh yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.
4. Oleh itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.
Saudara dan saudari,
5. Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang bakal diadakan.
6. Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharu mandat.
7. Serentak itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, InsyaAllah, kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah, untuk mengurus kepentingan negara, memakmur ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
8. Malah, lebih jauh dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita kekal menjadi parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila menyinsingnya fajar 2020 kelak.
Saudara dan saudari,
9. Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan Nasional.
10. Sehubungan itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun ini, sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari semua.
11. Seharusnya lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh abad lalu, episod hitam itu, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat.
12. Apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya dipeduli oleh rakyat.
13. Justeru, dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan keperluan ramai.
14. Sekalipun dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti dan Kerajaan.
15. Sesungguhnya juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar secara meluas. Bersesuaian prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui segalanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.
16. Lantas, menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
REALITI BARU LANSKAP POLITIK NEGARA


Saudara dan Saudari,
17. Sekiranya kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?
18. Pastinya, dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.
Saudara dan saudari,
19. Berdiri atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir tujuh puluh peratus tinggal di kawasan bandar. Empat puluh peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.
20. Lapan puluh peratus pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala separuh daripada rakyat kita berusia di bawah dua puluh lima.
21. Satu faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional.
22. Hakikatnya, peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.
23. Selain itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.
24. Angka ini, saudara dan saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali.
CABARAN UMNO
Saudara dan saudari,
25. Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin.
26. Mendakap cabaran kini, Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau sebaliknya.
27. Serentak itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.
28. Walau bagaimanapun, kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti.
29. Kata orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya di sini, kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili.

30. Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi.
31. Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.
32. Kesimpulannya di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.
33. Atas segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya.
34. Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, pasti tidak akan hilang bisanya.
Saudara dan saudari sekalian,
35. Bersuluhkan jamung pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka.
36. Apa yang dapat saya katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.
Saudara dan saudari,
37. Pada kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan serta lebih lengkap peralatannya.
38. Manakala peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.
39. Di sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah tersebut, ialah, tentang pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas.
Saudara dan saudari,
40. Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang.
41. Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas…, di atas kepentingan individu.
42. Lalu, mengambil sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut.
43. Termustahak, jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.
KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF
YBhg. Tan Sri Pengerusi Tetap, Saudara dan saudari,
44. Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia.
45. Semenjak lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali menali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif.
46. Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi.
47. Oleh itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun kepimpinan ini datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur.
48. Ertinya, parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya.
Saudara dan saudari,
49. Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
50. Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri.
Saudara dan saudari,
51. Sememangnya menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.
52. Bagi parti yang sedang menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa manfaat.
53. Manakala, bagi parti yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut.
Saudara dan saudari,
54. Berhubung hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi.
55. Kejayaan ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan kerajaan Barisan Nasional sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi dan masyarakat antarabangsa.
56. Jika dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion. Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.
57. Hari ini juga kita diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human Development Index”.
58. Kendatipun begitu, Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
59. Untuk itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya dan rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai.
60. Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada 6 700 dolar kepada 9 700 dolar.
61. Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak 15 000 dolar. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu 12 476 dolar, maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal mencapai taraf tersebut.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
62. Kita maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan Malaysia”.
63. Dalam dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, konon, akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka.
64. Sebaliknya, semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan buruk jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada pengetahuan rakyat.
65. Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM 4000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM 500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya :
66. Pada tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus.
67. Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan?
Saudara dan saudari sekalian,
68. Inilah… inilah tahap kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap.
69. Beliaulah yang menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan.
70. Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya berubah pulak.
71. Kalau ikut pepatah dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen…dah.. dia menyokong pulak…heran..heran…
Saudara dan saudari,
72. Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal, lupus.
73. Tidak sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan keperluan lesen tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara amnya kepada mahkamah.
74. Atas sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan sama ada mereka mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan tanggapan tidak masuk akal oleh pembangkang.
UMNO TEGAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM
Saudara dan saudari sekalian,
75. Sesungguhnya, UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
76. Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.
77. Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain.
78. Soalnya, adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista semahunya?
79. Walhal, UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.
Saudara dan saudari,
80. Pada kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.
81. Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa menggadai harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara sistematik.
82. Begitulah dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terulung dunia.
83. Hakikatnya umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.
84. Melangkah dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia juga rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan.
85. Malah, mutakhir ini Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih empat puluh tahun di Selatan Filipina, sehingga berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro.
86. Malaysia turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau dan global. Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. InsyaAllah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
87. Malaysia juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.
Saudara dan saudari,
88. Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa.
89. Sebetulnya pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama.
90. Kenapa dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara.
91. Berlandaskan semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, aqal, maruah dan keturunan.
92. Kita tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.
93. Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang… menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisma mahupun liberalisma.
Saudara dan saudari,
94. Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi Persekutuan.
95. Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
96. Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.
97. Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.
98. Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.
99. Tambahan lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangankan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular.
100. Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran.
101. Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.
102. Berbicara tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.
103. Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks berkenaan.
KITA ATAU MEREKA
Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian,
104. Pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan.
105. Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji.
106. Lima tahun ialah jangkamasa yang lama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur.
107. Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan.
108. Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti PAS tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui PAS, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
109. Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik di negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP?
110. Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.
111. Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP.
112. Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung Naib Presiden.
113. Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan dan tu…. tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua.
114. Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka.
115. Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang… saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir masak-masak.
Saudara dan saudari,
116. Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era yang ditempuhi.
117. Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada beberapa Fasa. Pertama, melalui penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan FELCRA.
118. Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada Institut Teknologi Mara pada akhir 60an dan kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara.
119. Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan Malaysia selama dua puluh tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
120. Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun.
121. Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat Perdagangan serta Perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan.
122. Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi.
123. Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita.
124. Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010.
125. Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.
126. Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi mempastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
127. Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
128. Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Saudara dan saudari,
129. Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.
130. Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihanraya 2008?
131. Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihanraya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang… “ilekkk…”. Akhirnya…Barisan Nasional… juga yang selesaikan…
132. Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba…. seandainya Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi… si Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak tau…. dan buat dek…jer…” atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.
Saudara dan saudari,
133. Selanjutnya; “tanyalah kepada oghe Kelate, …selesa doh ko masalah air ?… Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun PAS memerintah, tak selesa-selesa jugak”.
134. Tanyalah pulak kepada orang Kedah; “pasai PAS. …depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu? …Cuba habaq mai…. tak ka macam-macam depa tabuq janji… kita tau sampai laa ni… macam-macam tak selesai… habuk pun tak dak”.
135. Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak seratus ringgit yang nak dibagi? Tak patut.
Saudara dan saudari,
136. Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk menunaikannya.
137. Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya :
• kita ada BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah
• kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
• kita ada bantuan 100 ringgit untuk semua pelajar sekolah
• kita ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi
138. Untuk jangka sederhana :
• kita menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar
• kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
• kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan
139. Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju. InsyaAllah.
Saudara dan saudari,
140. Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat.
141. Misalnya, Suruhanjaya Pilihanraya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.
142. Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia.
143. Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair.
144. Dah lebih separuh abad pun kita merdeka… tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi.
145. Seperti yang saya kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga Parti PAS yang telah memenangi pilihanraya negeri pertama tahun 1959? Bukankah Parti PAS sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah menerajui Kerajaan Terengganu dan Perak?
146. Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang?
147. Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional, Parti PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan telah memenangi pilihanraya Pulau Pinang tahun 1969.
148. Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?
Saudara dan saudari,
149. Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih.
Saudara dan saudari,
Pilihanraya Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara.
Pilihanraya inilah yang akan mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.
Hakikatnya, hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara.
Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.
Hendaklah kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah.
Sebaliknya, saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam.
Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri.
Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.
Justeru, saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.
Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.

Saudara dan saudari,
Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan.
Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.
Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian,
Di sini… di sinilah kita dilahirkan, di sini… di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.
Penuhkanlah tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman.
Duhai putera puteri… duhai para pejuang bangsa, segeralah… segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan… pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini… pertahankan…. pertahankanlah Putrajaya.
HIDUP UMNO!
HIDUP BARISAN!
HIDUP MALAYSIA!
Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!