Pasukan Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) muncul juara dalam cabaran Media Beach Challenge (MBC) 2012 yang berlangsung di pesisir Pantai Batu Buruk, semalam (30 November).
Tempat kedua menjadi milik pasukan Bernama, manakala ketiga Kumpulan Utusan. Kesemua pemenang berjaya membawa pulang hadiah berupa barangan sukan, hamper dan juga plak penyertaan.
Dalam cabaran yang bermula jam 9 pagi dan berakhir tiga jam kemudian itu, kesemua pasukan yang bertanding perlu menyelesaikan lapan tugasan yang menguji ketangkasan fizikal dan minda secara berkumpulan.
Antara tugasan itu seperti menghasilkan replika kapal layar, istana pasir, mencari bola pingpong yang tersembunyi dalam pasir, membawa guli dalam piring secara berhalangan dan makan makanan mentah.
Ketua pasukan Kawat, Haji Ahmad Redza Arshad, berkata acara itu bukan hanya menguji kemampuan minda dan fizikal mengharungi setiap tugasan, sebaliknya dapat memupuk semangat setiakawan dan muafakat yang tinggi.
“Pertandingan seumpama ini memang jarang dilaksanakan. Bagaimanapun, kami pihak media amat menghargai usaha penganjur melaksanakan acara ini kerana ia bukan sahaja memberi peluang kami menerokai sesuatu pengalaman baru, di luar bidang tugasan media, malahan memanfaatkan keindahan alam semula jadi di Terengganu dengan melakukan aktiviti menyeronokkan,” katanya.
Penyertaan tahun ini meningkat berbanding sejak 2010 apabila 14 pasukan menyahut cabaran menyertai pertandingan anjuran Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Terengganu itu.
Antara pasukan media lain yang turut serta adalah Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Harian Metro, Media Prima dan Sinar Harian.
Pengarahnya, Encik Mohd Sabri Zakaria menyampaikan hadiah kepada semua pemenang dan peserta bertanding.
Program itu juga bertujuan mempromosikan Kempen 1Malaysia Bersih dan Indah Jelajah Terengganu 2012 yang merupakan antara program utama Kementerian Pelancongan Malaysia.