Halaman

19 April 2013

Rakyat perlu ingat zaman hitam Pas

Oleh: Gelombang biru 

 Rakyat digesa agar mengingati dan menilai semula kerenah yang dilakukan oleh pemimpin Pas ketika parti itu memerintah Terengganu selama satu penggal antara tahun 1999 hingga 2004.

 Ketua Umno Bahagian Besut yang juga Calon BN Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh berkata, perkara itu dibangkitkan semata-mata untuk mengingatkan semula rakyat parti manakah yang benar-benar menjaga dan mengutamakan rakyat.

 Katanya, ketika itu, walaupun kalah dan gagal memerintah negeri, pemimpin Umno tetap meneruskan kerja mereka sebagaimana sebelumnya tetapi sebaliknya berlaku kepada pemimpin Pas.

"Pemimpin UMNO tetap menjenguk dan menjaga rakyat meskipun kalah tetapi lihatlah pemimpin Pas, mereka menghilangkan diri dan hanya muncul semula menemui rakyat menjelang pilihan raya umum tidak lama lagi.

 "Jangan mudah tertipu dengan pemimpin pembangkang yang kini giat masuk kampung dan menabur pelbagai janji jika menang pilihan raya umum kali ini," katanya.

 Beliau yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) berkata, perbezaan itulah yang perlu dinilai oleh rakyat dalam memilih parti yang mampu menjaga mereka sama ada susah atau senang dan bukannya memilih waktu.

Katanya, kini banyak janji ditabur oleh pemimpin Pas tetapi rakyat perlu berani bertanya sama ada janji-janji yang pernah mereka buat jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu sudah ditunaikan atau sebaliknya.

 Menurutnya, rakyat juga perlu bertanya di manakah pemimpin Pas berada dan mengapa mereka tidak mengambil tahu penyokong dan pengikut mereka yang menghadapi masalah setelah kalah pada pilihan raya umum lalu.

 "Berbeza dengan pemimpin Umno walaupun kalah, boleh ditemui pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Mereka bersedia membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat tanpa mengira fahaman politik," ujarnya.

 Sehubungan itu, Idris berharap apa yang berlaku selama tempoh Pas memerintah Terengganu itu dijadikan iktibar dan peringatan supaya tidak berulang lagi kerana banyak mendatangkan kesusahan kepada banyak pihak.

 

PRU13: Bersatu hati demi tebus kekalahan PRU12

Oleh: Aida Abd Rahman

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said menyeru semua jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kuala Terengganu bersatu hati, berpadu tenaga dan membuang rasa amarah supaya dapat menebus kembali kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.

 “Rezeki (dicalonkan) ini ditentukan oleh Allah s.w.t,. Mungkin hari ini adalah rezeki mereka yang berdiri di hadapan tuan-puan ini untuk menjadi calon. Mungkin juga esok giliran tuan-puan di hadapan saya pula untuk berdiri di sini.

“ Insya-Allah dengan semangat dan keikhlasan semua pihak dan jentera parti, kita mampu untuk mencipta kemustahilan dengan memenangi semua DUN dan Parlimen Kuala Terengganu,” katanya di Majlis Temu Mesra Calon-Calon Parlimen Kuala Terengganu dengan semua jentera pilihan raya parlimen, di Perkarangan Pejabat Umno DUN Ladang, semalam.

Hadir sama, calon Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong; Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (Wakaf mempelam); Dato’ Toh Chin Yaw (Bandar); Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Ladang) dan Dato’ Che Mat Jusoh (Batu Buruk).

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, sekiranya semua pihak akur dan redha dengan ketentuan Allah s.w.t,, pastinya akan dapat membuang rasa tidak puas hati dan amarah serta mengikat semula hubungan persaudaraan dan bersatu demi mempertahankan maruah dan perjuangan parti.

Majlis turut dihadiri hampir 2,000 petugas jentera termasuk parti komponen dilihat sebagai petanda awal bahawa Kuala Terengganu mampu ditawan semula dari tangan Pas.

Malah, kebanyakan petugas jentera parti memberi keyakinan bahawa inilah masanya paling tepat untuk membuktikan kerja-keras dan semangat perjuangan demi agama, bangsa dan negara dapat dizahirkan dengan kejayaan mengekalkan DUN Bandar, selain merampas semula Parlimen Kuala Terengganu, DUN Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk pada PRU13 ini.


18 April 2013

Jentera BN janji tawan semula Parlimen Kuala Terengganu

Barisan Nasional Kuala Terengganu mengadakan Majlis Temu Mesra Calon-Calon Dalam Parlimen Kuala Terengganu dengan semua jentera pilihanraya parlimen tersebut, semalam.

Majlis yang diadakan di Perkarangan Pejabat Umno DUN Ladang telah dihadiri oleh semua calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).



Mereka ialah Haji Mohd Zubir Embong (Parlimen Kuala Terengganu), Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah (DUN Wakaf Mempelam), Dato’ Toh Chin Yaw (Bandar), Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Ladang) dan Dato’ Che Mat bin Jusoh (Batu Buruk).

Turut sama di dalam majlis tersebuat ialah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pemimpin-pemimpin Umno Bahagian Kuala Terengganu.

Menteri Besar dalam ucapannya menyeru semua jentera di Parlimen Kuala Terengganu untuk menebus kembali kekalahan pada pilihan raya lalu.

Beliau menegaskan bahawa hanya dengan bersatu dan membuang rasa amarah barulah parti dapat diselamatkan.

“Rezeki ini ditentukan Allah, mungkin hari ini adalah rezeki mereka yang berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan ini untuk menjadi calon. Mungkin esok giliran tuan-puan di hadapan saya pula untuk berdiri di sini. Insyaallah dengan semangat dan keikhlasan, tuan-puan mampu untuk mencipta kemustahilan dengan memenangi keseluruhan DUN dan Parlimen Kuala Terengganu,” katanya.

Majlis yang dihadiri hampir 2000 orang jentera termasuk parti komponen itu dilihat sebagai petanda awal bahawa Kuala Terengganu akan kembali berada di tangan Barisan Nasional.

Rata-rata jentera yang ditemui juga memberi keyakinan bahawa mereka telah bersedia menawan kembali Kuala Terengganu.

LUASNYA...KERAJAAN PAS LULUSKAN 4 000 HEKTAR ATAU 10 RIBU EKAR KAWASAN BALAK HUTAN DARA KEPADA NEP

Ingat dok lagi... semasa berkuasa Kerajaan Pas melalui mesyuarat Exconya yang dipengerusikan oleh Presiden Pas Dato’ Seri Haji Hadi Awang pada tahun 2000 meluluskan sehingga 10 ribu ekar atau 4 000 hektar kawasan balak di Hulu Dungan (Sungai Paka, Besol) kepada syarikat North East Plantations (NEP).

Pengerusi syarikat itu ialah Datuk Hishamudin Yahya yang juga waktu itu adakah Pengerusi akhbar Harakah. Berdasarkan rekod, syarikat itu ditubuhkan dengan modal berbayar RM3 dan modal dibenar RM1 juta.

Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Malaysia waktu itu, Datuk Seri Law Hieng Ding berkata, projek pembukaan kawasan hutan itu tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Petroelum, Perindustrtian dan Sumber Manusia waktu itu, Dato’ Mustaffa Ali berkata, kelulusan itu kerana kerajaan negeri tidak berhasrat mengamalkan asobiyyah sempit meluluskan projek hanya kepada orang Terengganu sahaja.


“Bukan sikap orang Terengganu mempunyai sikap sedemikian rupa, apa yang kita mahukan siapa sahaja boleh memajukan negeri ini,” katanya ketika berucap menggulung perbahasan Ucapan Belanjawan 2002 mewakili Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Hadi.


 

Yusof Awang Hitam calon pilihan

 Oleh: Suriati Ali 

 Calon muka baru Barisan Nasional (BN) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir Yusof Awang Hitam sememangnya sudah lama dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) .

 Beliau yang memilki sifat mudah mesra, pemurah, suka membantu dan tidak pilih bulu dalam menghulurkan sumbangan mahupun bantuan sememangnya dianggap calon pilihan penduduk setempat.

 Yusof Awang berkata, pemilihannya sebagai calon kawasan berkenaan merupakan kepercayaan dan harapan yang diberikan pucuk pimpinan kepadanya dalam misi merampas DUN Manir.

“Harapan ini pastinya digalas sebaik mungkin dan saya tidak akan mensia-siakannya kerana mengetahui rakyat sudah jemu dengan karenah pembangkang.

“Pengalaman menjadi Pegawai Pegawai Pembagunan DUN selama ini dilihat menjadi satu kelebihan untuk memikat hati rakyat supaya berubah dan bersama BN,” katanya

Beliau yakin penggunaan slogan `Manir Berubah Jika Manir Menang’ mampu menambat hati rakyat untuk merampas kembali Manir yang hampir 26 tahun diwakili pembangkang

“Walaupun Manir dikatakan sebagai antara kubu kuat pembangkang di Terengganu, namun tidak menjadi penghalang buat saya untuk berjuang habis-habisan.

“Merampas kembali DUN Manir daripada tangan pembangkang bukan perkara mustahil ,” katanya

 Pada PRU12 lalu, menyaksikan calon Pas , Dato’ Harun Taid berjaya mempertahankan kerusi DUN Manir dengan majoriti 432 undi mengalahkan calon BN, Wan Sagar Wan Embong, manakala PRU11 pada 2008, sebanyak 301 majoriti undi. Berdasarkan rekod, kerusi DUN Manir mula ditakluki pembangkang (Pas) sejak PRU8 pada 1990 lalu dan sehingga kini, ia masih menjadi kubu kuat Pas.

 


PRU13: BN akan pecah rekod Pas di Wakaf Mempelam

Oleh: Aida Abd Rahman

Barisan Nasional (BN) akan memadamkan rekod dicatatkan oleh Pas yang menguasai Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam selama 32 tahun pada PRU Ke-13, 5 Mei ini.

Keyakinan itu dilontarkan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, Haji Wan Mahyuddin Wan Ngah, 51, selaku calon BN yang memikul tanggungjawab merampas DUN itu dari pembangkang.

 “Saya yakin bahawa iklim politik di Wakaf Mempelam kian berubah secara beransur-ansur sejak lima tahun lalu apabila rakyat yang selama ini terlalu yakin dengan watak wakil rakyat Pas yang kononnya mengutamakan perjuangan Islam, hakikat sebenar gagal membela kebajikan mereka sepanjang memegang mandat itu.

“Rakyat di DUN ini mula sedar dan sudah boleh membezakan pemimpin yang mana harus mereka pilih dan sokong bagi memastikan nasib mereka terbela. Bukannya terus membiarkan Pas berkuasa sejak tujuh PRU lalu namun mengabaikan mereka,” katanya kepada pemberita di Pusat Media Kelab wartawan Terengganu, Kuala Terengganu, malam tadi.

Hadir sama calon Parlimen Kuala Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong dan DUN Ladang, Dato' Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Haji Wan Mahyuddin berkata, pembangkang yang sering menyalahgunakan sentimen agama termasuk berhubung isu kalimah Allah, solat orang Umno tidak sah dan memberi Bantuan Rakyat 1Malaysia umpama memberi makan kepada haiwan, turut menyinggung perasaan penyokong Pas sendiri.

 Menurutnya, perjuangan agama yang kian keluar dari landasan sebenar itu menyebabkan semakin ramai rakyat tidak menyebelahi Pas dan mula menerima usaha dilaksanakan kepemimpinan BN negeri dan Pusat.

Katanya, sikap mengambil berat dan keprihatinan BN menangani masalah rakyat dari setiap aspek terutama kebajikan dan kesihatan juga membuka mata penduduk untuk menyokong BN sekaligus menzahirkan sokongan pada hari pembuangan undi nanti.

 “Saya sendiri turun menghantar cek bantuan kepada pesakit dan penerima dana Tabung Penyakit Kronik berjumlah RM10 juta yang disediakan Kerajaan BN.

“Sekurang-kurangnya pesakit dan keluarga mereka sedar kita sebagai kerajaan yang benar-benar membela nasib mereka selama ini, bukan sekadar bercakap dan bersyarah seperti pembangkang namun tidak bertindak. Masakan untuk bertindak, wakil rakyat Pas pun tidak pernah menjenguk rakyat yang memerlukan perhatian,” katanya.



Pergaduhan Pas, PKR rebut kerusi makin parah

PERGADUHAN pembahagian kerusi antara Pas dan PKR semakin ketara di negeri ini dengan tindakan tiga wakil Pas di tiga Dun berasingan mendesak Pas Pusat dan Perhubungan Pas Negeri meletakkan calon Pas di kerusi Dun Bandar, Seberang Takir dan Bukit Besi.

Bantahan terhadap calon PKR di tiga-tiga kerusi itu dibuat oleh Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Bandar, Ahmad Shah Muhamed; Bendahari MTD Seberang Takir, Mohd Nordin Mahmood dan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Dungun, Naraza Muda yang turut mewakili suara di peringkat Dun masing-masing.

Bagi wakil Dun Bandar dan Seberang Takir, kedua-duanya berkeras dengan pendirian untuk menolak calon PKR kerana mendakwa potensi kemenangan lebih besar dengan meletakkan calon Pas, manakala wakil Bukit Besi, Naraza berlembut sedikit untuk menerima calon PKR sekiranya yang diturunkan itu diterima rakyat dan bukannya calon ‘bidan terjun’.

“Kami yang mewakili Pas Dun Bukit Besi, Seberang Takir dan Bandar mendesak supaya Pas Pusat dan Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu membenarkan calon Pas bertanding di kerusi N25, N11 dan N14.

“Kami menolak calon daripada PKR yang bersifat bidan terjun kerana tiada gerak kerja dan hubungan dengan jentera Pas yang telah lama bertapak di Dun tersebut,” jelas ketiga-tiga wakil terbabit pada sidang media di Pejabat Perhubungan Pas Negeri Terengganu, di sini, semalam.

 Sidang media itu dibuat beberapa jam sebelum pengumuman calon PKR yang mengesahkan akan bertanding di tiga kerusi dinyatakan itu.

Ditanya lanjut mengenai desakan terlibat, ketiga-tiganya tidak menganggap desakan itu memberi kesan terhadap kerjasama antara Pas dan PKR kerana mereka mempunyai hak bersuara selagi masih ada ruang.

 Sementara itu, Mohd Nordin berkata, pihaknya tidak menerima calon PKR kerana mendakwa tidak berwibawa dan cuba ‘mengimport’ calon dari luar.

Bukan itu sahaja katanya, kewujudan PKR di Seberang Takir seolah-olah tidak wujud dan tiada sebarang cawangan atau ranting PKR ditubuhkan di kawasan itu sebagaimana disahkan Setiausaha PKR Terengganu, Wan Bukhari Wan Mohamad sebelum ini.

 “Memang tiada cawangan jadi macam mana kita nak beri kepada orang yang tiada cawangan untuk bertanding. “Kita sudah buat perbincangan dengan Setiausaha (PKR Terengganu), Wan Bukhari sebanyak dua kali supaya berbincang di peringkat negeri tetapi senyap seribu bahasa.

 “Masa Anwar pergi ke Teluk Ketapang, kita bagi memorandum padanya, minta dia cuba menilai berdasarkan pada 2008 (PKR) tidak boleh buat kerja.

 Cuma masa itu, kita dalam kalangan penyokong Pas bantu juga, sokong dia. Jadi untuk PRU kali ini, kita minta dia serah juga kawasan itu pada kita,” katanya.

Bagi Ahmed Shah, beliau berkata, pengundi jelas mahukan calon Pas di kerusi Dun Bandar dan mendakwa sekiranya membiarkan PKR bertanding sudah tentu memberi kemenangan mudah kepada MCA yang mewakili Barisan Nasional (BN).

 

Bekas wakil BN tanding Bebas hanya spekulasi - MB

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) Terengganu menganggap desas-desus beberapa bekas wakil rakyat negeri ini akan bertanding atas tiket parti Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi melemahkan jentera BN.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan memantau perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

 “Kita tengoklah pada hari penamaan calon pada Sabtu ini, apakah benar-benar ada ahli Umno yang akan jadi calon Bebas,” katanya kepada pemberita di majlis Seminar Keibubapaan Hala Tuju Pendidikan Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, hari ini.


 Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas desas desus kononnya beberapa Parlimen dan DUN bakal ditandingi calon Bebas terdiri daripada bekas wakil rakyat BN sebagai tanda protes calon BN yang diumumkan Rabu lalu.

Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada ahli-ahli Umno dan semua parti komponen BN agar tidak berpaling tadah dengan cara bertanding atas tiket parti Bebas pada PRU13 kerana mereka akan menghadapi tindakan tatatertib.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib, termasuk memecat keahlian mereka kerana perbuatan tersebut jelas melanggar arahan parti dan BN.

“Kalau memang benar terbukti ada ahli Umno yang menjadi calon bebas untuk bertanding di mana-mana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka akan dikenakan tindakan oleh parti.

 “Saya tidak boleh buat apa jika mereka ambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas, itu hak mereka tapi sepatutnya sebagai seorang Islam mereka perlu terima qada dan qadar Allah dengan hati terbuka,” katanya.

 



Dato' Tengku Putera anggap rezeki tanpa duga

Oleh: Suriati Ali 

 Pencalonan kembali Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Dato' Haji Tengku Putera Tengku Awang dalam arena Pilihan Raya Umu Ke-13 (PRU13) boleh dibaratkan sebagai rezeki tanpa duga memandangkan pada PRU12 nama beliau telah digugurkan.

 Dato’ Haji Tengku Putera yang juga Ketua Umno Bahagian Hulu Terengganu di calonkan bagi menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang itu nyata menepati ramalan ramai. Berdasarkan rekod lalu, beliau pernah memenangi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU11 dengan majoriti undi 7,760 apabila berjaya menewaskan calon Pas, Muhyidin Abdul Rashid.

Dato’ Haji Tengku Putera berkata pencalonan kembali namanya dalam senarai PRU13 dianggapkan sebagai rezeki memandangkan pada PRU12 nama tidak senaraikan.

 “Walaupun tidak tercalon pada PRU sebelum ini, namun saya masih membantu dan melakukan kerja-kerja parti seperti biasa kerana rutin itu sudah sebati dengan diri saya yang hampir 30 tahun terlibat dalam bidang politik,”katanya

 Bapa kepada enam anak itu turut berazam akan mengalas tanggungjawab yang diamanahkan pucuk pimpinan BN Pusat dan negeri sebaik mungkin selain tidak mahu mensia-siakan harapan rakyat bagi melihat Kuala Berang terus membangun.

Pemilihan Dato’ Haji Tengku Putera menyaksikan penyandangnya sebelum ini Mohad Zawawi Ismail yang menang dengan majoriti 1,592 undi di kerusi itu digugurkan.

 Sementara itu, tiga muka baru bagi kerusi dalam Parlimen Hulu Terengganu iaitu Datuk Jailaini Johati (Parlimen); Yuso Awang Hitam (Manir) dan Ghazali Taib (Ajil) menyifatkan pemilihan mereka sebagai calon diamanahkan pucuk pimpinan.

Bagi calon kerusi Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari, beliau mahu memastikan agenda BN untuk merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar diberi tumpuan.

 Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu berkata beliau akan menggunakan pengalaman dan kepakaran yang ada hasil bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan swasta sebelum ini untuk terus mencurah bakti kepada masyarakat.

 Calon DUN Pengkalan Berangan Abdul Latif Awang pula menyifatkan pengumuman 18 calon muka baharu BN negeri ini untuk PRU13 bakal memberi lembaran baharu dalam memperkasa jentera BN.

 

PRU13: Pegawai kanan kerajaan indikator BN beri khidmat terbaik

Oleh: Sutera Biru

Pendekatan Barisan Nasional (BN) Terengganu menampilkan beberapa calon di kalangan muka baharu yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dilihat antara indikator yang mampu memberi kelebihan kepada BN bagi memastikan rakyat mendapat informasi tepat mengenai dasar kerajaan, selain menyalurkan perkhidmatan terbaik menerusi pengalaman di bidang masing-masing.

Parlimen Kuala Terengganu menampilkan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Haji  Mohd Zubir Embong, 49, sebagai calon yang dijangka paling tepat untuk menawan semula Parlimen itu dari tangan Pas.



Haji Mohd Zubir tekad untuk memastikan kesinambungan memartabatkan pendidikan semasa Terengganu diteruskan sebagaimana pernah dilaksanakan bekas Ahli Parlimen lalu, Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran (2004).

"Saya menyertai JPNT pada tahun 1996 dan ketika itulah bermulanya cabaran untuk memastikan Terengganu yang menduduki tempat ke-11 dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melakukan pelbagai transformasi.

 "Hasilnya kini Terengganu berjaya muncul negeri nombor satu dalam beberapa peperiksaan utama negara dan InsyaAllah kita akan bekerja keras memastikan Terengganu terus menjadi negeri anjung ilmu,"
katanya.

Beliau juga mahu memastikan Kuala Terengganu akan muncul sebagai bandar raya yang bukan hanya pesat dari sudut pembangunan fizikal, malah tidak ketinggalan untuk terus merekodkan kecemerlangan dalam pembinaan modal insan yang berkualiti di peringkat global.

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar yang mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi berjanji membawa perubahan jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.

Calon muda berusia 38 tahun itu diwajibkan melepaskan jawatan sebelum PRU13 pada 5 Mei ini berazam menggunakan pengalaman semasa berkerja dan arena politik khususnya kepimpinan Pemuda Umno untuk memastikan kemenangan BN.

"Saya berasa insaf dengan amanah cukup berat bagi membawa arus perubahan di DUN Jabi khususnya  suara anak muda dan seluruh penduduk untuk memastikan Jabi tidak lagi jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan fizikal dan melahirkan modal insan yang cemerlang.

"Pengalaman berkhidmat dengan jabatan kerajaan serta aktif dalam politik akan saya adunkan untuk mencapai hala tuju memperjuangkan agama, bangsa dan negeri serta negara amnya," katanya.

Bagi calon kerusi Parlimen Hulu Terengganu Dato' Jailani Johari, pula akan memberikan tumpuan untuk merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar sebagaimana hasrat kerajaan.

Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu berkata pengalaman dan kepakaran sepanjang bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan swasta akan memudahkan beliau mencurah bakti kepada masyarakat.

Manakala calon DUN Pengkalan Berangan Abdul Latif Awang, bekas pendidik pula menyifatkan pengumuman 15 calon muka baharu BN negeri ini untuk PRU13 bakal membuka lembaran baharu dalam memperkasa jentera BN.

"Semua pembangunan yang dilaksanakan BN selama ini akan diteruskan dengan lebih cemerlang andainya rakyat memberi mandat besar pada PRU13 ini," katanya.

Bagi Hakim Mahkamah Sesyen di Jalan Duta Kuala Lumpur, Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Parlimen Setiu) juga akan memastikan masalah tempatan di kawasannya nanti akan diselesaikan sekiranya diberikan mandat itu oleh pengundi.

"Saya hanya anggota biasa dalam Umno dan bukan orang politik. Walaupun saya di Kuala Lumpur, saya masih ambil tahu apa juga perkembangan di Setiu melalui kawan-kawan.

"Walaupun agak terkejut, namun saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam pilihan raya kali ini yang pastinya akan menentukan kelangsungan nasib bangsa, agama dan negara," katanya.