Halaman

26 November 2012

Bangsa Melayu harus optimis untuk maju

Oleh: Noraini Jusoh

Bangsa Melayu harus memandang jauh ke hadapan dan selalu berfikiran optimis untuk maju dalam bidang perniagaan.

Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Tan Sri Muhammad Ali Hashim berkata setelah lebih 50 tahun negara merdeka, bangsa Melayu harus sedar tidak selalunya akan berada dalam zon selesa.

"Dalam kedudukan politik negara yang meruncing, kita tidak boleh meramal apa yang akan berlaku kepada bangsa Melayu pada masa hadapan sekiranya kuasa politik dipegang oleh orang bukan Melayu.

"Sebagai golongan yang berkecimpung dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, orang Melayu yang merupakan bangsa pahlawan harus berjihad untuk memartabatkan bidang perniagaan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam sendiri khususnya,” ujarnya di program Bicara Tokoh anjuran Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, baru-baru ini.

Membincangkan tajuk Khalifah Ganti Superman-Cabaran Pengurusan Masa Depan, beliau berpendapat kuasa politik dan ekonomi saling berkait rapat dan sekiranya orang Melayu berjaya dalam bidang ekonomi secara tidak langsung dapat membantu umat Islam yang lain.

Beliau yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Corporation berkata, orang Melayu harus bersatu dan saling membantu demi merealisasikan hasrat membina satu empayar perniagaan yang kukuh dalam kalangan bangsa Melayu.

Berpengalaman lebih 28 tahun menjadi CEO, beliau turut mengingatkan para peserta program yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu bahawa membina perniagaan bukanlah untuk sehari dua tetapi untuk generasi akan datang.

Tambah beliau, binalah perniagaan berlandaskan nilai Islam yang sebenar agar apa yang diusahakan akan diberkatiNya dan diberikan keuntungan yang setimpal.