Halaman

16 December 2012

Ringan beban, segerakan hasrat berumahtangga

Oleh: Aida Abd Rahman

Bantuan RM2,000 kepada ibu dan bapa tunggal yang ingin berkahwin semula bermula tahun depan mampu membantu mengurangkan bebanan mana-mana golongan itu yang berhasrat membina kehidupan berumahtangga bersama pasangan masing-masing.

Pengerusi Kelab Ibu Tunggal Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam, Puan Saidah Salleh, 56, berkata dia tidak pernah terfikir sama sekali kerajaan akan menyediakan bantuan seumpama itu yang dapat menggalakkan golongan ibu atau bapa tunggal untuk berkahwin semula selama bercerai mahupun berpisah mati.

 “Sekiranya sudah ada pasangan dan calon pilihan untuk dibuat suami serta isteri, maka dengan bantuan RM2,000 setiap ibu atau bapa tunggal itu mampu menyegerakan impian mendirikan rumahtangga.

“Insiatif kerajaan ini membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib golongan ibu atau bapa tunggal dalam setiap perancangan dan peruntukan tahunannya selain bajet RM20 juta untuk menjalankan pelbagai program bagi meningkatkan taraf hidup golongan itu,” katanya.

 Seorang ibu tunggal dari Kampung Bukit Kubang Jambu, Puan Zulhanita Jusoh, 40, berkata pengumuman kerajaan itu sebagai satu hadiah kepada golongan itu untuk berkahwin dan mempunyai keluarga yang sempurna selepas hidup `membujang’.

“Keputusan kerajaan itu amat tepat pada masanya. Selain membantu golongan yang tidak bernasib baik dan kurang berkemampuan, bantuan itu juga dapat membantu menyegerakan hasrat `membina masjid’ apatah lagi jika sudah berhajat menamatkan zaman bujang masing-masing.

 “Bagaimanapun, jangan tergesa-gesa sehingga tersilap memilih pasangan hidup. Sebaliknya, jadikan pengalaman hidup ketika melalui fasa penceraian sebelum ini sebagai pengajaran bagi mengelak masalah yang sama menimpa kita pada kemudian hari,” katanya.

Bermula Januari depan, Kerajaan Terengganu bakal memperuntukkan bantuan sebanyak RM2,000 kepada mana-mana ibu tunggal dan bapa tunggal yang berkahwin semula.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, berkata bantuan julung kali diwujudkan itu bertujuan mengalakkan golongan berkenaan mendirikan rumah tangga semula selepas melalui fasa perceraian.

"Peruntukan RM2,000 berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban golongan itu untuk meneruskan kehidupan baru bersama pasangan mereka," katanya pada sesi penggulungan pada persidangan DUN, baru-baru ini.

Sehingga kini seramai 21,838 ibu tunggal dan 2,890 bapa tunggal direkodkan di negeri ini.

Selain itu, peruntukan RM20 juta dalam Bajet Terengganu 2013 di bawah program ibu tunggal turut diagihkan kepada golongan bapa tunggal.

 "Di dalam Belanjawan 2013 sebanyak RM20 juta disediakan untuk ibu tunggal dan daripada jumlah itu kita akan ambil kira untuk diberi kepada bapa tunggal juga," katanya.

 Dato’ Yahya berkata, kerajaan menyediakan pelbagai program di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) dan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Terengganu bagi membantu meningkatkan taraf hidup ibu tunggal seperti menyediakan  bengkel, kursus kemahiran, masakan dan jahitan, bengkel pemantapan pengurusan dan lawatan sambil belajar.

 

Nelayan Seberang Takir terima bantuan

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 450 nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima bantuan melalui Program Bantuan Nelayan Ihsan Samudera Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).



Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Takir, Dato’ Haji Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, melalui program tersebut sejumlah RM157,500 diperuntukkan pihak kerajaan untuk meringankan beban nelayan di kawasan terbabit.

"Sudah menjadi tradisi kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Umno membantu golongan nelayan di sini terutamanya apabila tiba musim tengkujuh.

"Dengan pemberian wang tunai RM200 dan barangan keperluan dapur diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan nelayan dalam menyediakan keperluan harian keluarga mereka,” ujarnya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyerahkan sumbangan kepada golongan nelayan bersempena Karnival Kekeluargaan 1Malaysia DUN Seberang Takir 2012 bertempat di Bangunan Penyelaras Umno DUN tersebut, baru-baru ini.



Katanya, dengan pemberian bantuan tersebut ditambah dengan elaun sara hidup bulanan nelayan sebanyak RM200 dapat digunakan sebaiknya kerana kebanyakan penduduk di DUN Seberang Takir bergantung hidup kepada hasil laut.

Dato’ Haji Ahmad Razif merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri turut mengharapkan golongan nelayan di kawasan terbabit menyokong kerajaan sedia ada kerana telah terbukti nasib mereka sentiasa terbela dibawah pimpinan BN dan Umno.

 



Terengganu gagal mara ke final



Kedah melangkah ke final Kejohanan Bolasepak Piala Emas Raja-Raja menerusi kelebihan jaringan tempat lawan selepas seri 1-1 dengan Terengganu pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu malam semalam.


Pada aksi separuh akhir pertama di Alor Setar pada 5 Dis lalu, kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

Bagaimanapun, beraksi di hadapan hampir 6,000 penyokong, Terengganu bermula dengan begitu bersemangat untuk mendahului 1-0 pada minit ke-16 menerusi jaringan ketua pasukan Mohd Nurul Aliff Zainal Abidin.

Namun, Kedah bangkit semula pada babak kedua dengan mengatur gerakan kemas serta melakukan serangan bertali arus.



Usaha Kedah itu berbaloi apabila Hattapon al/ Bun An menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-85, sekali gus memastikan pasukan itu mara ke pentas final tahun ini dengan kelebihan peraturan jaringan di tempat lawan.

 





Keputusan PMR diumum 19 Disember (Rabu)

Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) akan diumumkan pada 19 Disember ini (Rabu).

Seramai 23,025 pelajar tingkatan tiga dari negeri ini, termasuk 124 calon berkeperluan khas (CBK) seperti buta, pekak, bisu, rabun, spastik dan lembam, menduduki peperiksaan PMR tahun ini.

Kesemua calon berkenaan menduduki peperiksaan di 192 pusat peperiksaan melibatkan 135 sekolah bantuan penuh kerajaan; tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM); masing-masing dua dan empat swasta dan persendirian.

Pada tahun ini, seramai 22,229 adalah calon sekolah bantuan penuh kerajaan; 495 calon MRSM; 73 calon swasta dan 228 calon persendirian.

Sejumlah 481,424 pelajar tingkatan tiga di seluruh negara menduduki peperiksaan PMR tahun ini.


15 December 2012

Petugas Jalinan Rakyat (JR) perlu fakta untuk berhadapan dengan masyarakat


Dr Abdullah turut mendengar ceramah disampaikan penceramah jemputan

Oleh: Mohammad Ishak 

Ahli Pergerakan Wanita UMNO yang dilantik sebagai petugas Jalinan Rakyat (JR) perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan serta mempunyai banyak maklumat berfakta ketika turun padang menemui pengundi.

Ahli Parlimen Besut,Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin berkata, petugas JR yang menjadi penggerak utama parti juga perlu mempunyai kemahiran berinteraaksi dengan masyarakat dan jangan menunjukkan sikap angkuh.

Sebaliknya, kata Penasihat Agama Perdana Menteri itu ketika turun padang berjumpa rakyat petugas JR juga sepetutnya dibekalkan dengan pelbagai risalah bercetak yang mengandungi malumat mengenai rancangan pembangunan kerajaan.

“Jika perkara seperti itu dibekalkan sepenuhnya wanita yang menjadi perayu undi tidak mudah diperkecilkan oleh masyarakat,” katanya ketika merasmikan Majlis Penerangan Isu Semasa kepada jentera wanita UMNO Bahagian Besut hari ini.

Majlis anjuran Biro Penerangan UMNO Bahagian itu disertai 800 peserta membabitkan empat kawasan DUN iaitu DUN Hulu Besut,Kota Putera,Kuala Besut dan Jertih.

Dr Abdullah berkata, petugas parti jangan bimbang dengan status pembangkang di negeri ini kerana mereka bukalah sebuah parti yang kuat seperti disangka sebaliknya kelemahan parti UMNO sendiri menjadi punca kekalahan apabila berlaku pilihan raya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Bahagian, Engku Naimah Engku Taib berkata, pihaknya sudah bersiap sedia untuk turun padang membantu jentera parti pada bila-bila masa sahaja.

Katanya, wanita sudah membuat perancangan dan stretegi untuk mengempur pihak lawan bagi memastikan Terengganu tetap milik Barisan Nasional (BN).

Kerajaan peruntukkan RM43 juta bagi basmi kemiskinan

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan RM43 juta pada tahun depan bagi membiayai program pembasmian kemiskinan, pembangunan kampung dan masyarakat di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan meneruskan Program Bantuan Rumah, Program Peningkatan Pendapatan dan Program Latihan Kemahiran & Kerjaya pada tahun depan.

 “Di bawah Program Jaya Diri kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) pula, dijangkakan seramai 1,000 keluarga mudah miskin akan mendapat manfaat menjana dan meningkatkan taraf ekonomi keluarga.

“Tidak dilupakan, generasi kedua keluarga miskin turut diberi perhatian melalui kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Kolej Bestari supaya mereka dapat meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan mengelakkan daripada mewarisi kemiskinan keluarga ,” katanya ketika membentangkan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Menteri Besar berkata, program motivasi turut dilaksanakan supaya dapat mengubah minda mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Di samping itu, kerajaan bersetuju memperuntukkan sejumlah RM47.46 juta bagi pelbagai bantuan yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, termasuk kepada 21,000 penerima bantuan am negeri.

“Bagi Bantuan Bina Baru Rumah, kerajaan telah membuat beberapa penambahbaikan dan ini telah meningkatkan kos pembinaan daripada RM33,000 seunit kepada RM40,000 seunit.

 “Sebanyak 320 unit rumah baru akan dibina pada tahun 2013 iaitu 10 unit setiap DUN,” katanya.

Sidang DUN-SATU rugi RM1.63 juta sebulan jika beri air percuma

Oleh; Esah Abdullah

Syarikat Air Terengganu (Satu) akan mengalami kerugian sebanyak RM1.63 juta sebulan atau RM19.56 juta setahun jika syarikat itu memberi 20 kiub meter padu air secara percuma kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato’ Haji Za’abar Mohd Adib berkata, kerugian ini tidak termasuk lain-lain masalah berkaitan dengan kebocoran dan sebagainya.

Beliau berkata demikian sebagai memberi respon kepada pertanyaan YB Haji Alias Abdullah (BN-Alor Limbat) sekiranya air percuma diberikan , ketika sesi penggulungan Bajet 2013 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam .

Menjawab pertanyaan Haji Abdul Wahid Endut (Pas-Wakaf Mempelam) mengenai status bumbung Stadium Sultan Mizan bila akan siap, beliau kesal dengan gambaran yang diberi pihak pembangkang iaitu stadium bernilai RM300 juta roboh.

“Tapi hakikat sebenarnya hanya sebahagian bumbungnya sahaja dan kini kerja-kerja pembaikian telah dimulakan pada Oktober lalu secara berperingkat,” katanya.

Katanya, kerja-kerja berkenaan ialah kerja pembaikian dan menguatkan struktur, pembaikian padang serta kerja mekanikal dan elektrikal. Berkait dengan kecurian yang berlaku , Datuk Haji Zaa’bar berkata terdapat enam laporan kecurian yang dibuat dan sedang berada dalam tindakkan pihak berkuasa polis.

Hampir 114,000 murid dapat e-Book percuma

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Seramai 113,922 murid sekolah rendah di seluruh negeri telah dibekalkan e-Book secara percuma sejak pemberian itu dimulakan pada tahun 2009.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata bagi tahun ini saja setakat bulan Oktober seramai 21,596 murid Tahun Empat sudah diberi kemudahan tersebut untuk pembelajaran mereka.

“Sejajar dengan pemberian e-Book pada tahun ini 2,069 orang guru pula dibekalkan dengan laptop (komputer riba) bagi membantu pengajaran dan pembelajaran mereka,” katanya ketika membentangkan Bajet 2013 pada sidang Dewan Undangan Negeri, kelmarin.

Menteri Besar berkata, program tersebut yang banyak memberi faedah kepada murid-murid akan diteruskan lagi pada masa akan datang.

“Sebagai pelengkap kepada e-Book pada tahun 2011 kerajaan telah memperkenalkan Program Kelas Maya kepada tiga buah sekolah iaitu SK Paya Bunga, SK Kompleks Seberang Takir dan SK Teluk Kalong.

 “Kejayaan sekolah perintis ini dalam melaksanakan Program Kelas Maya, mendorong kerajaan negeri pada tahun ini mengadakan satu dasar baru iaitu 1 DUN 1 Kelas Maya.

 “Sehingga September 2012, sebanyak 124 buah Kelas Maya di 41 buah sekolah di seluruh negeri telah ditubuhkan. Pada tahun depan, kerajaan menyediakan RM3.2 juta untuk program ini,” katanya.

Peruntukkan RM3,000 bantuan penubuhan Kelab Warga Emas DUN Jabi



Oleh: Mohammad Ishak 

Berkat kesabaran dan kesedaran golongan warga emas di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi ingin bersatu dalam sebuah organisasi akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka Berjaya menubuhkan persatuan sendiri.

Penubuhan Kelab Warga Emas (KWE) yang disokong oleh pemimpin satu lagi usaha pihak terbabit untuk membantu golongan berkenaan mendapat pengiktirafan dan memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan.

KWE Jabi ditubuhkan bertujuan mengabungkan warga emas di kawasan berkenaan dalam satu pertubuhan bagi membolehkan mereka menjalankan pelbagai aktiviti berkumpulan selain merapatkan hubungan antara golongan berkenaan dengan masyarakat.

Ahli Parlimen Setiu, Mohd Jidin Shafiee melancarkan penubuhan kelab berkenaan yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Pak Wong, dekat Jertih,

Seramai 200 warga emas sekitar DUN Jabi yang menghadiri majlis itu sepakat menubuhkan KWE bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti yang sesuai untuk golongan berkenaan.

Pada majlis penubuhan itu, Mohd Jidin meluluskan peruntukan pentadbiran RM3,000 bagi membolehkan kelab menjalankan aktiviti yang dirancang.

Beliau berharap, dengan adanya kelab seumpama itu banyak aktiviti dapat dilaksanakan untuk golongan terbabit.

“Penubuhan KWE itu sebahagian usaha kerajaan untuk membantu golongan berkenaan menerusi saluran yang sah kerana hanya melalui organisasi sahaja pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan dapat diberikan kerajaan,” katanya.

Kerajaan Terengganu berjaya turunkan kadar kemiskinan

Oleh: Suriati Ali

 Kerajaan dalam memberi tumpuan kepada konsep 'Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan' telah mengutamakan isu yang dekat di hati rakyat iaitu kemiskinan.

 Di bawah usaha berterusan selama empat tahun, sejak pilihan raya umum 2008, ia berjaya menurunkan kadar kemiskinan daripada 4.79 peratus pada tahun 2008 kepada 3.18 peratus tahun lepas.

 Usaha ini diteruskan kerana kerajaan negeri menetapkan matlamat mencapai satu peratus kadar kemiskinan menjelang akhir 2013.

 Untuk merealisasikannnya, ia telah memperuntuk sebanyak RM43 juta bagi program pembasmian kemiskinan seluruh negeri dalam belanjawan untuk tahun depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yakin rakyat negeri ini akan memberi mandat sekali lagi kepada kerajaan BN untuk memerintah Terengganu pada pilihan raya umum ke-13 dengan berkata BN tidak pernah lari daripada asas perjuangannya, mengutamakan kesejahteraan hidup rakyat, selama ia mentadbir negeri.

 Katanya rakyat akan membuat pilihan yang bijak terutama selepas mereka melalui pengalaman pahit berada di bawah pemerintahan kerajaan negeri PAS antara tahun 1999 dan 2004.

 Pada pilihan raya 2008, BN mengekalkan penguasaan dua pertiga di negeri Terengganu apabila memenangi 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.

 "Kami yakin (rakyat akan mengekalkan BN) dengan apa yang kami lakukan dan rakyat menerima apa yang kami lakukan," katanya baru-baru ini.

 Dalam Belanjawan 2013, kerajaan memperuntuk RM1.995 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM1.076 bilion untuk perbelajaan pembangunan.

 Belanjawan itu memberi fokus kepada empat teras - mengurangkan defisit, memantapkan pembangunan modal insan berkualiti, memelihara kesejahteraan rakyat dan meningkatkan daya saing negeri.

 Anggota Dewan Undangan Negeri BN dari Tepuh, Muhamad Ramli Nuh bertanyakan soalan ini sama ada wajar bagi pembangkang mendoakan kemusnahan kerajaan negeri yang diterajui Umno ini, sedangkan ia tidak pernah jemu membela agama, bangsa dan negeri sejak 55 tahun dulu