Halaman

20 April 2013

Tiga pertandingan tiga penjuru di Parlimen Dungun

Oleh: Aida Abd Rahman

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) bagi kerusi Parlimen Dungun menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Besi dan Rantau Abang.

Calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Dungun, Dato’ Rosli Mat Hassan akan ditentang calon Pas, Wan Hassan Wan Ramli, 56, serta Mazlan Harun, 56, (Bebas).

Sementara di DUN Bukit Besi pula calon BN, Roslee Daud, 53, akan menentang calon Pakatan Rakyat yang diwakili Roslan Ismail, 48, (Pas) dan Mohd Shamsul Mat Amin, 28, (PKR).

Manakala di Rantau Abang pula melibatkan pertandingan antara penyandang kerusi itu, Dato’ Za’abar Mohd Adib, 59, (BN), Alias Harun (Pas) dan Mazlan Harun, 56, (Bebas).

Pertandingan satu lawan satu di DUN Sura antara Zakariah Ali, 57, (BN) dengan Wan Hapandi Wan Nik, 57, (Pas) diikuti DUN Paka menyaksikan Datuk Matulidi Jusoh, 56, (BN) dengan Satiful Bahri Mamat, 46, (Pas).

Kesemua calon yang bertanding mengemukakan borang pencalonan antara 9.04 pagi hingga 9.44 pagi sebelum masa diperuntukkan untuk penghantaran borang ditutup mulai jam 10 pagi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Dungun, Haji Mohd Akil Mat mengisytiharkan semua calon berkenaan layak bertanding bagi PRU13, 5 Mei ini  selepas selesai proses semakan,di Pejabat Daerah Dungun, kira-kira jam 11.30 pagi.

Dungun satu-satunya Parlimen yang menyaksikan tiga pertandingan tiga penjuru, berbanding  hanya satu pertandingan tiga penjuru di Parlimen Kuala Terengganu; DUN Kemasik (Parlimen Kemaman); DUN Kota Putera (Besut); DUN Seberang Takir (Kuala Nerus); DUN Ajil (Hulu Terengganu); DUN Permaisuri (Setiu) dan DUN Alor Limbat (Marang).