Halaman

29 November 2012

Jaga kebersihan Bandaraya Kuala Terengganu

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Kejayaan Tandas Eksklusif milik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapat pengiktirafan sebagai Tandas Terbersih 1Malaysia di negara ini, bakal menjadi ‘batu loncatan’ ke arah menjadikan Bandaraya Kuala Terengganu sebagai bandaraya terbersih di negara ini.

Jika masyarakat tempatan membantu menjaga kebersihan sekitar bandar, tidak mustahil hasrat dan impian tersebut boleh dicapai dalam masa terdekat ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said sendiri merupakan seorang pemimpin yang amat menitikberatkan soal kebersihan.

Malah, beliau pernah membangkitkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu isu penjagaan kebersihan agar masyarakat tempatan sedar mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekeliling.

Beliau secara sinis menyindir pemilik kereta mewah yang mengambil tindakan mudah membuang kulit rambutan melalui kereta ketika melalui jalan raya di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.

Pada suatu ketika beliau sering melalui jalan pantai di Batu Buruk untuk perjalanan ke pejabat pada waktu awal pagi bagi memastikan kakitangan MBKT membersihkan kawasan peranginan tersebut, sebelum pengunjung datang berehat di situ.

Baru-baru ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengisytiharkan tandas awam di Taman Shahbandar itu sebagai tandas awam terbersih di Malaysia, sekali gus merangkul Anugerah Emas.

Tandas eksklusif berkenaan berjaya menewaskan tujuh tandas awam yang lain bagi kategori Tandas Awam PBT (Bandaraya/Perbandaran) pada Pertandingan Anugerah Tandas Bersih 1Malaysia.

Pujian harus diberikan kepada MBKT kerana walaupun dari segi penggunaannya amat besar iaitu menghampiri 6,000 hingga 10,000 orang sebulan kerana kawasan ini menjadi lokasi karnival dan pasar malam, tetapi pada masa sama ia berjaya mengekalkan kebersihan dan keadaan tandas itu setelah hampir lapan tahun beroperasi.

Kita semua tentunya mengharapkan bukan setakat tandas berkenaan dijaga dengan sempurna, tetapi ia meliputi semua tandas awam yang terletak dalam bandaraya ini.

Begitu juga pemilik kedai makan, stesen minyak, pasar serta masjid dan surau di bandaraya ini perlu meningkatkan tahap kebersihan bagi memikat pelawat dan pelancong.

Peniaga di pasar malam dan semua premis sekitar bandar pula perlu mengelakkan sikap gemar membuang sampah di merata-rata tempat, bagi mengekalkan kebersihan sekitar bandar.

Jika semua pihak mengambil berat dan cakna kebersihan sudah pasti Bandaraya Kuala Terengganu akan menjadi bersih dan mendapat pujian.

Kita semua berharap jika ini berlaku, Kuala Terengganu akan dikunjungi lebih ramai pelancong dan mereka pasti memuji kebersihan dan keindahannya, sesuai dengan jolokannya “Bandaraya Warisan Pesisir Air”.