Halaman

15 April 2013

MB umum Manifesto Tambahan BN Terengganu malam ini

Oleh: Kamarudin Mat Akib 

Manifesto Tambahan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang mengandungi Aku Janji BN untuk melaksanakan pelbagai projek dan program bagi membela nasib rakyat tempatan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), akan diumum di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), malam ini.

Pengerusi BN, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, akan mengumumkan manifesto tersebut kira-kira jam 9 malam, di depan semua pemimpin kanan BN Terengganu dan bakal calon-calon BN yang akan bertanding di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), pada PRU13 nanti.

Semua ketua-ketua bahagian UMNO, ketua-ketua parti komponen BN dan ketua-ketua sayap UMNO dan parti komponen BN akan hadir pada majlis tersebut yang dijangka dihadiri 2,000 orang.

Teganukita difahamkan projek urbanisasi dan perumahan, pembangunan ekonomi dan usahawan serta pendidikan menjadi agenda utama yang bakal dimasukkan dalam manifesto berkenaan.

Manifesto tambahan bagi BN Terengganu itu akan menjadi pelengkap kepada maifesto BN Pusat yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, baru-baru ini.

Apa pun, sama ada manifesto BN Pusat atau manifesto tambahan BN Terengganu, yang pasti ia dibuat berdasarkan keupayaan kewangan Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri, bukan janji kosong seperti yang dilakukan parti-parti pembangkang dan Pakatan Rakyat (PR).

Manifesto tambahan BN Terengganu digubal berdasarkan keperluan semasa rakyat negeri ini, khususnya di segi penempatan dan peluang pekerjaan serta kepentingan bidang pelajaran yang akan mengubah masa depan keluarga berpendapatan rendah.