Halaman

25 November 2012

Rakyat berhak memilih

Oleh: Noraini Jusoh

Biar rakyat yang nilai dan pilih pemimpin yang mereka yakin boleh memerintah negara dengan aman dan harmoni.

Demikian ditegaskan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu, Badrul Hisham Zaki ketika diminta mengulas isu doa ‘KO-BN’ dan perebutan kuasa pemimpin pakatan pembangkang antara PAS, PKR dan DAP.

Badrul Hisham berkata, tidak ada gunanya pihak pembangkang menggunakan agama untuk meraih undi kerana masyarakat pada hari ini sedar siapa yang layak dipilih sebagai pemimpin.

"Biar rakyat sendiri yang nilai tindakan PAS mendoakan kehancuran Umno kerana jika mereka parti yang memperjuangkan agama Islam yang sebenar perbuatan sedemikian adalah tidak sesuai dengan perjuangan mereka.

"Rakyat pada hari ini bijak memilih dan biarkan mereka membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) nanti,” ujarnya kepada Teganukita baru-baru ini.

Katanya, di Terengganu khususnya di bawah pemerintahan Umno dan Barisan Nasional (BN) telah terbukti bahawa nasib rakyatnya sentiasa terbela dengan kepimpinan Umno yang sentiasa bersatu dalam membela nasib rakyat di negeri ini.

"Ini tidak berlaku dalam pakatan pembangkang kerana belum apa-apa mereka telah bercanggah pendapat mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri sekiranya mereka berjaya menawan Putrajaya selepas PRU-13 nanti,” ujarnya.