Halaman

16 April 2013

MB umum calon BN jam 2.30 petang ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Nama-nama calon yang bakal bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) di Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan diumumkan di Kediaman Seri Iman, Batu Burok, jam 2.30 petang ini.

Pengerusi BN Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan membuat pengumuman itu mengikut senarai nama yang diterima dari Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, di Kuala Lumpur semalam.

Menurut sumber-sumber, pada PRU13 ini BN mengemukakan hampir separuh calon yang terdiri daripada muka baru bagi memastikan kemenangan BN.

Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya dan boleh diterima rakyat di kawasan yang bakal ditandingi dan lebih baik daripada calon-calon parti pembangkang.

Calon-calon yang bakal bertanding pada pilihan raya ini melepasi tapisan ketat yang meliputi tahap kesihatan, intergriti (SPRM dan Jabatan Insolvensi) dan bebas daripada ‘senarai hitam’ institusi perbankan.

Difahamkan semua calon tersebut sudah dimaklumkan mengenai pemilihan mereka dan pengumuman mengenainya akan dilakukan pada satu majlis yang sudah diatur petang ini.

Menteri Besar berkata, calon yang bakal diumumkan dan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) ini berjiwa rakyat, calon boleh menang, berkaliber dan berwibawa bagi menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.