Halaman

28 May 2013

TDM Berhad perbesar operasi hospital tiga kali ganda menjelang 2018

Oleh: Noraini Jusoh

Kumpulan TDM menetapkan matlamat untuk memperbesarkan operasi hospitalnya tiga kali ganda menjelang 2018.

Pengerusinya, Datuk Haji Roslan Awang Chik berkata, ia termasuk menambah bilangan katil dan hospital, memperkenalkan perkhidmatan baru serta memperluaskan jenis perkhidmatan yang sedia ada bagi memenuhi permintaan yang semakin menigkat.

"Bagi tujuan tersebut, Pusat Perubatan Kuantan (KMC) yang baharu akan mula beroperasi awal tahun hadapan.

"Kerja-kerja pembinaan Hospital Pakar Kuala Terengganu (KTS) baharu pula telah bermula Disember lalu dan dijangka siap 2015,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-48 TDM, di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Katanya, kedua-dua hospital tersebut juga akan dilengkapi dengan peralatan, teknologi yang canggih dan moden.

Tambah beliau, Kumpulan TDM juga menaik taraf kemudahan di Hospital Taman Desa Medical Center (TDMC) dan Pusat Perubatan Kelana Jaya (KJMC) dimana akan menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan memiliki bangunan baru.

Menurut beliau, bagi mengukuhkan lagi kedudukan pasaran sebagai pembekal perubatan swasta yang unggul di Pantai Timur, TDM turut meninjau pasaran baharu seperti di Kota Bharu, Kelantan.

 

LPT fasa 2 jangka siap akhir 2014

Semua 16 pakej fasa dua Lebuhraya Pantai Timur (LPT 2) dijangka siap sepenuhnya selewat-lewatnya akhir tahun depan, kata Menteri Kerja Raya, Dato’ Fadillah Yusof.

Beliau berkata sehingga kini, sembilan dari 16 pakej LPT 2 telah siap. "Kita tahu rakyat pantai timur meletakkan harapan lebuh raya ini siap dengan kadar segera.

"Kami harap dapat menyelesaikan permasalahan bahagian kontraktor yang lambat menyiapkan kerja serta kami akan mencari jalan bagaimana dapat membantu memastikan kerja disiapkan pada tarikh yang disasarkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Plaza Tol Kuala Terengganu yang belum dibuka secara rasmi kepada awam serta meninjau kerja di sepanjang lebuh raya sehingga ke Plaza Tol Bukit Besi di Dungun.

Ini lawatan kerja pertama Anggota Parlimen Petra Jaya itu ke Terengganu setelah dilantik Menteri Kerja Raya selepas pilihan raya umum lepas.

 Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan negeri Ir Rosli Othman.

Sambil memberi jaminan bahawa beberapa masalah pembinaan lebuh raya itu telah diatasi pihak pelaksana, Dato' Fadilah berkata kawasan yang bermasalah tidak banyak.

 "Kalau terkebelakang pun hanya 0.3 peratus hingga 3 peratus sahaja kelewatan masa," katanya.

Beliau berkata pakej melibatkan laluan Bukit Besi ke Paka dijangka siap akhir tahun ini setelah JKR meminta kerja-kerja menyiapkan lebuh raya di kawasan itu dipercepatkan. Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

 Projek yang sepatutnya siap pada akhir 2010 itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan berikutan masalah kenaikan harga barangan pembinaan di pasaran.


27 May 2013

Jabatan Perikanan anjur bengkel TED

Jabatan Perikanan Terengganu akan mengadakan bengkel mengenai peranti penyisih penyu (TED) pada Jumaat ini, dalam usaha jabatan itu mengekang insiden penyu mati terperangkap di dalam pukat.

Pengarahnya, Encik Abdul Khalil Abdul Karim berkata bengkel akan diadakan dengan kerjasama WWF Malaysia di Institut Perikanan Malaysia Cendering.

 Bengkel akan disertai pengusaha bot pukat tunda musim tengkujuh dari seluruh kawasan pantai timur Semenanjung, katanya

Mengulas kepentingan TED, Abdul Khalil berkata bot yang dilengkapi alat itu akan dapat mengelak daripada turut memerangkap penyu ketika beroperasi menangkap udang sepanjang musim tengkujuh. 

Katanya jabatan itu juga mempertimbang untuk menjadikan pemasangan TED sebagai syarat lesen bot pukat tunda.

Langkah itu dilihat perlu kerana banyak penyu didapati mati di perairan Terengganu akibat aktiviti perikanan, katanya menambah pada tahun ini sahaja 10 ekor penyu ditemui mati di perairan Terengganu.


KIST tawar empat kursus baru

Oleh; Esah Abdullah 

Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Terengganu memperkenalkan empat kursus baru tahun ini dalam usaha mempelbagaikan bidang pengajian serta memenuhi kehendak pasaran kerja pada masa sekarang.

Ketua Eksekutif KIST, Encik Mohd Norizal Nawang berkata, program ditawarkan pada peringkat diploma itu membabitkan bidang Pengajian Syariah, Pengurusan Makanan Halal, Psikologi Kanak-kanak dan Kewangan Islam.

“Untuk pengambilan peringkat pertama seramai 200 orang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipilih mengikuti kursus berkenaan dan pengambilan akan ditambah dari semasa ke semasa bergantung kepada kemudahan prasarana dan tenaga pengajar,” katanya.

Menurutnya, pelajar peringkat pertama sudah mengikuti program sejak Februari lalu dengan semua program ditawarkan di KIST cawangan Terengganu.

Katanya, penawaran kursus baru itu bertujuan memberi ruang kepada graduan KIST mendapat peluang kerjaya yang lebih cerah dan menepati permintaan pasaran kerja pada masa kini.
 

Termeterai janji Nik Suryani - Saiful

Oleh: Sutera Biru

Hanya dengan sekali lafaz,personaliti TV3, Nik Suryani Megat Deraman sah menjadi isteri kepada Mohd Saiful Azlan Bukhari di majlis akad nikah yang disaksikan kira-kira 100 tetamu termasuk ibu bapa kedua-dua pengantin, saudara dan rakan rapat, di Masjid Kristal, Taman Tamadun Islam (TTI), Sabtu lalu.

Pasangan berkenaan yang bertunang pada 20 Oktober lalu dinikahkan oleh bapa Nik Suryani, Haji Megat Deraman Megat Stan pada kira-kira 3.30 petang dengan pengantin perempuan menerima mas kahwin sebanyak RM41,101 serta sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang dari pihak Mohd Saiful.

Kedua-duanya mengenakan baju putih sedondon dengan persalinan Nik Suryani sentuhan pereka fesyen terkemuka negara, Zang Toi. Zang Toi turut mereka cipta pakaian pengantin yang bertemakan tradsional songket untuk majlis resepsi pengantin perempuan di Pusat Konvensyen TTI pada sebelah malamnya.

Pasangan sejoli dan sama cantik kelihatan tenang sepanjang majlis pernikahan berlangsung, turut meluangkan masa kira-kira sejam menjawab pertanyaan media dan sesi bergambar sejurus selesai upacara itu.

Mohd Saiful berkata, pada awalnya dia agak cemas apabila kali pertama berjumpa dengan 10 anggota keluarga mentuanya di Kuala Terengganu serta diasak dengan pelbagai soalan. Pun begitu, pertemuan itu berakhir dengan positif apabila mereka akhirnya menerima kehadirannya sebagai ahli baru dalam keluarga itu.

Katanya, hubungan cinta yang disulam sepanjang dua tahun bukan satu perjalanan yang mudah namun, kesungguhan mengharungi segala dugaan dan saling menyokong antara satu sama lain menjadi prinsip mereka sehingga berjaya memeterai janji untuk bergelar suami-isteri.

Biarpun terpalit sejarah hitam berhubung kes liwatnya dengan Ketua Pembangkang Dato' Seri Anwar Ibrahim, Mohd Saiful berkata dia mahu meneruskan kehidupan seperti orang lain dan berharap perkahwinan dengan isterinya itu akan berkekalan sehingga hujung nyawa.

"Saya bersyukur doa saya dimakbulkan untuk mendirikan rumahtangga dengan Nik Suryani dan saya berharap kami dapat menempuh segala ujian pada masa depan dan saya yakin perkahwinan ini memberi kekuatan kepada saya dalam apa jua perkara yang saya akan lalui pada masa depan," katanya.

Sementara Nik Suryani berkata beliau bersyukur perhubungan mereka berakhir dengan ikatan yang sah dan mengakui keputusan untuk memilih Mohd Saiful sebagai suami adalah tepat kerana sikap lelaki itu yang sangat jujur, bersemangat kental dan kacak.

Beliau turut kagum dan jatuh hati dengan keperibadian suaminya kerana berani untuk mengakui perkara buruk yang berlaku kepadanya yang dianggapnya bukan satu tindakan yang mudah dan mampu dibuat orang lain.

"Saya kenal dia ketika membuat liputan tentang kes (perbicaraan) dia dan selepas itu kami menjadi rapat dan sepanjang perhubungan ini, saya langsung tidak terfikir tentang soal kes itu dan saya mengikut apa yang telah ditetapkan olehNya (Allah swt)," katanya.

Majlis resepsi pengantin lelaki di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada 2 Jun.

Pengunjung PPAT meningkat

Oleh: Suriati Ali 

 Masyarakat Terengganu terutama golongan belia kini `celik ilmu’ dan mempunyai kesedaran tinggi terhadap pentingnya pendidikan dan membaca.

 Berdasarkan perangkaan, Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) menerima peningkatan jumlah pengunjung yang memberangsangkan pada setiap tahun.

 Dalam tempoh lima tahun iaitu 2008, PPAT menerima seramai 805,278 bilangan pengunjung, 2009 (1,037,934), 2010 (1,155,205), 2011 (1,200,049) dan bagi tahun lalu pula, seramai 1,222,832 pengunjung pelbagai peringkat umur.

Pengarah PPAT, Puan Hajah Nor Akmal Abdul Fatah, berkata pihaknya bangga dengan peningkatan jumlah pengunjung dan terbukti promosi dan program yang dianjurkan PPAT setiap tahun mendapat sambutan daripada orang ramai.

 “Apa yang membanggakan, golongan belia paling ramai mengunjungi PPAT dengan pelbagai tujuan antaranya membaca dan menghadiri program,” katanya ketika dihubungi Teganukita.

 Menurut Puan Hajah Nor Akmal, sebanyak 107 perpustakaan diwujudkan di negeri ini sebagai langkah menarik minat orang ramai supaya celik ilmu dan mendalami betapa pentingnya pendidikan, selain memudahkan masyarakat mendapat maklumat terkini.

 “Daripada jumlah itu, perpustakaan desa paling banyak ditubuhkan iaitu 88 buah, perpustakaan daerah (6), perpustakaan bergerak (11) dan perpustakaan pekan serta pusat masing-masing sebuah,” katanya.

 

Jeti Merang dinaik taraf

Oleh; Esah Abdullah

Jeti Merang akan dinaik taraf menjadi kompleks jeti Merang dengan anggaran kos berjumlah RM14.7 juta.

Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Encik Johan Ibrahim berkata, kerja-kerja pembinaan kompleks jeti berkenaan akan bermula Oktober depan dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

“Apabila kompleks berkenaan siap ia akan menempatkan terminal jeti untuk feri dan bot ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah,” katanya.

 Menurutnya, kompleks ini juga akan mempunyai ruang perniagaan dan tempat menunggu yang selesa di samping dataran ketibaan dan kaunter tiket.

Tambahnya, usaha menaik taraf jeti ini selaras dengan status jeti sebagai laluan utama ke beberapa pulau peranginan di negeri ini.

 

26 May 2013

80 pengamal media sertai survival laut

Oleh: Noraini Jusoh

Seramai 80 pengamal media tempatan menyertai program ‘Survival Laut dan Penghayatan Warisan Edisi Media 2013’ di Pusat Penyelidikan Pulau Bidong, Universiti Malaysia Terengganu (UMT).



Program anjuran Pusat Komunikasi Korporat dan Pembangunan Citra UMT selama dua hari itu (24 sehingga 25 Mei) disertai petugas media daripada beberapa agensi antaranya Unit Komunikasi Negeri (UKOM), Berita Harian, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Sinar Harian, serta Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Naib Canselor UMT, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Ibrahim Komoo berkata, ia bertujuan mengeratkan lagi hubungan UMT dengan pihak media.



"Selain merapatkan hubungan kedua-dua pihak, program ini juga membuka peluang kepada pengamal media merasai sendiri pengalaman menyeronokkan melakukan aktiviti menarik yang disediakan.

"Mereka juga didedahkan tentang kesedaran terhadap penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar dan diajar kemahiran asas berada di lautan serta cara untuk meningkatkan keyakinan diri,” ujarnya kepada pemberita di Pulau Bidong, semalam.

Pada hari pertama, sebelum tiba ke Pulau Bidong peserta dibawa melawat Santuari Penyu UMT yang terletak di Chagar Hutang, Pulau Redang bawah jagaan Dr. Juanita Joseph selaku Ketua Projek Unit Penyelidikan Penyu (Seatru) UMT.

Kemudian apabila tiba di Pulau Bidong, peserta memulakan ekspedisi penerokaan laut dengan dimulakan dengan acara keyakinan diri di air iaitu peserta akan berenang menuju ke arah bot yang terletak 100 meter dari pantai dan kembali semula ke darat dan diikuti aktiviti berkayak, snorkelling dan acara mencandat sotong.


Sebelum pulang pada keesokkan harinya, peserta berpeluang menyertai pertandingan memancing dan melawat kem pelarian Vietnam yang pernah menjadi penempatan sementara bagi pelarian Vietnam suatu ketika dahulu.

 







Skuad Muda mantapkan Rela

Oleh; Esah Abdullah

 Golongan belia dipelawa menyertai anggota Rela untuk membolehkan membina jati diri serta memupuk semangat kesukarelawan membantu masyarakat ketika ditimpa bencana.

Penolong Pegawai Rela Daerah Setiu, Mejar (Rela) Che Mohammat Ropi Makhtar berkata, Rela kini mewujudkan Skuad Muda terbuka kepada mereka yang berusia 21 hingga 30 tahun dan Skuad Remaja untuk remaja berusia 18 hingga 21 tahun.

“Manakala mereka yang berusia 31 hingga 58 tahun boleh menjadi Anggota Rela biasa,” katanya di Majlis Dialog dan Penyampaian Pakaian Seragam Rela di Balai Raya Kampung Hilir Darat, Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Katanya, setiap anggota Rela akan mengikuti sekurang-kurangnya 15 siri kursus yang diadakan setiap hujung minggu dalam usaha memantapkan anggota ketika berdepan dengan tugas mengawal ketenteraman masyarakat.

“Walaupun anggota kita hanya berstatus sukarelawan namun mereka diberi elaun RM6 bagi setiap jam mengikut waktu bertugas,” katanya.

Menurutnya kini anggota Rela telah diberi kepercayaan membantu pasukan keselamatan untuk mengawal tempat-tempat tumpuan awam serta memantau keselamatan kawasan sekolah dan pelajar ponteng.

Terengganu proaktif laksana agenda

Oleh: Suriati Ali 

 Terengganu mengambil langkah proaktif bagi memastikan agenda pembangunan keusahawanan di negeri ini dilaksanakan secara bersama seiring dengan Kerajaan Pusat bagi mencapai matlamat ditetapkan.

 Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, usaha berganda pasti dilaksanakan bagi memastikan agenda berkenaan memberikan manfaat kepada sebahagian besar komuniti usahawan di negeri ini.

 Katanya, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai agensi khusus bagi mewujud dan membangunkan usahawan iaitu Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

 "Ini merupakan kekuatan dan kelebihan yang kita ada berbanding negeri-negeri lain. Justeru, saya berharap agar kerjasama antara agensi serta komitmen yang diserlahkan sebelum ini bertambah baik pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian outlet ketiga T'Cafe Mr. Burger di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Azmi Razik dan Pengarah Urusan T'Cafe Mr. Burger, Mohd. Wahyu Affandy Zainudin.

Tambah Roslee, pihaknya juga akan memastikan usahawan di negeri ini lebih berdaya saing pada masa depan seperti yang dinyatakan dalam aku janji Barisan Nasional (BN) di Terengganu sebelum ini.

 "Untuk itu, kita akan terus memberi sokongan kepada program seumpama ini kerana saya percaya dengan kemampuan yang ada pada agensi berkaitan serta kekuatan rakan strategik, usaha untuk memartabatkan usahawan di Terengganu akan tercapai," katanya.