Oleh: Noraini Jusoh
Kerajaan negeri melalui Bahagian Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan giat mempromosikan hidangan dan makanan unik Terengganu khususnya bersempena Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.
Bertempat di Kedai Maggi Ketam Kubang Jela, Manir, pertandingan masakan ketam nipah, udang kara dan udang ketok diadakan sempena pesta hidangan Terengganu di mana majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Haji Abdul Rahin Mohd Said, semalam.
Dato’ Haji Abdul Rahin berkata, promosi makanan Terengganu di kedai itu merupakan kali kedua dibuat selepas makanan tradisional juga dipromosikan di kedai yang sama pada tahun lepas.
"Promosi ini memberikan satu kelainan kepada promosi kedai-kedai setempat di mana kali ini kita memperkenalkan udang kara dan juga ketam nipah.
"Dulu, di Terengganu ketam nipah tidak sepopular sekarang begitu juga dengan udang kara serta udang ketok,” ujarnya pada sidang media selepas program tersebut.
Katanya, kerajaan negeri bersedia untuk memperkenalkan kedua-dua makanan berkenaan kerana Terengganu merupakan negeri yang terkenal menghasilkan sumber kedua-dua hidupan itu berikutan alam semulajadinya yang masih lagi baik.
"Lazimnya, ketam nipah hidup di kawasan berselut yang sampai air tawar dan air masin serta mempunyai hutan bakau dan nipah yang boleh memberikan bekalan makanan kepada hidupan tersebut.
“Sementara, udang kara dan udang ketok pula hidup di lautan Terengganu yang terkenal dengan terumbu karang dan airnya yang masih lagi belum tercemar,” katanya.
Tambah beliau, pertandingan tersebut berasaskan masakan ketam nipah dan ketam laut berikutan menu yang semakin popular di Terengganu bukan sahaja masakan maggi ketam tetapi masakan-masakan sup dan juga gulai.
"Selain pertandingan yang diadakan, tukang masak professional juga telah menunjukkan demostrasi masakan hidangan yang cukup istimewa di mana rasa keenakan udang kara dan ketam nipah memberikan satu keunikan dalam pelbagai hidangan,” katanya.
Katanya, beliau mengharapkan keunikan itu boleh membuatkan orang yang merasai masakan tersebut akan datang lagi ke kedai berkenaan.
Menurut beliau, telah menjadi sasaran pihaknya untuk mewujudkan satu daerah satu produk terutama dari aspek makanan dan disebabkan itulah program tersebut tidak dibuat di dewan atau hotel tetapi dibuat di tempat pengusaha itu sendiri untuk mendapatkan penglibatan secara langsung daripada mereka.
"Sebagai contoh, melalui program yang dibuat ini daerah Kuala Nerus dapat memperkenalkan udang dan ketam begitu juga sekiranya dibuat di Besut dan Kemaman yang terkenal dengan otak-otak dan satar juga akan memberi peluang kepada peserta untuk tonjolkan keunikan produk daerah masing-masing,” jelasnya.
Tambah beliau, Terengganu masih mempunyai sungai yang bersih dan mampu membekalkan sumber hidupan unik berkenaan kepada kedai-kedai dan penduduk setempat untuk dinikmati penggemarnya.
"Sungai dan alam sekeliling yang tidak tercemar dan masih lagi bebas daripada sisa buangan, toksid, racun dan minyak yang mengotorkan air akan menjamin kelangsungan hidup pemangsa-pemangsa seperti udang dan ketam.
"Di samping, hutan bakau dan nipah yang masih terjaga akan terus menghasilkan sumber makanan kepada pemangsa tersebut untuk memastikan penggemarnya terus dapat menikmati hidangan unik berkenaan," katanya.