Halaman

21 July 2013

Rempah Pok Leh & Kak Jah jadi pilihan pelanggan sepanjang Ramadan, hari raya

Oleh: Aida Abd Rahman
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Kedatangan Ramadan membawa rezeki berganda kepada peniaga bahan mentah apabila pelanggan mula berpusu-pusu mendapatkan pelbagai produk yang ditawarkan untuk menyediakan persiapan sepanjang puasa dan menjelang hari raya tidak lama lagi.

Sebalik kerancakan aktiviti jual-beli di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu, perusahaan rempah yang sudah diwarisi sejak empat generasi lagi, `Pok Leh & Kak Jah Rempah’ antara kedai yang menarik perhatian dan menjadi tumpuan ramai.

Puan Shima
Pengusahanya, Puan Shima Muhammad, 38, berkata sebanyak 40 jenis rempah yang dilengkapi kertas resepi dihasilkan sendiri keluarganya mendapat sambutan amat baik dari pelanggan sepanjang bulan puasa dan perayaan menyebabkan tempahan bahan mentah untuk memproses rempah-ratus dari pembekal di sekitar Terengganu juga meningkat sehingga tiga kali ganda.

 “Selalunya pada musim begini kami akan meningkatkan tempahan bahan mentah memandangkan permintaan dari pelanggan yang menggunakannya untuk masakan sendiri, jualan sepanjang Ramadan dan juga kenduri- kendara juga bertambah.

 “Bahan mentah itu akan diproses di kilang terletak di Kampung Wakaf Tengah dan apabila selesai memproses kami akan membawa pulang rempah berkenaan untuk dibungkus oleh 10 pekerja yang terdiri dari keluarga sendiri,” katanya kepada Teganukita, hari ini.

Puan Shima yang sudah bekeluarga dan memiliki empat cahaya mata berusia tiga bulan sehingga 18 tahun mewarisi perniagaan itu dari bapanya, Encik Muhamad Abd Rahman, 58 dan ibu, Khatijah Jusoh, 56, mula terdedah dengan perusahaan keluarga itu sejak kecil lagi dan amat berpengalaman dengan selok- belok rempah ratus amhupun masakan.
Encik Muhammad memasukkan rempah ke dalam plastik sebelum dijual kepada pelanggan

Malah, bapanya masih setia `turun padang’ dengan dibantu ibunya di premis berkenaan bagi melancarkan urusan jual-beli dan melayan kehendak serta kerenah pelanggan yang adakalanya tidak menang tangan.

Menurut Puan Shima, perusahaan rempah yang diperturunkan dari bapanya itu sudah bermula sejak 30 tahun lalu, sebelum bapanya sendiri mengambil alih lebih 20 tahun menerajui warisan keluarga tersebut dari datuk dan juga moyangnya.

“Dari tahun ke tahun, kami cuba menambah variasi rempah mengikut citarasa dan kehendak pelanggan. Bukan sekadar 40 jenis rempah, kami juga menawarkan bunjut sup dan singgang serta bahan masakan  lain yang sukar didapati di kedai-kedai lain,” katanya.

Pelbagai pilihan rempah yang ditawarkan
Tambahnya, kelebihan menghasilkan pelbagai pilihan paket rempah berharga antara RM1.50 sehingga RM4.00 yang memikat selera pelanggan, selain perisa baru yang sentiasa diubahsuai serta dicipta khusus itu menyebabkan pelanggan lebih ramai tertumpu ke premisnya untuk mendapat stok produk berkenaan.

Puan Shima berkata, rempah gulai kawah dan rempah murtabak antara dua jenis produk keluaran syarikatnya yang laris sepanjang musim ini, selain rempah ayam goreng berempah, kari kepala ikan, sup Thai, Nasi Arab, nasi beriani, pajeri nenas, kari best ayam dan daging, soto, daging hitam, rendang, dalca, kerutuk serta rempah istimewa keluaran terbaru mereka, Nasi Mandy Arabica dan ayam panggang madu.




Pemimpin BN amal semangat muhibah

Pemimpin Barisan Nasional (BN) mengamalkan sikap muhibah dan menghormati pemimpin dan penyokong parti-parti pembangkang, walaupun mereka sering dihentam dan difitnah pemimpin pembangkang.

Boleh dikatakan setiap kali terserempak sama ada sewaktu berkempen di tempat awam atau majlis tertentu, pemimpin BN yang terlebih dahulu menegur dan bersalam dengan mereka.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek, turut mengamalkan sikap yang sama apabila terserempak dengan penyokong Pas sewaktu berkempen di bazaar Ramadhan Kampung Tok Has, petang semalam.

Beliau bukan setakat menegur penyokong Pas, tetapi turut bersikap ‘sporting’ apabila sama-sama melaungkan ‘takbir’ bersama-sama mereka di bazaar berkenaan.


Dato’ Seri Ahmad Shabery kemudiannya mengagih-agihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang berkunjung ke situ.

Sajian berbuka puasa itu disediakan Kementerian Penerangan Malaysia melalui Program Kembara Ramadhan.

 

Kampus UniSZA di China beroperasi akhir tahun

Oleh; Esah Abdullah

Seramai 200 pelajar pertama dari negara China dijangka akan memulakan pengajian mereka di Universiti Sultan Zainal Abdidin (UniSZA) melalui kampusnya di negara itu pada akhir tahun ini.

 Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Yahaya Ibrahim berkata, majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Guangzhou China akan diadakan bulan depan.

“Perbincangan dengan wakil dari universiti itu telah diadakan minggu lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya.

Katanya, pelajar di China boleh membuat pilihan samaada ingin belajar di kampus di negara mereka atau datang ke kampus UniSZA di Kuala Lumpur.

Menurutnya, kedua-dua kampus berkenaan akan dibuka serentak dan pelajar boleh memilih untuk datang ke Kuala Lumpur atau berada di negara mereka.

Prof Dr Yahaya berkata, UniSZA akan membuat pengambilan tenaga pengajar baru bagi kampus di China dan juga Kuala Lumpur dan sedia menawarkan kepada tenaga pengajar di sini yang berminat berhijrah ke negara China.

“InsyaAllah perancangan UniSZA untuk melebarkan sayapnya keluar negara akan terlaksana pada tahun ini juga,” katanya.
 

Penduduk Kuala Besut dapat Maybank

Laporan: Kamarudin Mat Akib dan Harun Hassan 


Maybank di Pejabat Pos akan disediakan di Kuala Besut dalam tempoh dua bulan lagi bagi memudahkan penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut membuat pelbagai urusan.

Kemudahan itu akan disediakan di Pejabat Pos Kuala Besut selewat-lewatnya dalam tempoh dua bulan di mana ia bakal memberi kemudahan kepada penduduk tempatan untuk melakukan transaksi seperti simpanan dan pengeluaran wang, bayaran pinjaman dan lain-lain perkhidmatan perbankan.

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan berkata, pihaknya sudah mengambil langkah yang perlu bagi membolehkan perkhidmatan tersebut disediakan secepat mungkin untuk kemudahan penduduk Kuala Besut.

“Kita sudah mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, Pos Malaysia dan Maybank bagi membuka Maybank dalam pejabat pos di sini,” katanya ketika ditemui selepas melawat Bank Simpanan Nasional (BSN) Kuala Besut, hari ini.

Dato’ Ahmad berkata, pihaknya sedar masalah penduduk di kawasan ini membuat pelbagai urusan perbankan kerana ketiadaan institusi kewangan selain BSN.

“Oleh itu, buat masa sekarang ini kita menyediakan dahulu kemudahan ini sebagai penyelesaian jangka pendek.

“Selepas ini terpulang kepada pihak pengurusan bank sama ada mahu membuka cawangan mereka di masa depan,” katanya.

Beliau yakin dengan perkembangan ekonomi kawasan Kuala Besut pada masa akan datang, ia akan menjadi tumpuan institusi perbankan untuk membuka cawangan mereka di sini.

 

Asam gumpal laris menjelang Ramadan

Oleh: Suriati Ali 

Asam gumpal antara makanan tradisional paling laris setiap kali menjelang Ramadan dan mudah diperoleh di puluhan gerai juadah dan bazar Ramadan di Terengganu.

Pengusaha makanan itu , Wan Kalsom Wan Jusoh atau ingin disapa Kak Han, berkata menerima tempahan antara 2,000 hingga 3,000 biji asam gumpal sehari menjadi perkara biasa baginya bersama lima pembantu lain sebaik menjelang awal Ramadan dan akhir Syawal

“Saya kadang kala pening untuk memenuhi permintaan pelanggan yang sememangnya berganda berbanding hari biasa.

 “Rata-rata pelanggan yang datang menempah makanan tradisional itu untuk pelbagai tujuan, termasuk dihidangkan kepada tetamu majlis berbuka puasa, rumah terbuka, mengagihkan kepada jiran atau saudara dan dijadikan sebagai pencuci mulut sewaktu berbuka puasa,” katanya.


 Katanya, jika kuantiti tempahan berjumlah 2,000 hingga 3,000 sehari, sebanyak 15 hingga 20 kilogram tepung sagu diperlukan dan bahan sampingan lain yang turut digunakan, santan, kacang hijau dan isi nangka.

 Katanya, dia gemar berpesan kepada pelanggan supaya membuat tempahan seminggu lebih awal bagi mengelak pemintaan mereka ditolak.

 “Saya seboleh-bolehnya mahu memenuhi pemintaan pelanggan walaupun ada yang menempah disaat akhir, tetapi ia tidak dapat berbuat demikian kerana bilangan pembantu tidak mencukupi selain mahu mengekalkan kualiti rasa asam gumpal.

“Tempahan untuk majlis rumah terbuka sepanjang Aidilfitri akan datang pun sudah ada pelanggan yang membuat tempahan,” katanya. Kak Han memberitahu apa yang diusahakan itu adalah hasil tunjuk ajar ibu, Hajah Aisyah Sulong yang turut bersama-sama mengusahakannya hampir sepuluh tahun lalu.

 “Selepas ibu menyatakan tidak larat untuk mengusahakannya, saya nekad mengambil alih sepenuhnya di samping mengubah resepi ibu daripada asam gumpal halba kepada asam gumpal berisi nangka,” katanya.

 

GERBANG PELANCONGAN ANTARABANGSA


Penambakan muara sungai Kuala Besut akan mewujudkan kawasan Resort baru. Ia akan menjadi pemangkin kepada Pembangunan Sosio –ekonomi Kuala Besut, lapor Roslan Rahman.
 Ia akan menjadi bertambah hebat bila digabungkan dengan Pulau Perhentian iaitu pulau yang memiliki pantai yang ke 13 terbaik di dunia.
 Ini bermakna, apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak meluluskan pembinaan projek pembinaan kuala baru dengan mendalamkan kuala dan membina benteng pemecah ombak yang lebih sempurna bernilai RM250 juta, ia bukan sahaja untuk faedah nelayan keluar masuk dan mendaratkan ikan, tetapi yang lebih pentingnya ia akan mewujudkan Bandar Kuala Besut Baru yang cukup hebat.
  Kawasan tanah yang wujud hasil dari pembinaan projek itu akan menyebabkan berlaku pertumbuhan baru dari segi perniagaan, pelancongan, marine park, resort dan kawasan rekreasi yang menarik dan moden.
 Pembangunan ini sudah pasti akan mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Kuala Besut dan sekitarnya.

 

Sektor perladangan dan perkilangan penyumbang terbesar keuntungan Ketengah

Oleh: Noraini Jusoh

Sektor perladangan dan perkilangan merupakan penyumbang terbesar kepada keuntungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) bagi tahun 2012.

Pengurus Besarnya Wan Mat Amin Wan Daud berkata, Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd telah mencapai keuntungan sebelum cukai berjumlah RM76.9 juta dan selepas cukai berjumlah RM59.9 juta pada tahun tersebut.

"Disebabkan berjaya mencapai keuntungan yang memberangsangkan pada 2012, tahun ini sebanyak RM1.1 juta akan dikeluarkan zakat daripada jumlah keuntungan yang telah diperolehi anak-anak syarikat Ketengah itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa Ketengah Bersama Media di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Tambah beliau, hasil daripada keuntungan tersebut anak-anak syarikat Ketengah juga telah menyumbang sebanyak RM1.3 juta untuk Tabung Amanah Masyarakat Ketengah.

"Menerusi sumbangan tersebut kita dapat melaksanakan pelbagai program pada setiap tahun untuk manfaat masyarakat di wilayah Ketengah,” ujarnya.

Katanya, Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd juga akan mempelbagaikan aktiviti pelaburan dan tidak hanya bergantung kepada sektor perladangan dan perkilangan.

"Antara bidang baru yang akan diceburi ialah pelaburan dalam bidang pelancongan khususnya pelancongan di Tasik kenyir dan juga pelaburan dalam bidang hartanah yang mana dijangka memberi hasil pulangan yang lumayan kepada syarikat,” katanya.

 

4834 golongan kurang bernasib baik terima sumbangan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah

Oleh: Noraini Jusoh
Gambar: Farah Farina Mohmad Zali

Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mewujudkan Tabung Amanah Masyarakat Ketengah pada tahun 2004 bagi membantu golongan kurang bernasib baik dalam wilayah Ketengah.

Pengurus Besarnya Wan Mat Amin Wan Daud (gambar) berkata, untuk tahun ini seramai 4834 orang menerima sumbangan menerusi Tabung Amanah Masyarakat Ketengah dengan anggaran perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM893,380.

"Setiap seorang Ketua Isi Rumah miskin akan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM300 yang melibatkan 1444 penerima.

Seramai 312 pesakit melarat dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dalam wilayah Ketengah pula akan menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM300 dan hamper barangan makanan bernilai RM100 setiap seorang.

"Manakala seramai 2764 pelajar miskin akan mendapat sumbangan kewangan bagi melanjutkan pelajaran mengikut tahap pengajian masing-masing iaitu Ijazah sebanyak RM250, Diploma (RM200) dan Sijil (RM100).

"Bagi 314 orang penghuni Rumah Ehsan Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS) akan diberikan wang tunai sebanyak RM150 beserta hamper.” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Berbuka Puasa Ketengah Bersama Media di Primula Beach Hotel, baru-baru ini.

Katanya, kesemua sumbangan ini akan disalurkan kepada penerima yang telah dikenal pasti dalam tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam wilayah Ketengah pada bulan Ramadan ini.Bantuan pertama telah diserahkan kepada penerima DUN Air Putih pada 18 Julai lalu.

Katanya, tahun ini merupakan tahun kedua Ketengah melaksanakan program sebegini yang bertujuan membantu meringankan beban kewangan penduduk miskin dan memerlukan dalam wilayah Ketengah.

 

79.36 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab

Sejumlah 79.36 peratus keluar mengundi pada pengundian awal bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Besut yang berlangsung di Dewan Serbaguna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak, semalam.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Terengganu, Encik Fakhrul Razi Ab Wahab berkata selepas tempoh pengundian awal tamat tepat 5 petang, hanya 911 daripada keseluruhan 1,148 anggota tentera dan pasangan serta polis yang layak mengundi telah keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Pusat pengundian awal di TUDM Gong Kedak membabitkan dua peti undi yang akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut sehingga hari penjumlahan rasmi undi pada Rabu ini (24 Julai).

PRK DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu di antara calon Barisan Nasional (BN) Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dengan calon PAS Endot@Azlan Yusof. SPR menetapkan 24 Julai ini sebagai hari pengundian bagi 16,534 pemilih biasa.


AHMAD SAID SENTIASA AMBIL BERAT- KATA IDRIS


Roslan Rahman melaporkan:

 Ahli Parlimen Besut, Dato’ Seri Haji idris Jusoh yang juga bekas Menteri Besar berkata, keindahan alam semula jadi dan panorama Pulau Perhentian menarik minat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.
  Ini berikutan Dato' Seri Ahmad mengumumkan kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk pembinaan rumah pangsa setinggi empat tingkat mengandungi 150 unit di atas tapak seluas kira-kira tiga hektar untuk penduduk di pulau peranginan itu.
 Dato’ Seri Idris yang kini Menteri Pendidikan II berkata, hubungan akrab antara Ahmad dan semua pucuk pimpinan Bahagian Umno membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat di mana-mana Parlimen, termasuk di Pulau Perhentian.
 Kata Dato’ Seri Idris lagi, Dato’ Seri Ahmad juga sentiasa mengambil berat masalah golongan belia juga meluluskan peruntukan sebanyak RM30 ribu untuk melaksanakan projek pembiNaan sebuah gelanggang futsal di pulau itu.