Halaman

15 April 2013

BN tidak terlibat politik kotor

Oleh: Gelombang Biru 

 Barisan Nasional (BN) Terengganu tidak perlu menggunakan politik kotor bagi meraih undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ekoran pelaksanaan dasar yang diamalkan sebelum ini sudah cukup kuat dan diterima baik segenap lapisan masyarakat.

 Pihak pembangkang, terutama pemimpin Pas tidak wajar menunding jari dan menyalahkan BN dengan pendedahan beberapa siri video kelakuan sumbang di laman sesawang termasuk dikatakan mirip Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

 Tuduhan tanpa bukti dengan mengatakan individu tertentu dalam BN menjadi dalang adalah sangat keji kerana Pas mempunyai ramai musuh yang bukan sahaja datang dari arena politik.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata pihaknya tidak akan sesekali terlibat dengan politik kotor yang dipenuhi fitnah dan mengaibkan maruah mana-mana individu sepanjang kempen PRU13.

 “BN Terengganu juga tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fitnah atau mendedahkan aib seseorang kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

 "Saya sudah nasihatkan semua petugas parti di Terengganu supaya berhati-hati dengan sebarang hebahan maklumat yang ingin disebarkan seperti risalah dan bahan kempen mestilah mendapat berita yang sahih.

 "Kita tidak mahu bersekongkol dengan perkara-perkara aib atau fitnah, kita tidak mahu tanggung dosa. Itu prinsip saya," katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad turut memberitahu beliau sendiri tidak melihat video tersebut dan juga tidak mahu timbul fitnah apabila kesahihan video itu juga belum dibuktikan. “Saya tidak berani komen sebab tidak mahu terlibat dalam memfitnah orang lain.

 Itu bukan prinsip saya. Kalau pasti betul dan disahkan, barulah kita boleh bercakap agar tidak jadi fitnah. “Namun bagi orang Islam, kalau betul sekalipun, tidak elok dedahkan hal peribadi orang lain.

 Kalau kita tutup peribadi (aib) orang, Insya Allah aib kita juga akan ditutup di akhirat kelak,” katanya.