Halaman

14 April 2013

Pakatan Pembangkang punya agenda berbeza

Oleh; Esah Abdullah

Pakatan pembangkang (PAS,PKR,DAP) mempunyai dasar dan agenda yang jauh berbeza kata, Pengerusi Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKKM) Terengganu, Dato’ Haji Muhatar Abdullah.

“Saya sangat yakin sekiranya mereka berkuasa, tidak akan berupaya mewujudkan keharmonian dan kestabilan di negara ini,” katanya.

Katanya, sebagai ahli masyarakat yang sayang dan cintakan negara wajar mempertahankan keamanan negara dari digugat oleh anasir yang cuba merosakkan kestabilan dan perpaduan demi masa depan generasi akan datang.

Menurutnya, berdasarkan pengalaman lalu ketika berada di bawah pentadbiran kerajaan Pas, pihak pentadbiran terpaksa berdepan dengan kegelisahan dan rasa tidak puas hati rakyat akibat dasar yang tidak cekap dan tidak jelas serta tidak disukai oleh sebilangan besar rakyat.

“Kita ingin melihat pasca Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti akan wujud sebuah kerajaan Barisan Nasional (BN) yang lebih kuat dan berpengalaman,” katanya yang juga mantan Setiausaha Kerajaan Terengganu.

Katanya, hanya BN sahaja di negara ini yang berpengalaman dan mempunyai perancangan masa depan yang jelas dan jitu serta berupaya memajukan nasib masa depan bangsa, agama dan negara.

“Saya harap tidak ada yang tergoda dan termakan dakyah parti pembangkang sebaliknya berilah kepercayaan kepada perjuangan BN untuk meneruskan kesinambungan memerintah negara dan negeri,” katanya.

Menurutnya, bilangan pesara berjumlah 25,000 orang diseluruh negeri dan jumlah ini tidak termasuk suami atau isteri serta anak-anak mereka yang layak mengundi.

“Dengan jumlah yang ramai, tidak mustahil golongan pesara boleh menjadi penentu kepada kemenangan BN dalam PRU nanti,” katanya.