Halaman

14 April 2013

Nama calon BN dijangka diumum Selasa (16 April)

Nama-nama calon yang bakal bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) djangka diumumkan Selasa ini (16 April).

Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, dijadualkan membuat pengumuman itu selepas mendapat `lampu hijau’ dari Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Menurut sumber-sumber, Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar, akan ke Kuala Lumpur esok bagi menerima watikah bakal calon-calon BN yang akan bertanding kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu pada PRU13.

Semua calon tersebut akan dimaklumkan mengenai pemilihan mereka dan pengumuman mengenainya akan dilakukan Dato’ Seri Haji Ahmad dalam satu majlis yang akan diatur nanti.

Sebelum ini Menteri Besar berkata, beliau sudah bersedia mengumumkan senarai calon BN pada bila-bila masa dan masih menunggu kebenaran atau `lampu hijau dari pucuk pimpinan parti BN.

“Apa yang pasti calon yang bakal diumumkan dan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) nanti, sudah pasti berjiwa rakyat, calon boleh menang, berkaliber dan berwibawa bagi menjalankan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya.

Industri pelancongan suram ketika Pas perintah Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Semasa pemerintahan Pas sekitar tahun 1999, jumlah kedatangan pelancong ke negeri ini tidak sehebat sekarang dan yang menjadi tanda tanya adakah disebabkan Pas kurang memberi perhatian terhadap industri ini?

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, industri pelancongan adalah suatu industri yang dinamik.

"Kekuatan atau kejayaan sesuatu produk pelancongan itu memang bergantung kepada kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), pengusaha-pengusaha hotel dan juga media.

"Bantuan media sangat penting untuk mempromosikan produk pelancongan yang bukan sahaja menarik kepada pelancong tetapi jika media dengar pun tidak menarik maknanya ia tidak ada satu daya tarikan untuk diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pesta Hidangan Terengganu (masakan ketam nipah, udang kara dan udang ketok) di Kedai Maggi Ketam Kubang Jela, Manir, semalam.

Katanya, keadaan tersebut jelas menunjukkan semasa pemerintahan Pas, industri pelancongan di negeri ini suram kerana tidak ada daya tarikan untuk ditonjolkan.

"Kerajaan negeri pada masa itu mungkin tidak mempunyai kreativiti dan juga tidak ada satu sumber untuk mempromosikan perkara-perkara baru dan destinasi-destinasi menarik di Terengganu.

"Sebagai contoh, kawasan air terjun umpamanya jika tidak ada penyeliaan seperti kebersihan kurang dijaga, sampah tidak dipungut dan sebagainya maka pelancong tidak berminat untuk berkunjung ke lokasi terbabit,” katanya.

Jelas beliau, pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kelak, rakyat negeri ini diharap terus memberi mandat kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar keadaan sedemikian tidak berulang.

"Kerajaan BN adalah satu-satunya kerajaan yang stabil serta melaksanakan setiap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Hal ini terbukti dengan kestabilan politik yang ada sekarang membolehkan kita bekerja dalam suasana yang kondusif,” tambahnya.

 

Ketengah terima sumbangan RM1.35 juta

Oleh: Suriati Ali

 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menerima sumbangan RM1.35 juta dari lima anak syarikatnya untuk mengisi Tabung Amanah Masyarakat Ketengah.

 Pengurus Besarnya Wan Mat Amin Wan Daud berkata tabung itu bertujuan memberi pelbagai bantuan kepada Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, penduduk miskin, anak yatim serta warga emas di wilayah itu.

 "Anak syarikat yang menyumbang untuk tabung ini ialah Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd, YIT-Ketengah Perwira Sdn Bhd, Ketengah Perwira Sdn Bhd dan Ketengah Jaya Sdn Bhd yang masing-masing menyumbangkan RM300,000.

"Syarikat Rakyat Ketengah Perwira Sdn Bhd pula menyumbang sebanyak RM100,000 manakala sebuah syarikat korporat iaitu Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad turut menyumbangkan RM50,000," katanya.

Setiap tahun, Ketengah melalui tabung amanah itu memperuntukkan hampir RM1 juta dalam pelbagai bentuk termasuk sumbangan wang tunai atau mengikut keperluan penerima seperti pakaian dan buku sekolah bagi pelajar daripada keluarga miskin

 

BN tidak main politik kotor

Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak akan sesekali terlibat dengan politik kotor yang dipenuhi fitnah dan mengaibkan maruah mana-mana individu sepanjang kempen pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Pengerusinya, Dato’ Seri haji Ahmad Said, berkata BN Terengganu juga tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah atau mendedahkan aib seseorang kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

 "Saya sudah nasihatkan semua petugas parti di Terengganu supaya berhati-hati dengan sebarang hebahan maklumat yang ingin disebarkan seperti risalah dan bahan kempen mestilah mendapat berita yang sahih.

 "Kita tidak mahu bersekongkol dengan perkara-perkara aib atau fitnah, kita tidak mahu tanggung dosa. Itu prinsip saya," katanya kepada pemberita selepas melawat 10 penduduk dan warga emas yang terlantar sakit di rumah masing-masing di Kampung Lubok Lesung di Kuala Terengganu, semalam.

Dato’ Seri Haji Ahmad yang juga Menteri Besar enggan mengulas panjang berhubung penyebaran video seks dikatakan mirip seorang pemimpin kanan sebuah parti di negeri ini yang mula tersebar sejak malam semalam.

 Seorang doktor perubatan yang turut serta dalam lawatan Ahmad dan isteri Toh Puan Seri Norliza Mahmud, memberikan rawatan segera kepada pesakit berkenaan.

Menurutnya, beliau sendiri tidak melihat video tersebut dan juga tidak mahu timbul fitnah apabila kesahihan video itu juga belum dibuktikan.

 “Saya tidak berani komen sebab tidak mahu terlibat dalam memfitnah orang lain. Itu bukan prinsip saya. Kalau pasti betul dan disahkan, barulah kita boleh bercakap agar tidak jadi fitnah.

 “Namun bagi orang Islam, kalau betul sekalipun, tidak elok dedahkan hal peribadi orang lain. Kalau kita tutup peribadi (aib) orang, Insya-ALLAH aib kita juga akan ditutup di akhirat kelak,” katanya.

 Beliau turut mengingatkan semua petugas parti supaya mengawal emosi agar tidak terlibat dengan sebarang unsur provokasi sepanjang kempen PRU13.

Teganukita 79


Petugas SPR sedia berkhidmat

Oleh: Suriati Ali

Seramai 10,821 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Terengganu diminta menjalankan tanggungjawab di 354 pusat mengundi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

 Pengarahnya, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab berkata pihaknya menjangkakan aktiviti pilihan raya kali ini lebih rancak dan `panas’ dapat dikendalikan dengan lancar dan sempurna oleh kesemua petugas dilantik.

“Saya percaya mereka dapat memahami tanggungjawab serta peranan masing-masing kerana sebelum ini sudah menghadiri taklimat secara terperinci,” katanya.

Katanya, SPR menasihatkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya tidak pilih kasih dalam mengambil sebarang tindakan kepada parti politik bagi mengelak wujudnya ketegangan dalam masyarakat.

 “Sebagai contoh, isu pemasangan bendera parti politik di luar tempoh kempen perlu ditangani dengan adil dan sebarang tindakan perlu seragam kepada semua parti politik.

 "Janganlah pula parti A boleh, parti B tak boleh.

Oleh itu, SPR nasihat PBT supaya laksanakan peraturan kecil yang tertakluk dalam setiap PBT bagi mengatasi masalah ini," katanya.

 Menuruttnya, pihaknya akan melantik dua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya bagi setiap kawasan Parlimen untuk memantau perkara ini sebaik sahaja penamaan calon.

 “Pasukan penguatkuasa ini terdiri dari sekurang-kurangnya lima anggota iaitu wakil PBT, wakil polis dan wakil-wakil dari parti yang bertanding,”katanya

.

Kerajaan negeri giat promosi hidangan unik Terengganu

Oleh: Noraini Jusoh

Kerajaan negeri melalui Bahagian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan giat mempromosikan hidangan dan makanan unik Terengganu khususnya bersempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Bertempat di Kedai Maggi Ketam Kubang Jela, Manir, pertandingan masakan ketam nipah, udang kara dan udang ketok diadakan sempena pesta hidangan Terengganu di mana majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said, semalam.

Dato’ Haji Abdul Rahin berkata, promosi makanan Terengganu di kedai itu merupakan kali kedua dibuat selepas makanan tradisional juga dipromosikan di kedai yang sama pada tahun lepas.

"Promosi ini memberikan satu kelainan kepada promosi kedai-kedai setempat di mana kali ini kita memperkenalkan udang kara dan juga ketam nipah.

"Dulu, di Terengganu ketam nipah tidak sepopular sekarang begitu juga dengan udang kara serta udang ketok,” ujarnya pada sidang media selepas program tersebut.

Katanya, kerajaan negeri bersedia untuk memperkenalkan kedua-dua makanan berkenaan kerana Terengganu merupakan negeri yang terkenal menghasilkan sumber kedua-dua hidupan itu berikutan alam semulajadinya yang masih lagi baik.

"Lazimnya, ketam nipah hidup di kawasan berselut yang sampai air tawar dan air masin serta mempunyai hutan bakau dan nipah yang boleh memberikan bekalan makanan kepada hidupan tersebut.

“Sementara, udang kara dan udang ketok pula hidup di lautan Terengganu yang terkenal dengan terumbu karang dan airnya yang masih lagi belum tercemar,” katanya.

Tambah beliau, pertandingan tersebut berasaskan masakan ketam nipah dan ketam laut berikutan menu yang semakin popular di Terengganu bukan sahaja masakan maggi ketam tetapi masakan-masakan sup dan juga gulai.

"Selain pertandingan yang diadakan, tukang masak professional juga telah menunjukkan demostrasi masakan hidangan yang cukup istimewa di mana rasa keenakan udang kara dan ketam nipah memberikan satu keunikan dalam pelbagai hidangan,” katanya.

Katanya, beliau mengharapkan keunikan itu boleh membuatkan orang yang merasai masakan tersebut akan datang lagi ke kedai berkenaan.

Menurut beliau, telah menjadi sasaran pihaknya untuk mewujudkan satu daerah satu produk terutama dari aspek makanan dan disebabkan itulah program tersebut tidak dibuat di dewan atau hotel tetapi dibuat di tempat pengusaha itu sendiri untuk mendapatkan penglibatan secara langsung daripada mereka.

"Sebagai contoh, melalui program yang dibuat ini daerah Kuala Nerus dapat memperkenalkan udang dan ketam begitu juga sekiranya dibuat di Besut dan Kemaman yang terkenal dengan otak-otak dan satar juga akan memberi peluang kepada peserta untuk tonjolkan keunikan produk daerah masing-masing,” jelasnya.

Tambah beliau, Terengganu masih mempunyai sungai yang bersih dan mampu membekalkan sumber hidupan unik berkenaan kepada kedai-kedai dan penduduk setempat untuk dinikmati penggemarnya.

"Sungai dan alam sekeliling yang tidak tercemar dan masih lagi bebas daripada sisa buangan, toksid, racun dan minyak yang mengotorkan air akan menjamin kelangsungan hidup pemangsa-pemangsa seperti udang dan ketam.

"Di samping, hutan bakau dan nipah yang masih terjaga akan terus menghasilkan sumber makanan kepada pemangsa tersebut untuk memastikan penggemarnya terus dapat menikmati hidangan unik berkenaan," katanya.

 

13 April 2013

Pakatan Pembangkang makan gu


Oleh: Mohammad Ishak

ISU video lucah yang dikaitkan dengan seorang pemimpin kanan parti PAS  menarik perhatian rakyat negara ini kerana ia tiba-tiba muncul menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei depan.

Kes berkenaan yang kini dalam tindakan Polis Bukit Aman mengejutkan banyak pihak kerana ia membabitkan individu yang menjadi pemimpin kanan dalam sebuah parti yang mendakwa perjuangan Islam.

Biar pun pucuk pimpinan PAS cuba menafikan perilaku individu terbabit tetapi umum mempercayai ketulenan rakam video terbabit yang sememangnya jelas dan memaparkan imej pemimpin yang dikenali ahli parti berkenaan.

Isu penyebaran VCD itu yang didakwa bermula di daerah Besut kini sedang mendapat perhatian seluruh rakyat negeri ini untuk mengetahui siapa dalang yang menerbit, merakam dan mengedar video terlaris itu.

Bagaimanapun, dua suspek yang ditahan polis dalam kes mengedar VCD itu di Kampung Alur Lintang, dekat Jertih, adalah dipercayai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Jika benar ia dilakukan oleh dua suspek itu dari PKR amat jelas  sekali sekali perbuatan itu dianggap “makan gu” kerana ingin membunuh karier seorang pemimpin dari sebuah parti rakan kongsi dalam Pakatan Pembangkang (PP).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata polis sudah menerima laporan berhubung dua individu terbabit dan kertas siasatan dibuka atas dakwaan mengedar dan memiliki video lucah.

Bagaimanapun, bagi Presiden PAS,Dato’ Seri Hadi Awang melihat isu video lucah yang dikaitkan dengan pemimpin kanan parti itu sebagai bukan isu besar.

“Perbuatan memfitnah seperti itu bukan budaya orang Islam dan ditegah oleh agama,” katanya.

Mustafa tidak tanding PRU13

Setiausaha Agung Pas, Dato’ Mustafa Ali yang dikaitkan dengan video seks melibatkan seorang wanita yang belum dikenali, dikatakan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang diadakan 5 Mei ini.

Menurut sumber-sumber, nama pemimpin Pas itu tidak akan dicalonkan sama ada di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana popularitinya semakin menurun sejak kebelakangan.

Apatah lagi beliau kini dikaitkan dengan video seks yang dikatakan pelakon lelaki adalah mirip beliau.

Sehingga ini beliau belum menafikan mengenai video seks tersebut yang telah disebar luas dalam media baru.

Sebelum ini, Mustafa tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat pada PRU 2004 dan 2008. Beliau juga pernah tewas bagi perebutan kerusi Parlimen Dungun pada tahun 2004.

Jangan silap pilih pemandu : MB

Oleh: Aida Abd Rahman

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said mengingatkan penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir agar menggunakan khidmat `pemandu’ yang bertauliah dan berdisiplin bagi membawa kenderaan yang sudah serba baik disediakan kepada mereka bagi mengelak terbabas.



Dato’ Seri Haji Ahmad Said menggunakan perumpamaan itu ketika berucap di hadapan kia-kira 2,000 penduduk DUN Manir sempena Program Sepakat Komuniti 1Malaysia di Padang Perumahan Awam Kos Rendah Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Norliza Mahmud; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato’ Ibrahim Abdul Rahman; Pengarah Penerangan negeri, Puan Azizah Awang dan Pegawai Pembangunan DUN, Encik Yusof Awang Hitam.

“Kereta kita molek dah, pemandu kita molek dah, tayar molek dan baru, semua molek belaka dah. Kita ada arah tuju kita supaya tidak tersasar dan membuktikan kita mampu hidup bersatu-padu dan terus maju.

“Pemandu kita sudah baik, jangan cari pemandu tua dan berkain pelikat, jika tersilap langkah ketika memandu boleh terbabas dan kemalangan pula,” katanya lagi.

Oleh itu, beliau meminta supaya penduduk DUN Manir melakukan perubahan dan bersama memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) supaya agenda pembangunan yang selama ini dilaksanakan kerajaan dapat diteruskan tanpa ada sempadan politik di peringkat DUN, negeri dan Pusat.

Katanya, Kerajaan BN menepati janji yang diuar-uarkan, malah banyak kemudahan dan kebajikan yang disediakan kepada penduduk selama ini bukan terkandung dalam manifesto mahupun janji kerajaan, namun tetap dilaksanakan sebagai tanggungjawab kepada rakyat yang memerlukan pembelaan.

 “Kerajaan BN buat lebih 300 rumah murah di kawasan ini, itu kita tidak berjanji pun sebelum ini. Malah, jika BN menang selepas PRU13 nanti, 1,000 lagi rumah rakyat akan kita bangunkan di Manir ini.



“Penduduk perlu sedar sepanjang di bawah wakil rakyat Pas, nasib mereka langsung tidak terbela. Apa yang Pas buat. Langsung tiada melainkan Kerajaan BN dan Pegawai Pembangunan DUN, Encik Yusof menjaga kebajikan penduduk selama ini. Jadi, tiba pilihan raya nanti, satu sahaja saya minta, undilah Barisan Nasional untuk memastikan lebih banyak pembangunan di kawasan ini,” katanya.