Halaman

30 November 2012

Bekas pemimpin dan veteran Umno tidak pernah disisih



Oleh: Mohammad Ishak 

Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung setiap tahun di PWTC menarik perhatian perwakilan apabila bekas pemimpin dan veteran parti tidak pernah dilupakan sebaliknya mereka tetap diundang untuk duduk bersama menyaksikan perjalanan perhimpunan berkenaan.

Inilah amalan yang dilakukan oleh UMNO sejak dahulu hingga sekarang dengan memberi penghormatan kepada setiap pemimpin dan ahli veteran untuk memeriahkan perhimpunan selain mendekatkan mereka dengan kepemimpinan yang ada sekarang.

Bekas Presiden UMNO yang juga Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi bersama isteri masing-masing adalah antara dua tokoh besar yang turut hadir pada perhimpunan bersejarah tahun ini.

Selain itu bekas Setiausaha Agung UMNO,Tan Sri Sanusi Jonid dan Tan Sri Sabaruddin Chik juga antara tokoh veteran yang hadir mewarnai perhimpunan yanbg sedang berlangsung sekarang.

Manakala ramai lagi pemimpin dan veteran parti yang menjawat jawatan menteri dan bekas menteri satu ketika dahulu serta ketua bahagian tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan perbahasan oleh perwakilan.

Kehadiran mereka pada perhimpunan kali ini sedikit sebanyak menyuntik semangat perwakilan kerana mereka sebelum ini pernah berjaya dan menjadi idola kepada generasi masa kini yang meneruskan perjuangan untuk membina bangsa Malaysia yang maju dan disegani dunia.

Malah, bekas pemimpin berkenaan banyak mencetuskan idea untuk menjiwai anak muda meneruskan perjuangan melalui wadah parti keramat seperti UMNO yang tiada lagi parti lain mampu membawa kemakmuran dan kesejahteraan hidup rakyat Malaysia.

Kesinambungan UMNO yang menghimpunkan tokoh pemimpin dan veteran parti satu amalan baik dan patut diteruskan pada hadapan supaya mereka dalam golongan berkenaan tidak tersisih daripada mengikuti perkembangan semasa dalam parti.