Saudara dan Saudari
sekalian,
1. Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat agong tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO.
2. Sesungguhnya
perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan
taqwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses
muhasabah dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti,
membugarkan halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah.
Saudara dan saudari,
3. Seperti semua maklum,
ini merupakan perhimpunan agong terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13.
Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak dibubar oleh yang
di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga
dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013.
4. Oleh itu, setiap
seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada di bawah,
tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para pimpinan
di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak
bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun
yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya
sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang.
Saudara dan saudari,
5. Jelas sekali terasa,
parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti
pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke
peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang
bakal diadakan.
6. Kini, semboyan sedang
berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah,
tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda.
Dengan mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat,
demi memperbaharu mandat.
7. Serentak itu, saudara
dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin
Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini,
InsyaAllah, kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti
pemerintah, untuk mengurus kepentingan negara, memakmur ekonomi dan
mensejahtera rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang.
8. Malah, lebih jauh
dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita kekal menjadi
parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju
apabila menyinsingnya fajar 2020 kelak.
Saudara dan saudari,
9. Namun begitu, dalam
pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah
alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008
merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik
UMNO dan Barisan Nasional.
10. Sehubungan itu pada
hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun ini,
sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari
semua.
11. Seharusnya lagi,
bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh
abad lalu, episod hitam itu, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua.
Malah ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan
dalam Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan
jangkaan rakyat.
12. Apa yang pasti, kita
tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu
memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu
sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya
dipeduli oleh rakyat.
13. Justeru, dalam
tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan
parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi
kehendak dan keperluan ramai.
14. Sekalipun dihadap
dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk memulihkan
kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti
dan Kerajaan.
15. Sesungguhnya juga,
apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng
atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar
secara meluas. Bersesuaian prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui segalanya
dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir.
16. Lantas, menghitung
perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa keberhasilan yang
sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi Malaysia daripada
krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan pertumbuhan mapan
serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan sederhana. Di
samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan
Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.
REALITI BARU LANSKAP
POLITIK NEGARA
17. Sekiranya kemenangan
kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan
siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya
dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik
dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang?
18. Pastinya, dalam
meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan
mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat,
bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana.
Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi.
Saudara dan saudari,
19. Berdiri atas
kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang
telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini
dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir tujuh puluh peratus tinggal di
kawasan bandar. Empat puluh peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang
mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah.
20. Lapan puluh peratus
pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala
separuh daripada rakyat kita berusia di bawah dua puluh lima.
21. Satu faktor penting
lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku
dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit semenjak
lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil
prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan
Nasional.
22. Hakikatnya,
peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan
teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan,
selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka
terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata
pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal.
23. Selain itu, fakta
yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak
kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih.
24. Angka ini, saudara
dan saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada
jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang
daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah pengundi baru
atau pengundi yang pertama kali.
CABARAN UMNO
Saudara dan saudari,
25. Sepanjang berdepan
mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh
berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat
berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta
kerajaan pada hari-hari kelmarin.
26. Mendakap cabaran
kini, Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama
ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti
atau sebaliknya.
27. Serentak itu,
bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan
dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi
dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang
dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional.
28. Walau bagaimanapun,
kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti
pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang
dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat
kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam
bentuk undi kepada calon tempatan parti.
29. Kata orang, dulu
lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti,
merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya di sini,
kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada penerimaan
mereka yang hendak diwakili.
30. Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi.
31. Kenyataannya lagi,
lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab
itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan
kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam
sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan.
32. Kesimpulannya di
sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha
bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda
dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan
putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan
bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia.
33. Atas segalanya,
rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam.
Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat
sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya.
34. Dalam konteks ini,
saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat,
berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur
akar, pasti tidak akan hilang bisanya.
Saudara dan saudari
sekalian,
35. Bersuluhkan jamung
pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti
terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang utama,
bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan
anak-anak cucu mereka.
36. Apa yang dapat saya
katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada
kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya tertampak,
yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua.
Saudara dan saudari,
37. Pada kesempatan ini,
renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai iktibar parti. Kita
telah membaca bagaimana dalam perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan
telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan serta lebih
lengkap peralatannya.
38. Manakala peristiwa
Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera Islam
mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca daripada
kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati
arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar.
39. Di sini, pengajaran
yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah tersebut, ialah, tentang
pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti. Implikasi apabila tiada
kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan
kecundang, kita akan tumpas dan tewas.
Saudara dan saudari,
40. Hal disiplin
berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak
yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai
matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan
kemenangan atau kekalahan di medan perang.
41. Dalam sebuah
pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin
berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau
kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud
meletakkan kepentingan organisasi secara di atas…, di atas kepentingan
individu.
42. Lalu, mengambil
sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang
dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan,
jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang
sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut.
43. Termustahak, jika
keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan
laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan
pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat
sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan.
KEBERTERUSAN
TRANSFORMATIF
YBhg. Tan Sri Pengerusi
Tetap, Saudara dan saudari,
44. Pada sisi lain,
pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan
pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima
pakai di Malaysia.
45. Semenjak lebih 50
tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali
menali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan
bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan
Transformatif.
46. Kita telah
menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang terjajah
kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara pertanian
berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan
sederhana tinggi.
47. Oleh itu, dengan
Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun kepimpinan ini
datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan berlaku secara
dinamik, berterusan, tertib dan teratur.
48. Ertinya, parti
pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi
keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan
perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada
tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada
masanya.
Saudara dan saudari,
49. Kita ada mendengar
pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk
menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat.
50. Namun, ini adalah
satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak
kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang
betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus
membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri.
Saudara dan saudari,
51. Sememangnya menjadi
aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi
membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke
arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan.
52. Bagi parti yang
sedang menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu
ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan dilunaskan? Manakala
kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa
manfaat.
53. Manakala, bagi parti
yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai berasaskan janji
yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang
dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti
tersebut.
Saudara dan saudari,
54. Berhubung hal
demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat
berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan
sosioekonomi.
55. Kejayaan ini
bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan kerajaan Barisan Nasional sebaliknya
satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap rakyat Malaysia.
Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi dan masyarakat
antarabangsa.
56. Jika dinilai dari
kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara dagangan terbesar
dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion. Hari ini kita
diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The World Economic
Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.
57. Hari ini juga kita
diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga,
sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula
menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human
Development Index”.
58. Kendatipun begitu,
Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan
kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan
potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar
hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan.
59. Untuk itu, Dasar
Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya dan
rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang
lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan
politik secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai.
60. Hasil pelaksanaan
Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi
Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara
tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada 6 700 dolar kepada 9 700 dolar.
61. Kemuncaknya nanti
saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak 15 000
dolar. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi
mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu 12 476 dolar,
maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi,
kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal
mencapai taraf tersebut.
Saudara dan saudari yang
dikasihi sekalian,
62. Kita maklum bahawa,
pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan
Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan
menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan
Malaysia”.
63. Dalam dokumen ini
terkandung sejumlah 59 janji yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan
Rakyat. 10 daripadanya, konon, akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama
pentadbiran mereka.
64. Sebaliknya, semua
itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan buruk
jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan
kepada pengetahuan rakyat.
65. Jika disenarai,
mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi
rumah Malaysia pada kadar RM 4000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN,
memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM 500 sebulan dan menaikkan royalti
petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu
diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya :
66. Pada tahun pertama
seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir
30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK
akan melambung kepada 140 peratus.
67. Dalam tahun ketiga,
kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara
Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan
Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa.
Adakah itu yang kita inginkan?
Saudara dan saudari sekalian,
Saudara dan saudari sekalian,
68. Inilah… inilah tahap
kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia
tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda
Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri
Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah
pengurus ekonomi yang cekap.
69. Beliaulah yang
menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani
krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai
oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta
menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan
suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak
khususnya masyarakat perniagaan.
70. Orang ini memang
selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat
dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan
orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya
sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya
berubah pulak.
71. Kalau ikut pepatah
dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh
meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin
keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam
itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila
kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen…dah.. dia menyokong
pulak…heran..heran…
Saudara dan saudari,
72. Dalam Buku Jingga
juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah,
tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang
Negeri, membatalkan 3 pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan
yang digubal, lupus.
73. Tidak sekadar itu,
kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar dalam parti
politik, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan keperluan
lesen tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara amnya
kepada mahkamah.
74. Atas sebab-sebab
yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan sama ada
mereka mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan Barisan
Nasional atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan
tanggapan tidak masuk akal oleh pembangkang.
UMNO TEGAR DALAM
MEMPERJUANGKAN ISLAM
Saudara dan saudari
sekalian,
75. Sesungguhnya, UMNO
sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam
Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
76. Dek kerana itu,
tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular
amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan
kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah.
77. Alangkah peliknya
perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa
musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk
mahukan kejatuhan orang lain.
78. Soalnya, adakah
sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO dengan
begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista semahunya?
79. Walhal, UMNOlah
parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di
negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun
semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang
bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat,
muamalah dan jinayah.
Saudara dan saudari,
80. Pada kedudukan ini,
kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan keberlangsungan
Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang memiliki agensi khusus
bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif.
81. Penubuhan Lembaga
Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa
menggadai harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat
mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara sistematik.
82. Begitulah dalam
bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan
khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari sistem pajak gadai
sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita berasa bangga dan
gembira kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai
pusat kewangan Islam terulung dunia.
83. Hakikatnya umat
Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang
menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan,
kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain
transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.
84. Melangkah dari situ,
selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia juga
rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti
ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera
termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia,
Lubnan dan Afghanistan.
85. Malah, mutakhir ini
Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah
berlarutan lebih empat puluh tahun di Selatan Filipina, sehingga berjaya
membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro.
86. Malaysia turut
komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan akan
sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum-forum
serantau dan global. Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati
aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. InsyaAllah,
Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara
Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak.
87. Malaysia juga
prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita
menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta
merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat.
Saudara dan saudari,
88. Merujuk semua itu,
janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya
bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi
kandungannya tidak seberapa.
89. Sebetulnya pun,
pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan
dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama.
90. Kenapa dan mengapa?
Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah,
UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu
mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara.
91. Berlandaskan semua
itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited bagi
terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama,
nyawa, harta benda, aqal, maruah dan keturunan.
92. Kita tidak rela
untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan
mencaci atau menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas
untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah.
93. Di atas pentas
perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita
menentang… menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisma
mahupun liberalisma.
Saudara dan saudari,
94. Komitmen UMNO ini,
selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan
Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1,
menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1,
Islam ialah agama bagi Persekutuan.
95. Perkara 11 fasal 1
menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya,
namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan
berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan
Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan
apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama
Islam”.
96. Jadinya, kita ingin
berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO
dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya
kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana
bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak
menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud.
97. Kesan amanat pada
tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah
menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya,
muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam,
perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram
memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO.
98. Soalnya, adakah
layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela
untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri
Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau.
99. Tambahan lagi, kita
dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu,
sudah tidak lagi memperjuangankan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan
Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang
menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara
sekular.
100. Kenapa matlamat
perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini?
Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS
di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk
disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum
diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran.
101. Adakah nafsu untuk
berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah menghalalkan cara?
Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya,
ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan
kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia.
102. Berbicara tentang
negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan
kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap
menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan.
103. Terbaru, sekumpulan
ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan mengukur
negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka
di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam
pematuhan indeks berkenaan.
KITA ATAU MEREKA
Rakyat Malaysia yang
dikasihi sekalian,
104. Pilihan kepada
tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti
dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang
yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada
mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau
sebuah negara berkebajikan.
105. Suka tidak suka,
persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk
mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa
depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji.
106. Lima tahun ialah
jangkamasa yang lama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk
kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan
tersungkur.
107. Kerana itu,
menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat
dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak seperti
gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan.
108. Contohnya, di Pulau
Pinang yang diterajui DAP, parti PAS tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang
diterajui PAS, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya,
kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain.
109. Selanjutnya marilah
kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah
yang paling demokratik di negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang?
Apakah cerita sebenar dalam DAP?
110. Semua orang
mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang
jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim
Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP.
111. Anaknya pula
merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala
menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Naib Pengerusi
Seksyen Wanita DAP.
112. Begitulah juga
kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si
suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala
anak sulung Naib Presiden.
113. Berbalik kepada DAP,
kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah.
Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya
seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib
Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0,
dan dan tu…. tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal
kedua.
114. Inilah sebenarnya
demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah
dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk
kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak
bersetuju atau berselisih pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru
politik mereka.
115. Seperkara lagi,
hari ini, tinggal seorang… saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat
DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman?
Inikah dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat
Malaysia renung dalam-dalam dan fikir masak-masak.
Saudara dan saudari,
116. Pucuk pangkalnya,
UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu
duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara
tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini
berubah mengikut era yang ditempuhi.
117. Perjuangan UMNO
semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada
beberapa Fasa. Pertama, melalui penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan
FELCRA.
118. Ia juga diperkukuhkan
dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada Institut Teknologi
Mara pada akhir 60an dan kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf
menjadi Universiti Teknologi Mara.
119. Fasa kedua
menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui Rangka
Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan Malaysia
selama dua puluh tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan
dan menyusun semula masyarakat.
120. Ia menyaksikan
penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga
Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar
Malaysia dan Tekun.
121. Usaha juga
ditumpukan untuk mencipta masyarakat Perdagangan serta Perindustrian
Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam
Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu
berkecimpung dalam dunia perniagaan.
122. Bagi meningkatkan
ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan
skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya,
kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah
seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran
sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program
matrikulasi.
123. Secara nyata,
perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini telah
memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah
profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di
kalangan bangsa kita.
124. Bertapak di atas
fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program yang
lebih terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju,
Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya,
pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun
2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010.
125. Sungguhpun begitu,
dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat
8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan hak serta
berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan
Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan.
126. Sedang UMNO komited
bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam
bagi mempastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu
dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada
semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan
tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan.
127. Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
127. Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional.
128. Pastinya, kita
sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri yang
mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai
organisasi siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat
melalui titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah
jua teras falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan.
Saudara dan saudari,
129. Perbezaan yang
terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk
ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing
undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka.
130. Tanyalah kepada
penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis yang
ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihanraya 2008?
131. Beliau berjanji
kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihanraya, akan selesailah
masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak kata orang
Penang… “ilekkk…”. Akhirnya…Barisan Nasional… juga yang selesaikan…
132. Selain itu, macam
kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba…. seandainya Pakatan Rakyat
membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah
siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi… si Ketua
Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak tau…. dan buat dek…jer…”
atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong.
Saudara dan saudari,
133. Selanjutnya; “tanyalah
kepada oghe Kelate, …selesa doh ko masalah air ?… Sedar tak sedar, dah lebih
dua puluh tahun PAS memerintah, tak selesa-selesa jugak”.
134. Tanyalah pulak
kepada orang Kedah; “pasai PAS. …depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu?
…Cuba habaq mai…. tak ka macam-macam depa tabuq janji… kita tau sampai laa ni…
macam-macam tak selesai… habuk pun tak dak”.
135. Seterusnya, kita
tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter pukal di
Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu, kita
tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun
bulanan sebanyak seratus ringgit yang nak dibagi? Tak patut.
Saudara dan saudari,
136. Berbeza dengan kita
UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan
mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan
ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan
memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk
menunaikannya.
137. Misalnya, di bawah
pelan jangka pendek, antaranya :
• kita ada BR1M untuk
rakyat berpendapatan rendah
• kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
• kita ada bantuan 100 ringgit untuk semua pelajar sekolah
• kita ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi
• kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa
• kita ada bantuan 100 ringgit untuk semua pelajar sekolah
• kita ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi
138. Untuk jangka
sederhana :
• kita menyediakan Pusat
Transformasi Luar Bandar
• kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
• kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan
• kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar
• kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan
139. Bagi jangka panjang
pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program
Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai
status negara maju. InsyaAllah.
Saudara dan saudari,
140. Pada sesetengah
pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata
jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan dituduh
sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan
syak di kalangan rakyat.
141. Misalnya, Suruhanjaya
Pilihanraya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan
dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab,
seandainya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, bukan faktor tidak mendapat
sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan
dianggap tidak adil serta tidak berwibawa.
142. Sebab itulah tanpa
segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah
dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan
menghina intelek rakyat Malaysia.
143. Sebenarnya saudara
dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar
bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup
mengkhianat bangsa dan tanahair.
144. Dah lebih separuh
abad pun kita merdeka… tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya,
selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah
siap pahat berbunyi.
145. Seperti yang saya
kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah
juga Parti PAS yang telah memenangi pilihanraya negeri pertama tahun 1959?
Bukankah Parti PAS sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah
menerajui Kerajaan Terengganu dan Perak?
146. Tidakkah pula PKR
sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau
Pinang?
147. Selain itu,
barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional, Parti
PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi
pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan telah memenangi pilihanraya
Pulau Pinang tahun 1969.
148. Akhirnya, seperti
terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti
dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008?
Saudara dan saudari,
149. Jadi, jika
sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak
mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di
Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah proses yang bersih dan
rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih.
Saudara dan saudari,
Pilihanraya Umum ke-13
ini bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada
destini rakyat dan negara.
Pilihanraya inilah yang
akan mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak
kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat
dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit
rasa prasangka dan prejudis.
Hakikatnya, hasil kerja
keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan
dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini,
mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara.
Pilihannya juga amat
jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai
ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian
yang membara.
Di satu sudut, jalan
mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata
dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman.
Hendaklah kita selalu
beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa yang
dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku
Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr.
Mahathir dan Tun Abdullah.
Sebaliknya, saudara dan
saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina
atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan
siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur,
runtuh dan tenggelam.
Sudah barang pasti UMNO
tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh
dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula.
Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya
apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan
merempat di tanah sendiri.
Bumi mana tak ditimpa
hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang,
atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau
tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami
menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan.
Justeru, saya selaku Presiden
UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti,
bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus
mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus
membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam.
Walau apapun rintangan
yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau
setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam
menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan
hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam.
Kita akan menggunakan
segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang
demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk
menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati
dan membuka setiap gerbang harapan.
Kita percaya, rakyat
Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan
Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat
Malaysia.
Saudara dan saudari yang
dikasihi sekalian,
Di sini… di sinilah kita
dilahirkan, di sini… di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina
keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin
Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya.
Penuhkanlah tanah
bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah
watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman.
Duhai putera puteri… duhai
para pejuang bangsa, segeralah… segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan…
pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini… pertahankan…. pertahankanlah
Putrajaya.
HIDUP UMNO!
HIDUP BARISAN!
HIDUP MALAYSIA!
Allahuakbar!
Allahuakbar! Allahuakbar!