Oleh: Sutera Biru
Pendekatan Barisan Nasional (BN) Terengganu menampilkan beberapa calon di kalangan muka baharu yang terdiri daripada pegawai kanan kerajaan dilihat antara indikator yang mampu memberi kelebihan kepada BN bagi memastikan rakyat mendapat informasi tepat mengenai dasar kerajaan, selain menyalurkan perkhidmatan terbaik menerusi pengalaman di bidang masing-masing.
Parlimen Kuala Terengganu menampilkan Ketua Sektor Pengurusan Akademik, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu, Haji Mohd Zubir Embong, 49, sebagai calon yang dijangka paling tepat untuk menawan semula Parlimen itu dari tangan Pas.
Haji Mohd Zubir tekad untuk memastikan kesinambungan memartabatkan pendidikan semasa Terengganu diteruskan sebagaimana pernah dilaksanakan bekas Ahli Parlimen lalu, Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran (2004).
"Saya menyertai JPNT pada tahun 1996 dan ketika itulah bermulanya cabaran untuk memastikan Terengganu yang menduduki tempat ke-11 dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) melakukan pelbagai transformasi.
"Hasilnya kini Terengganu berjaya muncul negeri nombor satu dalam beberapa peperiksaan utama negara dan InsyaAllah kita akan bekerja keras memastikan Terengganu terus menjadi negeri anjung ilmu,"
katanya.
Beliau juga mahu memastikan Kuala Terengganu akan muncul sebagai bandar raya yang bukan hanya pesat dari sudut pembangunan fizikal, malah tidak ketinggalan untuk terus merekodkan kecemerlangan dalam pembinaan modal insan yang berkualiti di peringkat global.
Penolong Pengarah Kanan Jabatan Penerangan Negeri Terengganu, Mohd Iskandar Jaafar yang mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi berjanji membawa perubahan jika menang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) tidak lama lagi.
Calon muda berusia 38 tahun itu diwajibkan melepaskan jawatan sebelum PRU13 pada 5 Mei ini berazam menggunakan pengalaman semasa berkerja dan arena politik khususnya kepimpinan Pemuda Umno untuk memastikan kemenangan BN.
"Saya berasa insaf dengan amanah cukup berat bagi membawa arus perubahan di DUN Jabi khususnya suara anak muda dan seluruh penduduk untuk memastikan Jabi tidak lagi jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan fizikal dan melahirkan modal insan yang cemerlang.
"Pengalaman berkhidmat dengan jabatan kerajaan serta aktif dalam politik akan saya adunkan untuk mencapai hala tuju memperjuangkan agama, bangsa dan negeri serta negara amnya," katanya.
Bagi calon kerusi Parlimen Hulu Terengganu Dato' Jailani Johari, pula akan memberikan tumpuan untuk merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar sebagaimana hasrat kerajaan.
Ketua Pengawal Kawal Selia dan Pengawasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu berkata pengalaman dan kepakaran sepanjang bekerja di beberapa jabatan kerajaan dan swasta akan memudahkan beliau mencurah bakti kepada masyarakat.
Manakala calon DUN Pengkalan Berangan Abdul Latif Awang, bekas pendidik pula menyifatkan pengumuman 15 calon muka baharu BN negeri ini untuk PRU13 bakal membuka lembaran baharu dalam memperkasa jentera BN.
"Semua pembangunan yang dilaksanakan BN selama ini akan diteruskan dengan lebih cemerlang andainya rakyat memberi mandat besar pada PRU13 ini," katanya.
Bagi Hakim Mahkamah Sesyen di Jalan Duta Kuala Lumpur, Che Mohamad Zulkifly Jusoh (Parlimen Setiu) juga akan memastikan masalah tempatan di kawasannya nanti akan diselesaikan sekiranya diberikan mandat itu oleh pengundi.
"Saya hanya anggota biasa dalam Umno dan bukan orang politik. Walaupun saya di Kuala Lumpur, saya masih ambil tahu apa juga perkembangan di Setiu melalui kawan-kawan.
"Walaupun agak terkejut, namun saya sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab dalam pilihan raya kali ini yang pastinya akan menentukan kelangsungan nasib bangsa, agama dan negara," katanya.