Halaman

20 April 2013

Proses penamaan calon Parlimen Setiu lancar

Oleh; Esah Abdullah

Proses penamaan calon bagi Parlimen Setiu (P034) berjalan lancar apabila semua calon-calon yang bertanding menyerahkan borang mereka sebaik sahaja pusat penamaan calon di Pejabat Daerah Setiu di buka pada jam 9 pagi dan berakhir 10 pagi tadi.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Setiu, Haji Mohamad Nor Ibrahim mengumumkan kesemua calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi (N05), Permaisuri (N06), Langkap (N07) dan Batu Rakit (N08) kira-kira jam 10.45 pagi.

Parlimen Setiu dan tiga DUN menyaksikan perlawanan satu lawan satu antara BN dan Pas manakala DUN Permaisuri membabitkan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan Bebas.

Parlimen Setiu membabitkan pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Che Mohd Zulkifli Jusoh yang menyerahkan borang percalonan jam 9.08 pagi manakala Encik Omar Sidek (Pas) menyerahkan borang percalonan jam 9.20 pagi.

DUN Jabi pula menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN dan Pas di mana calon BN Mohd Iskandar Jaafar, 38, yang menyerahkan borang percalonan tepat jam 9.03 pagi dan Encik Azman Ibrahim (Pas) jam 9.22 pagi.

DUN Permaisuri membabitkan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan Bebas di mana BN diwakili Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee iaitu mantan Ahli Parlimen Setiu (2008-2013), Wan Mokhtar Wan Ibrahim (PKR) dan Haji Mohd Yusof Majid, 50, (Bebas).

 Ketiga-tiga calon menyerahkan borang masing-masing pada jam 9.05 pagi (BN), 9.20 pagi (PKR) dan 9.35 pagi (Bebas).

DUN Langkap juga menyaksikan calon BN, Datuk Sabri Mohd Nor, menyerahkan borang percalonan seawal jam 9.05 pagi manakala Encik Hasan Karim (Pas) jam 9.23 pagi.

Calon BN Batu Rakit, Encik Bazlan Abdul Rahman (9.04 pagi) pula akan ditetang calon Pas, Che Ghani Che Ambak (9.18 pagi).