Halaman

20 July 2013

PENANTIAN MENJADI REALITI

  Penantian ,Menjadi Realiti, penduduk Kuala Besut bakal menikmati kemajuan yang berganda, lapor Ruslan Rahman.
Menteri Pendidikan II, yang juga Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji Idris Jusoh menyifatkan 30 tahun penantian, penantian menjadi realiti berikutan Perdana Menteri meluluskan projek benteng pemecah ombak Kuala Besut.
  Berucap di Himpunan Warga Peladang dan Nelayan di Kuala Besut bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin di Kuala Besut petang ini, beliau berkata, nelayan sudah pasti bersyukur dan berterima kasih di atas hadiah oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) itu.
 Menurutnya, pemecah ombak yang akan dibina itu sepanjang 1 kilometer menghala ke Pengkalan Atau (utara) dan 1 kilometer ke Pantai Air Tawar (selatan) dan akan menjadi pemangkin ke arah Kuala Besut dan sekitarnya yang lebih maju, pertumbuhan ekonomi dan perniagaan serta kemajuan pelancongan yang pesat.  “Ia ada perjuangan Allahyarham Dr.A.Rahman Mokhtar yang kini menjadi realiti, ia akan menjadi legasi perjuangan Allahyarham”, kata Dato’ Seri Idris.
  Menurut Idris, dulu seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran yang telah berfikir untuk berbakti kepada rakyat, membina konsep benteng ini, ia tidak lain ialah Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, calon N01, Kuala Besut dalam Pilihanraya Kecil.
  “Benteng dan Kuala Baru ini akan menjana ekonomi rakyat Kuala Besut, akan wujud tanah baru di kawasan ini dan akan wujud kedai-kedai baru, resort baru dan lain-lain.
 Di sini akan menjadi gerbang pelancongan antarabangsa, akan meningkatkan peluang pekerjaan dan insya Allah akan wujud di dalam peta dunia,” katanya di sambut dengan laungan Gelombang Biru, Kuala Besut Bertambah Biru.

19 July 2013

PENDUDUK PULAU GEMBIRA BERBUKA PUASA DENGAN MENTERI BESAR


Betapa gembiranya penduduk Pulau Perhentian malam tadi kerana dapat berbuka puasa bersama-sama dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said serta isteri To’ Puan Seri Norliza Mahmud.
 Dalam suasana indah pulau tersebut, mereka merasakan kehadiran pemimpin kesayangan mereka itu adalah kenangan yang amat berharga.
 Turut sama berbuka puasa dan bersolat terawih dengan penduduk Pulau Perhentian malam tadi, calon BN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman dan keluarga, termasuk ibubapanya.

ZAIHAN ANAK TEMPATAN KUALA BESUT

Oleh: Kamarudin Mat Akib

“Sapo (siapa) kata dio bukan anak tempatan. Saya kenal dio lama doh…dia meme (memang) ore (orang) sini,” kata Abdul Rahman Mohmad, 73, salah seorang penduduk Kampung Pengkalan Atap, yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Katanya, dia dan seluruh penduduk kampung itu amat tersinggung apabila ada pihak yang membuat fitnah kononnya calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, bukan anak jati Kuala Besut.

 “Dio bukan saja anak jati Kuala Besut, tapi banyak doh dia tabor jasa di sini…Tu belum jadi wakil rakyat lagi,” katanya merujuk kepada tugas Zaihan sebagai Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang bertanggungjawab mengurus dan memantau projek benteng pantai bagi mencegah hakisan yang dilaksanakan di kampung itu tidak berapa lama dulu.

Beliau dan penduduk kampung itu sangat berharap agar Tengku Zaihan menang PRK pada 24 Julai ini dan seterusnya menjadi wakil rakyat mereka.

“Mudah berurusan dengan ore yang doh lama kita kenal. Kita jugok tahu dia buleh buat kerja,” katanya ketika ditemui Teganukita selepas Tengku Zaihan mengunjungi rumahnya, semalam.

Katanya, bukan dia saja tetapi ramai penduduk di DUN Kuala Besut kesal dengan sikap pemimpin Pas yang suka membuat fitnah dan menyerang peribadi calon, termasuk pada bulan Ramadan yang mulia ini.

Abdul Rahman berkata, pemimpin BN silih berganti, ada berhenti dan ada yang pergi terlebih dahulu mengadap Ilahi.

Katanya, setiap yang hilang boleh diganti dan penduduk kampung itu yakin bahawa pemimpin BN yang bakal datang, tetap dengan visi yang sama – membantu menyelesaikan masalah penduduk.

 “Apa pun kata ore Pas, kami doh sepakat nok beri undi kepada Tengku Zaihan pada PRK Kuala Besut kali ini,” katanya yang sudah membuat keputusan nekad dan tidak berbelah bagi lagi.


#prk kuala besut


 

18 July 2013

"KAKI KANAN SUAMI SAYA YANG PUTUS TIDAK DAPAT DISAMBUNG LAGI"

Laporan: Roslan Rahman dari Kubang Krian:
“Kaki kanan suami saya yang putus sudah tidak dapat diselamatkan lagi,” kata Norazwani binti Seme, isteri anggota polis yang kemalangan sewaktu menjalankan tugas di pilihanraya kecil Kuala Besut semalam.
 “Saya reda atas apa yang terjadi dan saya tidak tengok pun lagi bahagian kaki suami saya yang terputus itu,’ kata Norazwani sayu.
 Semalam seorang pegawai polis trafik yang bertugas untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut putus kaki kanan setelah motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi di Kuala Besut hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, Insp Farid Hasni Mamat, 33, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, terhumban kira-kira 10 meter berhampiran tembok sekolah akibat impak rempuhan itu. Ketika kejadian mangsa bersama Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman, 48, sedang melakukan rondaan berhampiran kawasan sekolah itu.
  Menurut Zainalabidin, selepas selesai melakukan pemeriksaan di sekolah tersebut, mereka berdua menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru apabila sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju memotong sebuah kenderaan lain. Katanya beliau yang berada kira-kira 50 meter di hadapan mangsa sempat mengelak kereta Proton Saga yang dipandu seorang pemuda berusia 19 tahun itu namun mangsa gagal berbuat demikian.
  Ketua Pergerakan Pemuda Besut, YB Mahadi Musa (Abe Adi) yang juga Adun Kota Putera bersama isteri telah melawat mangsa yang kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, Hospital USM Kubang Krian.  Dalam kunjungan itu, YB Mahadi bagi pihak pimpinan Umno Bahagian Besut menemui isteri mangsa Norazwani dan menyerahkan sedikit sumbangan tanda prihatin.
 Norazwani menceritakan  pada jam 2 petang, suaminya Ins Farid Hasni ada menghubunginya dan anak-anak melalui telefon .
 “Walaupun bertugas jauh, tetapi suami saya setiap hari menghubungi saya dan anak-anak setiap hari bertanya khabar,” katanya yang ditemani ibu dan ahli keluarganya.
 Anak-anak mereka kesemuanya perempuan, berusia 7, 5 dan 3 tahun.


UniSZA bakal jalin kerjasama dengan Universiti Thailand

Oleh; Esah Abdullah

Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bercadang untuk mengadakan kerjasama dengan tiga universiti terbaik di Thailand selaras dengan program pengantarabangsa UniSZA bagi memperkukuhkan kedudukan institut itu di arena antarabangsa.

Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, universiti yang dicadangkan ialah Chulalongkorn Universiti yang merupakan universiti pertama terbaik di negara itu, Kasetstart Univesiti dan Thammasat Universiti.

Katanya, kerjasama itu dijangka akan membabitkan kepada proses kemasukan pelajar, pensyarah dan profesor pelawat antara universiti berkenaan.

 ``Adalah diharapkan kerjasama itu dapat dilakukan tidak lama lagi dan usaha-usaha ke arah itu sedang dilaksanakan,’’ katanya kepada pmberita selepas menerima kunjungan delegasi daripada Fakulti Kemanusian dan Sosial Sains (HUSO) Universiti Prince Of Songkla (PSU) Cawangan Pattani, Thailand di UniSZA petang semalam.

Delegasi seramai tujuh orang itu diketuai oleh Dekan HUSO Prof Madya Awang Lanui. Beliau berkata, pada masa ini UniSZA telah mengadakan kerjasama dengan PSU melalui bentuk kemasukan pelajar, pensyarah, profesor pelawat dan penyelidikan.

Selain di negara gajah putih, UniSZA juga telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa universiti di Indonesia, Timur Tengah, Perancis dan China.

Sempena dengan kunjungan HUSO itu, Prof Dr. Yahaya turut dijemput untuk membentangkan kertas kerja sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Bahasa di Phuket Thailand, pada 16 dan 17 November depan.

Selain itu, UniSZA turut diberi peluang untuk membentangkan 18 daripada 129 kertas kerja yang membabitkan 25 buah negara yang akan menyertai persidangan tersebut.

 Menurut Yahaya, atas jemputan itu UniSZA akan turut menghantar seramai 40 pegawai dan kakitangan untuk menyertai persidangan anjuran HUSO itu.

Sebelum itu, delegasi HUSO universiti turut mengadakan perjumpaan dengan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) dan melawat Fakulti Kontemporari Islam serta mengadakan perbincangan dengan Fakuliti Pengajian Pengurusan dan Perniagaan (FPPP)
 

Ramai pihak buat amal sempena Ramadan

Oleh: Suriati Ali

Anak-anak yatim, fakir miskin dan warga emas antara insan paling istimewa setiap kali menjelang Ramadan berikutan pelbagai pihak tampil membantu dan memberi sokongan.

 Paling beruntung, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah turut berkenan meraikan golongan itu pada Majlis Berbuka Puasa dan Pengurniaan kepada Anak Yatim dan fakir miskin sempena sambutan perayaan ulang tahun ke-51 Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang ke-51 di Istana Maziah, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

 Tidak ketinggalan, agensi kerajaan, swasta dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) sering kali menjemput golongan itu berbuka puasa di mana-mana restoran atau hotel dan meraikannya setaraf tetamu kehormat, selain menghulurkan duit raya dan kelengkapan raya seperti pakaian dan kasut.

Pihak itu berbuat demikian kerana mengetahui ganjaran pahala daripada Allah SWT begitu besar kepada orang-orang yang menjaga dan melindungi anak-anak yatim.

 Penyelia Rumah Anak Yatim Darul Falah, Encik Zainal Abidin Abd Majid, berkata pihaknya mengakui setiap kali menjelang Ramadan, pelbagai pihak tampil memberi tumpuan dengan menghulurkan bantuan dan sumbangan.

 “Anak-anak di rumah ini juga tidak lekang menerima jemputan ke majlis berbuka puasa di pelbagai lokasi. “Rata-rata mereka mengakui seronok dengan situasi ini di mana sebelum ini tidak mampu dan berpeluang berbuat demikian ketika berada bersama keluarga,” katanya kepada Teganukita.

Anak yatim berasal dari Dungun, Muhammad Hilmi Sallehudin, 13, berkata dia seronok berada di rumah anak yatim kerana bukan saja mempunyai ramai kawan malah dapat mengikuti pelbagai program istimewa termasuk lawatan sambil belajar dan berbuka puasa di hotel.

Saya tidak pernah merasainya sebelum ini, kerana arwah ayah tidak mampu berbuat demikian. “Sejak tinggal di rumah ini bermula Mac lalu, prestasi pelajaran saya juga meningkat kerana pelbagai kelengkapan disediakan, termasuk wang saku bulanan dan pakaian sekolah,” katanya

 Seorang lagi anak yatim, Sharifah Noor Syed Azman, berkata walaupun dirinya anak tunggal, dia tetap dihantar ibu ke rumah ini kerana tidak mampu menjaganya.

 “Saya tidak terkilan dengan tindakan ibu kerana mengetahui apa yang dibuat ibu itu mempunyai pelbagai sebab.

 “Pada bulan pertama datang ke sini tiga tahun lalu, terasa sebak dan sedih kerana terpaksa berpisa dengan ibu dan nenek,” katanya yang kematian bapa pada 2010 kerana menghidap penyakit jantung..

 Katanya, lama kelamaan menjadi biasa dan lebih gembira tinggal di rumah anak yatim kerana pelbagai kemudahan dapat dinikmati secara percuma.

 “Ada ramai pihak tampil membantu terutama pada Ramadan, rata-rata mereka yang bantu itu bagi duit dan pakaian raya,” katanya.

 

PENDUDUK PULAU PERHENTIAN BERTUAH- DATO' SERI AHMAD DAN TO' PUAN NORLIZA BERSAMA MEREKA HARI INI DAN ESOK



Roslan Rahman melaporkan: Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said bersama isteri To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud dan rombongan pagi ini, 18 Julai tiba di Pulau Perhentian untuk menemui dan bersama penduduk Pulau Perhentian Kecil.
  Setibanya di Pulau Perhentian Kecil iaitu sebuah perkampungan, beliau disambut oleh mesra oleh para penduduk pulau peranginan itu yang amat menyayangi pemimpin negeri yang telah banyak membawa projek untuk faedah rakyat di pulau itu, termasuklah pangsapuri, masjid dan sebagainya.
Sebaik tiba beliau melawat Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Pulau Perhentian dan mengambil kesempatan bermesra dengan pelajar-pelajar tadika.
  Selepas itu beliau bersama pimpinan kampung berkenaan melawat rumah-rumah penduduk miskin, uzur sakit dan orang-orang tua di perkampungan pulau berkenaan.
  Turut bersama beliau ialah, Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Tengku Putera Awang dan pegawai-pegawai Pejabat dan Majlis Daerah Besut dan doktor khas untuk merawat dan memberi ubat kepada pesakit.
  Bercakap kepada media yang mengikuti sama rombongannya di pulau tersebut sebentar tadi, Dato’ Seri Ahmad memberi jaminan segala projek pembangunan akan berjalan dengan baik dan dapat disiapkan untuk keperluan penduduk pulau berkenaan.
  Katanya, walaupun pembangunan di pulau melibatkan kos yang lebih besar, tetapi ia tetap dijalankan oleh kerajaan untuk kepentingan dan faedah rakyat di mana sekalipun mereka berada, termasuk di pulau.

KEMPEN 16:16, PAS TPU PENGUNDI

LAPORAN: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 




Kempen 16:16 yang digunakan Pas sebagai senjata ampuh untuk menafikan peluang Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 24 Julai ini, merupakan strategi parti itu untuk cuba merampas kerusi tersebut dengan cara yang kotor.

Pengerusi BN Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, turut menegaskan Kempen 16:16 merupakan langkah terdesak Pas untuk menang PRK ini dan menimbulkan ketidakstabilan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu yang diterajui BN.

“Pas cuba menipu rakyat dengan cara mengadakan isu 16:16 semata-mata untuk menafikan kedudukan BN sebagai Kerajaan Negeri Terengganu yang telah dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum yang lalu secara sah berdasarkan Perlembagaan Negara Malaysia,” katanya ketika ditemui Teganukita petang semalam.

Beliau menegaskan mengikut peruntukan sedia dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu, BN akan tetap menerajui kerajaan negeri walaupun ditakdirkan ia kalah pada pilihan raya kecil nanti.

“Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu secara jelas memperincikan kedudukan dan hak Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu (speaker). Dalam hal ini, BN mempunyai satu undi Speaker yang telah kita lantik selepas pilihan raya umum lalu.

“Ini secara tidak langsung membawa maksud BN masih mempunyai 17 undi dalam DUN Terengganu walaupun setelah kita kehilangan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr A Rahman Mokhtar yang kembali ke Rahmatullah baru-baru ini,” katanya.

Sehubungan itu, tidak timbul isu kedudukan 16 undi daripada BN dan 16 undi daripada pembangkang dalam DUN Terengganu jika Pas menang pilihan raya kecil ini.

 “Mengikut Undang-Undang Tubuh negeri Terengganu jika ditakdir pun kita (BN) kalah pilihan raya ini kita masih menjadi kerajaan dan pembangkang tetap jadi pembangkang…,” tegasnya. Beliau berharap pengundi di DUN Kuala Besut tidak terpengaruh dengan Kempen 16:16 yang dibawa oleh Pas kononnya pilihan raya akan diadakan semula di negeri ini jika calon mereka menang PRK.

“Ini hanya taktik kotor Pas yang mahu mengugat kestabilan politik yang telah dibentuk Kerajaan BN. Pas hanya mahu menimbulkan huru-hara dalam negeri jika keadaan politik tidak stabil,” katanya.

Dato’ Seri Haji Ahmad yakin rakyat tidak terpengaruh dengan kempen kotor Pas dan mereka akan tetap menyokong calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman pada pilihan raya kecil ini.

“Rakyat sudah dapat menilai apa yang telah dilakukan BN bukan saja di Kuala Besut, tetapi di seluruh negeri Terengganu.

 “Saya yakin mereka tidak akan terpengaruh dengan janji-janji pemimpin Pas walaupun mereka menjanjikan bulan dan bintang kepada penduduk Kuala Besut. Rakyat sudah serik menyokong Pas yang hanya pandai berjanji kosong,” katanya.


#prk kuala besut



17 July 2013

Calon BN hargai jasa wartawan

Oleh: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan
Gambar: Haris Fadzillah

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Tengku Raihan Che Ku Abdul Rahman menghargai jasa golongan wartawan membantu memberi publisiti yang baik sepanjang kempen pilihan raya tersebut.



Beliau harap hubungan baik dengan golongan wartawan akan terus dikekalkan sehingga selepas PRK pada 24 Julai nanti.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan bersyukur di atas kesudian golongan wartawan membantu menyiarkan berita-berita yang positif mengenai saya dan BN sepanjang kempen pilihan raya ini,” katanya dalam ucapan sempena pertemuan dengan media di Anjung Bahtera malam ini.

Pada majlis itu yang dihadiri kira-kira 160 wartawan, jurugambar dan blogger, pengamal media berkenaan diraikan dengan majlis berbuka puasa anjuran Unit Komunikasi Negeri (UKOM).

Hadir sama Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong, kakitangan UKOM serta ketua-ketua biro media massa.

Tengku Zaihan berkata, beliau akan memberi perkhidmatan terbaik sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat selepas PRK nanti.

“Insya Allah dengan bantuan rakan-rakan media hasrat pucuk pimpinan BN untuk mengekalkan kerusi DUN Kuala Besut akan tercapai,” tambahnya.

 #prk kuala besut


 



Srikandi sumbang RM5,000 pada keluarga Allahyarham Dr A Rahman



Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Srikandi) mengadakan majlis tahlil dan bacaan Yasin di kediaman bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Terengganu, di Kampung Telok Bayu, Kuala Besut, hari ini.
Pengerusi Srikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud serta ahli-ahli persatuan itu hadir bersama-sama balu alahyarham, Hajah Azizah Nik Omar.
To’ Puan Seri Norliza kemudiannya menyampaikan cek bernilai RM5,000 sumbangan Srikandi kepada Hajah Nik Azizah.
Allahyarham meninggal dunia bulan lalu selepas mengalami penyakit kanser paru-paru.


#prk kuala besut