Halaman

18 April 2013

Bekas wakil BN tanding Bebas hanya spekulasi - MB

Oleh; Esah Abdullah

Barisan Nasional (BN) Terengganu menganggap desas-desus beberapa bekas wakil rakyat negeri ini akan bertanding atas tiket parti Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei ini sengaja ditimbulkan pihak tertentu bagi melemahkan jentera BN.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya akan memantau perkara itu sebelum mengambil sebarang tindakan.

 “Kita tengoklah pada hari penamaan calon pada Sabtu ini, apakah benar-benar ada ahli Umno yang akan jadi calon Bebas,” katanya kepada pemberita di majlis Seminar Keibubapaan Hala Tuju Pendidikan Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak, hari ini.


 Menteri Besar berkata demikian ketika diminta mengulas desas desus kononnya beberapa Parlimen dan DUN bakal ditandingi calon Bebas terdiri daripada bekas wakil rakyat BN sebagai tanda protes calon BN yang diumumkan Rabu lalu.

Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada ahli-ahli Umno dan semua parti komponen BN agar tidak berpaling tadah dengan cara bertanding atas tiket parti Bebas pada PRU13 kerana mereka akan menghadapi tindakan tatatertib.

Dato’ Seri Haji Ahmad, berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan tatatertib, termasuk memecat keahlian mereka kerana perbuatan tersebut jelas melanggar arahan parti dan BN.

“Kalau memang benar terbukti ada ahli Umno yang menjadi calon bebas untuk bertanding di mana-mana Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka akan dikenakan tindakan oleh parti.

 “Saya tidak boleh buat apa jika mereka ambil keputusan untuk bertanding atas tiket Bebas, itu hak mereka tapi sepatutnya sebagai seorang Islam mereka perlu terima qada dan qadar Allah dengan hati terbuka,” katanya.