Halaman

27 November 2012

UMT tawar 27 program prasiswazah melalui enam fakulti

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) kini menawarkan 27 program pengajian prasiswazah melalui enam fakulti yang memberi penekanan kepada beberapa bidang utama khususnya sains dan teknologi.

 Naib Canselor UMT, Dato’ Dr Ibrahim Komoo berkata, bidang lain ialah sains sosial, pengurusan ekonomi, pengurusan sumber alam, agroteknologi dan sains makanan serta maritim dan sains marin.

“Program pengajian dalam bidang-bidang ini juga ditawarkan sehingga ke peringkat ijazah kedoktoran,” katanya di majlis Konvokesyen Ke-10 UMT baru-baru ini. Katanya ketika ini terdapat 665 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian peringkat pascasiswazah sarjana dan kedoktoran.

Menurutnya, usaha sedang dipergiatkan untuk menawarkan tambahan bilangan program diploma sebagai salah satu pendekatan bagi membantu memenuhi keperluan modal insan separuh mahir yang sangat diperlukan untuk pembangunan negara di samping menggalakkan pelajar yang berminat untuk terus melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah.

 “Antara program diploma bakal ditawarkan ialah Diploma Sains dan Teknologi, Diploma Pembangunan Sumber Marin dan Diploma Pengurusan Infrastruktur Marin,” katanya.

Tambahnya, pengantarabangsaan juga merupakan salah satu matlamat UMT dan usaha untuk menjadikan ‘universiti sebagai sebuah universal’ sedang dipergiatkan bagi menjadikannya relevan pada peringkat negara dan global.

“Pembangunan program akademik yang bersifat universal dan berkepentingan sejagat akan dibangunkan dengan mewujudkan beberapa program prasiswazah dan pascasiswazah yang bakal dikenali sebagai ‘program antarabangsa’,” katanya.

Sementara itu Dato’ Dr. Ibrahim berkata jumlah graduan tahun ini telah meningkat sebanyak 14 peratus iaitu 2,080 orang berbanding tahun lalu dan peningkatan ini sejajar dengan perancangan menambah bilangan 7,600 (sekarang) kepada 8,500 menjelang 2015 dan kepada 10,000 orang apabila negara mencapai status negara maju pada 2020.