Majlis Bekas Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Mubarak) meminta semua ahli parti tidak cuba sabotaj calon yang dipilih presiden parti untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus mendapat mandat besar dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengerusinya, Dato’ Haji Ahmad Sidi Ismail berkata, dalam suasana sekarang semua perlu mengambil sikap menjaga kepentingan parti melebih kepentingan lain untuk memastikan generasi akan datang terus terbela.
“Kita perlu kekalkan pemerintahan BN sebagai peneraju negara ini kerana sudah terbukti kecemerlangan yang dicipta berbanding pembangkang yang sekadar menabur janji,” katanya kepada Teganukita.
Katanya, Mubarak sentiasa memberi sokongan padu kepada mana-mana calon BN di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen serta bersama jentera parti membantu kempen menjelang PRU.
Menurutnya, kebanyakan ahli Mubarak memegang jawatan dalam jentera parti di Pusat-pusat Daerah Mengundi (PDM), bahagian dan Parlimen yang secara langsung bersama-sama menjalankan kempen memenangkan parti.
“Saya yakin, khidmat bekas wakil rakyat masih berkesan di kalangan masyarakat kerana mereka banyak pengalaman ketika berdepan dengan dakyah parti pembangkang,” katanya.
Katanya, di samping memberi penjelas isu berbangkit kepada rakyat, jangan pula ada yang cuba ‘peteh keting’ rakan sendiri kerana didorong rasa kecewa, kerana sikap itu akan memakan diri sendiri.